Thursday, January 27, 2011

Usman bin Affan

USMAN bin Affan dilahirkan pada tahun 576 Masihi. Beliau berasal daripada Bani Umaiyah dan terkenal sebagai sahabat Nabi Muhammad yang dermawan, hartawan dan bangsawan Quraisy. Kekayaan yang dimilikinya digunakan bagi menegakkan Islam.
Usman bin Affan digelar Zu al-Nurain. Ini kerana beliau mengahwini dua orang anak perempuan Nabi Muhammad iaitu Ruqayah kemudiannya Ummi Kalsum. Beliau adalah khalifah yang ketiga dan dilantik pada tahun 23 Hijrah.
Zaman pemerintahan Usman bin Affan dapat dibahagikan kepada dua tahap. Tahap yang pertama adalah tahap masa kegemilangannya dan berlangsung selama enam tahun. Pada masa itu, beliau menunjukkan kecemerlangan dalam bidang sosial, politik, ketenteraan dan lain-lain. Misalnya, beliau sendiri berjaya meluaskan kawasan pemerintahannya ke beberapa daerah di Parsi dan Afrika.
Tahap kedua dalam pemerintahan Usman mengalami masalah dan dipenuhi dengan keadaan huru-hara yang berlangsung selama enam tahun. Usman bin Affan mula menghadapi masalah dalam bidang politik, sosial dan pentadbirannya menjadi lemah. Masalah yang timbul ini akhirnya menyebabkan rumahnya dikepung oleh pemberontak-pemberontak yang tidak menyukainya. Pemberontak-pemberontak datang dari Kufah, Basrah dan Mesir. Mereka berarak ke Madinah dan menuju ke rumah Usman lalu menceroboh rumahnya. Mereka menikam dan membunuh Usman pada tahun 35 Hijrah.
Pada zaman kegemilangan pemerintahan Usman bin Affan, beliau mengarahkan ulama-ulama menyalin semula al-Quran. Ia sudah dikumpul pada zaman Umar al-Khattab. Pada masa itu, ramai sahabat yang mula menghafal al-Quran. Di setiap wilayah, sedikit perbezaan berlaku dari segi bacaan al-Quran. Hal ini membimbangkan, kerana perbezaan yang berterusan mengakibatkan pertentangan bacaan al-Quran. Akhirnya, ia mencetuskan perselisihan dan permusuhan antara satu sama lain.
Semasa Huzaifah bin Yaman mengikuti rombongan tentera Islam dalam perang Armenia dan Azarbaijan dengan penduduk Iraq, beliau melihat berlaku perbezaan pada bacaan al-Quran. Ada yang membaca al-Quran dan ditambah dengan kesalahan. Malah kesalahan itu tidak diperbetulkan. Mereka masing-masing cuba mempertahankan diri mereka adalah benar. Hal ini menimbulkan masalah besar kepada masyarakat Islam.
Peristiwa itu tidak menyenangkan hati Huzaifah, lalu beliau berjumpa Usman. "Wahai Usman, selamatkan orang Islam ini sebelum mereka berselisih faham mengenai al-Quran sepertimana yang berlaku ke atas orang Yahudi dan Nasrani."
Mendengar cerita Huzaifah itu, Usman terus mengirimkan surat kepada Hafsah binti Umar. Hafsah adalah anak kepada Umar al-Khattab. Surat yang dikirimkan oleh Usman kepada Hafsah berbunyi begini, "Dapatkah saya meminjam senaskah al-Quran daripada kamu. Selepas selesai menggunakannya, saya berjanji mahu memulangkannya dengan segera."
Usman mahu meminjam al-Quran itu bagi disalin semula menjadi beberapa mushaf. Kemudian Usman berjanji memulangkan semula al-Quran itu. Permintaan Usman diterima oleh Hafsah. Kemudian, Hafsah mengirimkan al-Quran yang diminta itu kepada Usman.
Selepas mendapat al-Quran itu, Usman mengarahkan empat orang jurutulis bagi menyalin semula al-Quran. Mereka terdiri daripada Zaid bin Sabit, Abdullah bin Zubair, Saad bin As dan Abdurrahman bin Haris bin Hisyam.
Sebelum mereka mula menyalin al-Quran itu, Usman berpesan kepada tiga orang Quraisy itu kecuali Zaid bin Sabit. "Jika kamu bertiga berselisih pendapat dengan Zaid bin Sabit mengenai al-Quran, kamu tulislah al-Quran itu dengan bahasa Quraisy. Al-Quran diturunkan dengan bahasa Quraisy."
Mereka berempat mula menyalin al-Quran yang dipinjam dari Hafsah. Mereka menyalin sebanyak lima buah salinan sebagaimana disuruh oleh Khalifah Usman. Selepas selesai menyalin, Khalifah Usman mengembalikan semula naskhah al-Quran asli kepada Hafsah sepertimana yang dijanjikan sebelum ini.
"Sekarang kita sudah mempunyai lima salinan naskhah al-Quran yang sama dalam satu mushaf. Salinan-salinan ini perlu dihantar kepada setiap wilayah. Al-Quran lain selain daripada salinan yang baru disalin ini perlu dibakar dengan segera," kata Khalifah Usman.
Kemudian Khalifah Usman menyambung lagi, "Satu naskhah al-Quran yang disalin itu perlu disimpan di Madinah."
Khalifah Usman mengarahkan sahabat-sahabatnya membawa kelima-lima naskhah al-Quran yang disalin itu dan dihantar ke Mekah, Suriah, Basra, Kufah dan Madinah. Semua naskhah al-Quran itu dijadikan sebagai panduan dalam usaha penyalinan berikutnya di daerah masing-masing. Naskhah al-Quran yang disimpan di Madinah itu dikenali sebagai Mushaf al-Imam atau Mushaf Usmani.
Usaha yang dilakukan oleh Khalifah Usman ini mendatangkan kebaikan kepada masyarakat Islam yang lain. Selain daripada itu, perselisihan faham dan fitnah kepada isi kandungan al-Quran juga dapat dihindarkan. Oleh yang demikian, wajar bagi kita menjaga kesucian al-Quran dan mengamalkan ajaran-ajaran yang tertulis di dalam al-Quran.

Amru al-As dan Sungai Nil

AMRU bin al-As ialah sahabat Nabi Muhammad yang berani dan cekap dalam menguruskan pentadbiran. Pada tahun 639 Masihi, gerakan menawan Mesir dilancarkan. Pada tahun 640 Masihi, tentera Islam berjaya menawan pintu masuk ke Mesir iaitu al-Farma.
Seterusnya Belbis, Babylon dan Iskandariah turut berjaya ditawan. Akhirnya Mesir berada di bawah kekuasaan Islam pada tahun 642 Masihi.
Semasa negeri Mesir ditawan oleh tentera Islam, Khalifah Umar al-Khattab melantik Amru al-As sebagai gabenor di Mesir.
Pada suatu hari datang seorang penduduk Mesir berjumpa Amru al-As. Orang itu berkata: “Nampaknya air sungai Nil bakal kering tidak lama lagi. Kami sebagai penduduk Mesir bimbang mengenai perkara ini. Air sungai Nil adalah sumber rezeki kami bertani dan bercucuk tanam.”
Amru berdiam diri mendengar penjelasan orang itu. Kemudian orang itu berkata lagi: “Kami bercadang mengorbankan seorang gadis cantik ke dalam air sungai Nil. Itu adalah upacara nenek moyang kami. Melalui cara itu, air sungai Nil bertambah banyak dan tidak kering lagi.”
Amru terkejut mendengar penjelasan penduduk Mesir itu. Beliau tidak berkata apa-apa sambil memikirkan cara terbaik bagi mengatasi masalah itu.
Orang itu berkata lagi: “Kami mahu gabenor bersetuju dengan cadangan kami ini. Upacara itu perlu dilaksanakan dengan segera.”
Kemudian Amru menjawab dengan tegas: “Upacara itu tidak harus dilakukan. Ia bertentangan dengan ajaran Islam.”
“Itu adalah cara yang kami lakukan sejak turun temurun. Kami harus mengorbankan seorang anak gadis cantik di sungai ini. Jika tidak, kami semua bakal mati kelaparan,” kata salah seorang penduduk di kawasan itu.
Puas Amru memikirkan cara terbaik bagi mengatasi masalah itu. Air sungai Nil kering sedikit demi sedikit. Kegiatan pertanian di Mesir tergendala. Malah penduduk Mesir bimbang situasi itu. Ada di antara mereka berpindah ke tempat lain bagi mencari rezeki.
“Kami tidak dapat tinggal di sini lagi. Kami harus berpindah ke tempat lain. Tempat ini sudah tidak berguna lagi. Kami perlu mencari rezeki di tempat lain,” kata beberapa penduduk yang sudah bersiap sedia membawa segala barang-barangnya berpindah.
“Ya, saya juga mahu meninggalkan tempat ini. Tempat ini tidak mendatang hasil kepada keluarga saya lagi,” kata seorang penduduk lagi.
Sedikit demi sedikit penduduk meninggalkan kawasan itu dan berpindah ke tempat lain. Amru al-As masih belum mendapat jalan penyelesaiannya.
“Bagaimanakah cara bagi saya mengatasi masalah sungai Nil ini? Hari demi hari air sungai Nil semakin kering. Penduduk mula meninggalkan tempat ini,” kata Amru seorang diri.
Keadaan sungai Nil itu membimbangkan Amru dan beliau tidak dapat mencari jalan penyelesaian. Penduduk Mesir semakin cemas. Kepada siapakah Amru mahu meminta pertolongan?
Kemudian Amru terfikir, bahawa beliau perlu meminta pertolongan daripada Khalifah Umar al-Khatab.
Akhirnya Armu memberitahu Khalifah Umar mengenai sungai Nil itu.
Beliau menulis sepucuk surat kepada Khalifah Umar al-Khattab meminta jalan penyelesaian yang terbaik.
Surat itu disampaikan kepada Khalifah Umar. Selepas Khalifah Umar menerima surat itu dan membacanya, beliau membalas surat itu, dan ditujukan khas kepada sungai Nil, dan bukan kepada Amru.
“Apakah isi surat ini? Mengapakah surat ini ditujukan kepada air sungai Nil?” soalan itu bermain di fikiran Amru al-As.
“Baik saya buka dan baca isi surat ini sebelum saya campakkan surat ini ke dalam sungai Nil,” kata Amru al-As.
Kemudian Amru al-As membuka sampul surat itu dan membaca isi surat tersebut. Satu demi satu ayat dalam isi surat itu dibaca oleh Amru al-As.
Antara isi surat itu berbunyi seperti ini: “Wahai sungai Nil, sekiranya air yang mengalir ini hanya kerana kuasa dari gerakkan kamu sendiri, kami semua tidak perlukan air ini lagi. Tetapi sekiranya air yang mengalir ini adalah kuasa dari Allah, maka teruslah mengalir dengan izin Allah juga.”
Seperti mana yang disuruh oleh Umar al-Khattab, Amru al-As mencampakkan surat itu ke dalam air sungai Nil. Kemudian beliau beredar meninggalkan sungai itu.
Pada malam itu, air sungai Nil terus naik sedalam empat puluh lapan kaki tingginya. Berkat kekuasaan Allah, air sungai Nil terus mengalir.
Penduduk Mesir bertambah gembira selepas mendapat tahu air sungai Nil sudah mula bertambah banyak. Mereka juga tidak percaya lagi dengan amalan karut marut nenek moyang mereka.
Mulai hari itu, penduduk Mesir tidak lagi mengamalkan upacara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka percaya bahawa Allah sentiasa membantu mereka apabila berada di dalam kesusahan.

Muawiyah terima teguran rakyat

MUAWIYAH bin Abi Sufyan bin Harb bin Umaiyah ialah pengasas Bani Umaiyah. Beliau ialah sahabat Nabi Muhammad dilahirkan pada tahun 602 Masihi. Lima tahun sebelum Nabi Muhammad menjadi rasul.
Beliau memeluk Islam ketika berumur 25 tahun. Pada masa itu Mekah ditawan oleh tentera Islam. Sebelum memeluk Islam, beliau seorang penentang yang hebat dan kuat terhadap Islam. Abu Sufyan ialah bapa Muawiyah seorang pemimpin Quraisy yang masyhur dan berpengaruh.
Pada masa Nabi Muhammad, beliau dilantik sebagai seorang penulis wahyu dan banyak melaporkan hadis serta mengetahui hadis Nabi Muhammad.
Selain dilantik menjadi gabenor Syam selama 20 tahun, Muawiyah juga dilantik menjadi khalifah pada 26 Rabiulawal tahun 41 Hijrah. Pada masa itu Hasan bin Ali menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah.
Pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar, Muawiyah dilantik menjadi ketua pasukan tentera Islam semasa berperang di Syam. Semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khatab, beliau dilantik sebagai gabenor di Jordan.
Semasa Muawiyah menjadi khalifah, beliau banyak mencapai kejayaan dalam aspek pemerintahan, pentadbiran, politik, ketenteraan, politik, dan lain-lain. Muawiyah meninggal dunia pada tahun 60 Hijrah bersamaan 680 Masihi.
Muawiyah adalah tokoh terkenal kerana mengubah corak pemerintahan daripada demokrasi kepada sistem beraja. Beliau adalah pemerintah yang dihormati dan digeruni oleh rakyatnya.
Pada suatu hari, semasa Muawiyah berada di istana, beliau bertanya kepada para pembesarnya yang lain mengenai dirinya.
Kata Muawiyah: "Siapakah di antara pembesar beta ini yang dapat memberitahu beta mengenai sesuatu. Siapakah orang yang lebih baik dan mulia selain daripada ahli keluarga beta?"
Para pembesar yang ada di istana itu tidak mahu menjawab. Kelihatan istana sunyi sepi. Tiba-tiba ada seorang pembesar yang bernama Annuman al-Zirqi cuba menjawab pertanyaan Muawiyah. Pembesar itu bangun menampilkan dirinya dengan berani.
Pada masa itu, Hasan bin Ali turut berada di sana mendengar soalan yang dikemukakan oleh Muawiyah. Hasan diam membisu. Tiba-tiba, datang pembesar yang berani itu menghampiri Hasan bin Ali.
Kemudian pembesar itu menarik tangan Hasan, lalu mengangkat tangan beliau sambil berkata: "Orang yang mulia selain ahli keluarga tuanku ialah Hasan Bin Ali."
"Apa kamu kata? Hasan bin Ali orang yang lebih mulia selain daripada keluarga beta?" Tanya Muawiyah dengan nada terkejut.
Muawiyah terkejut mendengar jawapan daripada pembesar itu. Pembesar itu berani mengatakan bahawa ada orang lain yang lebih mulia daripada ahli keluarganya, sedangkan pada masa itu Muawiyah adalah seorang raja dan pemerintah Bani Umaiyah.
"Benar tuanku. Hasan bin Ali adalah cucu Nabi Muhammad dan Siti Khadijah. Beliau adalah anak Ali bin Abi Talib dan Fatimah Az-Zahrah. Bagi saya Hasan bin Ali orang yang mulia dan tiada bandingannya dengan orang lain," kata pembesar itu lagi.
Para pembesar lain turut terkejut mendengar jawapan pembesar yang bernama Annuman al-Zirqi itu. Semua para pembesar lain memandang tepat ke arah muka beliau. Mereka memandang beliau dengan pandangan sinis.
"Berani benar Annuman al-Zirqi berkata begitu di hadapan tuanku. Memang tidak beradab beliau ini," kata salah seorang pembesar yang menyokong kuat kepimpinan Muawiyah.
Ada di antara mereka marah terhadap Annuman al-Zirqi kerana mereka adalah pembesar yang menyokong kuat dan setia kepada Muawiyah.
"Maafkan hamba tuanku. Annuman al-Zirqi ini mungkin kelaparan atau tidak cukup tidur semalam. Maka, sebab itulah beliau berkata begitu," kata salah seorang pembesar lain bagi memujuk hati Muawiyah.
Muawiyah tetap berada di sana. Kemudian Muawiyah berasa seperti mahu marah terhadap Annuman al-Zirqi. Sebentar kemudian, marahnya itu menjadi reda apabila Muawiyah duduk semula di atas kerusi takhtanya itu.
"Maafkan saya tuanku. Saya berkata benar. Bagi saya orang yang mulia daripada ahli keluarga tuanku adalah Hasan bin Ali," kata Annuman al-Zirqi kepada Muawiyah.
"Tidak mengapa. Beta sudah tahu kebenarannya. Orang yang mulia selain daripada keluarga beta adalah Hasan bin Ali. Walaupun pada mulanya tadi beta agak terkejut dan berkecil hati tetapi sekarang beta dapat menerima kenyataan itu. Beta memaafkan kamu. Kamu berkata benar," jelas Muawiyah panjang lebar.
Para pembesar lain yang turut berada di sana juga dapat menerima kenyataan bahawa Annuman al-Zirqi seorang yang tegas dan bercakap benar. Mereka tidak marah kepada Annuman al-Zirqi lagi.
Annuman al-Zirqi ialah seorang pembesar yang berani. Beliau berani menyatakan kebenaran di hadapan rajanya pada masa itu. Oleh yang demikian kita sebagai orang Islam wajar mengambil iktibar daripada kisah ini.
Kita juga perlu bercakap benar dengan sesiapa sahaja yang kita jumpa. Orang yang bercakap benar tidak akan rugi.

 Petikan daripada buku Sayap Dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.

Mengembalikan kegemilangan baitulmal seperti era Khalifah Umar

SEJARAH mencatatkan institusi baitulmal pernah gemilang pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Malah, beliau dianggap sebagai individu yang mengasaskan institusi baitulmal secara rasmi dan sistematik berbanding kewujudan baitulmal dalam bentuk simple pada zaman Rasulullah SAW.
Ini kerana pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, wilayah pentadbiran Islam semakin luas dan hasil pendapatan negara yang terdiri daripada zakat, jizyah, kharaj dan harta rampasan perang bertambah banyak.
Institusi perbendaharaan negara atau dikenali juga sebagai rumah harta ini terus berkembang seiring dengan keperluan semasa.
Di Malaysia, pengurusan dan pentadbiran baitulmal dipertanggungjawabkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang diketuai oleh Sultan atau Raja sebagai ketua agama. Fungsinya menjurus kepada aspek perolehan dan pengurusan harta zakat, sedekah, wakaf, pengurusan harta tidak bertuan dan harta yang tidak dituntut.
Jika diteliti jumlah harta tersebut, ia meningkat saban tahun tetapi masih belum dapatmenyelesaikan masalah kemiskinan umat yang sedikit sebanyak menjadi faktor menyumbang kepada aktiviti tidak sihat seperti mengemis, mencuri dan lain-lain yang mencalar imej ketinggian Islam.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), peratus kemiskinan di kalangan orang Melayu yang majoriti beragama Islam adalah tertinggi berbanding kaum lain.
Peratus kemiskinan orang Melayu adalah 5.1 berbanding kaum Cina (0.6 peratus) dan India (2.5 peratus) pada 2007. Pendapatan isi rumah kaum bumiputera pada 2007 juga rendah iaitu sebanyak RM3,156 berbanding kaum Cina (RM4,853) dan India (RM3,799) sebulan.
Sedangkan dalam masa yang sama, jumlah kutipan zakat di seluruh negara pula menunjukkan peningkatan memberangsangkan. Misalnya, pada tahun lalu sejumlah RM1.19 bilion berjaya dikutip di seluruh negara berbanding RM1.03 bilion pada tahun 2008 dan RM806 juta pada 2007.
Lihat juga jumlah tabungan umat Islam di institusi kewangan Islam seperti Bank Islam dan Tabung Haji yang jumlahnya berbilion ringgit.
Justeru, sesuatu patut dilakukan bagi mengelak umat Islam terus dibelenggu dengan rantai kemiskinan di tanah airnya sendiri. Cadangan penubuhan institusi baitulmal di peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan pada 2009 wajar dijadikan sempadan.
Namun kata Perdana Menteri, penubuhan entiti tersebut mestilah jelas, kreatif dan tidak menjadi pesaing kepada institusi baitulmal negeri yang sedia ada.
Malah sokongan dan pandangan daripada mufti, tokoh-tokoh agama dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sangat diperlukan bagi merealisasikannya.
Masanya sudah tiba bagi mengembalikan semula kegemilangan institusi baitulmal Islam terdahulu demi memartabatkan lagi ketinggian Islam di mata dunia. Sifat umat Islam yang pemurah dan suka berderma patut diteruskan bagi mengharapkan ganjaran pahala berlipat kali ganda.
Ia juga boleh dijadikan modal pusingan untuk membantu sesama insan yang memerlukan.
Bayangkan jika semua umat Islam di Malaysia sanggup berkorban untuk menyumbang secara bulanan dengan jumlah tertentu. Sudah tentu, berbilion ringgit dapat dikumpul setiap tahun demi kemaslahatan ummah bersama. Ini dapat dilakukan jika kesemua wang tersebut disalurkan kepada badan tertentu seperti institusi baitulmal yang berintegriti dan berwibawa bagi memegang amanah ummah.
Apapun golongan tertentu seperti pengemis dan peminta sedekah diharap tidak mengambil kesempatan daripada sifat pemurah umat Islam dengan menjadikan aktiviti tersebut sebagai mata pencarian.
Adalah lebih mulia jika mereka berusaha dengan kudrat yang ada walaupun mungkin menerima habuan yang sedikit. Malah dengan cara itu juga, maruah dan kehormatan diri dan keluarga juga akan terpelihara.
Di sudut pandang yang lain, masih banyak keperluan fardu kifayah umat Islam yang belum terlaksana.
Dengan tertubuhnya entiti baitulmal di peringkat kebangsaan ini, ia boleh menyumbang kepada penyediaan produk halal yang lebih sistematik dan menyeluruh, terlibat dalam pasaran modal Islam yang memberi pulangan lebih besar dan meningkatkan ekonomi ummah melalui aktiviti pembiayaan Islam seperti REIT'S, sukuk dan lain-lain.
Ia juga dilihat sebagai pelengkap kepada institusi kewangan Islam sedia ada seperti bank Islam, syarikat takaful dan lain-lain yang wujud pada hari ini.
Bagaimanapun, penubuhan institusi seperti ini memerlukan sokongan padu pelbagai pihak terutama kepimpinan tertinggi negara serta badan bertanggungjawab seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Begitu juga idea bernas dan pandangan ikhlas daripada pihak MAIN, ulama dan tokoh akademik sangat diharapkan agar penubuhannya benar-benar menjadi kenyataan satu hari nanti.
Untuk tujuan itu juga, masyarakat Islam hendaklah berhenti daripada terus bertelagah dan menuding jari sesama sendiri kerana yang rugi adalah Islam dan umatnya sendiri. Asas kesatuan Islam dalam membina sebuah negara bangsa hendaklah disemai dan dipupuk setiap masa bagi melahirkan generasi Islam yang celik ilmu dan bijaksana dalam menangani apa juga cabaran semasa.
Golongan cerdik pandai Islam juga hendaklah memainkan peranan yang lebih signifikan sebagai pencetus kepada era kebangkitan semula Islam dengan mengerah usaha dan pemikiran ke arah meningkatkan ekonomi ummah melalui sektor ekonomi ijtimaiy seperti sedekah, wakaf, infaq fisabilillah dan lain-lain yang merupakan sunnah warisan Nabi Muhammad SAW.

Mohd. Ali Muhamad Don

Mencari pemimpin

Ketika diangkat menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz menangis teresak-esak. Melihat keadaan beliau itu, beberapa penyair datang dengan maksud bagi menghiburkannya tetapi Khalifah Umar menolak dengan baik.
Sikap Khalifah Umar itu turut mendapat perhatian anaknya yang resah melihat ayahnya menangis hampir sepanjang hari. Walaupun dia berusaha menjadi penyebabnya namun anak Umar gagal mendapat jawapannya.
Berikutan itu isteri Umar, Fatimah bertanya kepada suaminya: "Wahai suamiku, mengapa engkau menangis seperti ini?" Umar pun menjawab: "Sesungguhnya aku telah diangkat untuk memimpin urusan umat Nabi Muhammad SAW.
"Aku termenung memikirkan nasib para fakir miskin yang sedang kelaparan, orang-orang sakit yang tidak boleh diubati, orang-orang yang tidak mampu membeli pakaian, orang-orang yang selama ini dizalimi dan tidak ada yang membela, mereka yang mempunyai keluarga yang ramai tetapi hanya memiliki sedikit harta, orang-orang tua yang tidak berdaya, orang-orang yang ditawan atau dipenjara, serta orang-orang yang menderita di pelosok negeri ini.
"Aku sedar dan memahami bahawa Allah pasti akan meminta pertanggungjawabanku berikutan amanah yang aku pikul. Namun, aku bimbang tidak sanggup memberikan bukti bahwa aku telah melaksanakan amanah ini dengan baik sehingga aku menangis".
Khalifah Umar kemudian membaca firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 15 yang bermaksud: Sesungguhnya aku takut kepada seksa hari yang besar (kiamat) jika menderhakai Tuhanku.
Persoalannya berapa ramaikah pemimpin pada masa ini yang mempunyai semangat dan roh seperti Khalifah Umar.
Ada pula antara mereka hanya bijak menjadi Khalifah Umar sebagai alat politik tetapi dari corak pentadbiran jauh sekali dengan apa yang dilakukan oleh beliau.
Begitu juga ada di kalangan kita begitu ghairah untuk merebut jawatan dan kedudukan tanpa mahu memahami bahawa setiap yang dilakukan itu pasti dipertanggungjawabkan di Akhirat kelak.
Tetapi beginilah dunia, keghairahan untuk berkuasa menyebabkan kita terlupa terhadap pembalasan yang menanti.
Kuasa dan kedudukannya bukan lagi dilihat sebagai satu amanah tetapi lebih banyak diperalatkan untuk kepentingan diri mahu pun kelompok masing-masing.
Adalah sesuatu malang akibat keghairahan ingin berkuasa ini yang menjadi mangsa ialah rakyat kecil yang tidak mengerti apa-apa.
Ada antara mereka hanya kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Mereka tidak tahu soal kuasa dan kedudukan, apa yang mereka tahu ialah mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan di alam fana ini.
Namun, malangnya ada di antara pemimpin kita yang hidup dalam kemewahan tanpa mahu merenung rakyat bawahan. Lihat sahaja bagaimana Khalifah Umar meletakkan kedudukan selepas dilantik menjadi khalifah, menyedari masih ramai rakyatnya miskin, menderita dan sengsara, Umar membuat keputusan tidak tinggal di istana, tapi hanya menempati rumah sederhana tanpa pengawal peribadi mahupun pengawal keselamatan.
Beliau juga menolak menggunakan kemudahan negara, termasuk pelbagai perhiasan yang diwariskan Khalifah Malik bin Marwan untuk isterinya.
Namun kita sekarang menempuh situasi berbeza, terlalu ramai pemimpin yang lupa daratan apabila sudah dilantik sebagai pemimpin.
Segala janji yang dibuat ketika berkempen bagi mendapatkan kedudukan hanya tinggal janji, tiada satu pun yang ditunaikan.
Apabila rakyat menuntut janji itu maka pelbagai alasan diberikan tanpa mahu mengakui bahawa hakikat janji yang dibuat hanyalah semata-mata bagi meraih sokongan.
Atas sebab itulah Allah SWT mengingatkan golongan ini dalam surah al-Hasyr ayat 19 yang bermaksud: Janganlah kamu seperti orang orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.
Justeru adalah wajar jika mereka yang bergelar pemimpin menyedari tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Janganlah ghairah untuk berkuasa sehingga sanggup memperdayakan rakyat yang amat mengharap adanya pemimpin seperti Khalifah Umar Abdul Aziz.
Ingatlah kuasa dan kedudukan tidak kekal lama, sebaliknya ia adalah amanah yang boleh disifatkan sebagai satu bebanan yang di akhirat akan dipersoalkan.

Susunan Zulkiflee Bakar

Friday, January 21, 2011

Zanifah komersialkan roti serat


ZANIFAH Md. Nor bersama produk utamanya, roti serat dan kek buah kukus yang semakin digemari ramai.



ENAM bulan lalu, kehadiran beberapa wanita berusia hampir saban hari ke bakeri D’Flowers Cake yang terletak di Taman Bersatu, Rawang, Selangor, semata-mata untuk membeli roti serat tidak pernah dianggap sesuatu yang istimewa oleh pemilik bakeri, Zanifah Md. Nor.
Apatah lagi, Zanifah, 39, beranggapan roti serat yang diilhamkannya itu sama sahaja seperti roti dan ban-ban biasa yang turut dijual di bakerinya. Namun, segalanya berubah apabila beliau mendapati roti serat yang dihasilkan secara kebetulan menjadi ‘buruan’ golongan tua dan remaja yang mementingkan diet sihat.
“Sebaik berada di rak jualan, roti ini mulai digemari golongan tua yang tidak pernah jemu untuk membelinya. Bukan sebungkus dua yang dibeli setiap keluarga malah ada kalanya pilihan mereka lebih daripada dua bungkus. Pada saya, ia adat biasa dalam dunia perniagaan, produk baru mestilah menjadi pilihan ramai,” ujar anak kelahiran Melaka ini.
Namun sangkaannya meleset. Semakin hari, jualan roti serat tidak pernah surut. Pernah pelanggan dari jauh datang membeli lagi walaupun baharu beberapa hari telah membelinya.
Kejadian seorang remaja India yang kehampaan untuk mendapatkan roti tersebut kerana kehabisan telah membuka hati Zanifah untuk menghasilkannya secara komersial dan bersungguh-sungguh.
Justeru, bagi memenuhi selera pelanggan dan bersesuaian dengan gaya hidup masa kini yang mementingkan diet sihat, Zanifah mulai memasarkan roti serat secara terbuka dan meluas.
Jika dulu roti serat dibuat secara berselang-seli dengan roti-roti jenis lain, kini hampir setiap hari pekerjanya dikehendaki membuat roti tersebut mengikut jumlah yang ditetapkan.
“Selain ramuan utama yang terdiri daripada pati tepung gandum berprotein tinggi, sedikit gula, garam, yis dan susu, roti ini juga diperkaya dengan serat gandum dan oat.
“Protein pada tepung dikatakan mampu membina dan memperbaiki tisu badan selain itu roti juga boleh dijadikan makanan alternatif jika jemu dengan makanan ruji,” jelas beliau yang turut menganjurkan pelbagai kelas pastri pada setiap bulan.
Tambah pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang pengajian pembangunan dari Universiti Sains Malaysia ini lagi, keistimewaan roti serat bukan sahaja boleh dijadikan bekalan makanan untuk anak-anak ke sekolah malah untuk para pekerja yang sibuk serta sajian alternatif di kafe mahupun restoran besar.
“Untuk kanak-kanak sekolah, ibu bapa cuma perlu menyapukan jem pada bahagian tengah roti yang dibelah dua atau dimasukkan cincangan daging ayam agar lebih enak.
“Bagi suri rumah atau pekerja yang sibuk pula, roti serat boleh dinikmati begitu sahaja, dimakan bersama minuman panas, digandingkan dengan sambal, gulai kawah, jem atau apa saja kuah yang pekat mahupun cair. Rasanya enak, tidak terlalu manis dan sedikit lemak memang tidak menjemukan,” jelas ibu kepada empat cahaya mata ini.
Disebabkan potensi yang tinggi, Zanifah mengalu-alukan penglibatan mereka yang berminat untuk menjadi pengedar roti serat. Bagi memudahkan jualan, setiap pek roti serat yang dijual pada harga RM3 mengandungi empat keping roti bulat mirip piring terbang yang setiap satu seberat 50 gram.
“Selain dijadikan sajian di rumah, roti serat juga boleh dijadikan menu sampingan terutama di kafe atau restoran. Secara tidak langsung, pelanggan boleh membuat banyak pilihan kerana roti serat bebas dimakan dengan apa saja kuah yang sedia ada. Saiznya yang kecil mudah dinikmati oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa.
“Dari segi penyimpanan, roti serat bebas daripada pengawet makanan namun ia tahan lebih dua bulan jika didinginbekukan. Di dalam peti sejuk biasa, ia tahan selama 10 hari manakala pada suhu bilik ia tahan selama empat ke lima hari,” tambah Zanifah yang turut mendapat sokongan padu daripada suami, Badrul Hisham Abdul Rahman.
Selain roti serat, D’ Flowers Cake yang bertemakan Muslim‘s Homemade Cake House turut menawarkan kek buah kukus istimewa sebagai salah satu produk utamanya. Keistimewaan kek buah ini terletak pada rasanya yang enak, lembap dan teksturnya yang padat.
“Kami menghasilkan kek ini berdasarkan keperluan dan cita rasa pelanggan. Mereka boleh membuat pilihan saiz dan tambahan aksesori yang diperlukan. Selalunya pilihan pelanggan lebih tertumpu sebagai kek cenderamata, kek buah beraising fondant atau kek di musim perayaan memandangkan ia tahan lama berbanding kek-kek jenis lain,” ujar Zanifah yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam menghasilkan kek buah kukus secara ‘home-made’.
Disebabkan rasa kek yang enak, tidak hairanlah Zanifah kini mempunyai ramai pelanggan tetap yang terdiri daripada golongan pertengahan dan atasan sejak 10 tahun lalu.
“Kami menjual kek ini secara eksklusif. Pelanggan boleh membuat tempahan untuk membelinya tanpa hiasan atau lengkap berhias gula aising fondant. Rahsia keenakan kek ini terletak pada resipi asli dan cara memasak yang memerlukan ia dikukus selama empat jam.
“Justeru kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi pengedar roti serat dan kek buah kukus, sila hubungi saya di talian 019-6647068/019-3772032 atau e-mel ‘dflower_cake@yahoo.com.my’,” katanya.
Kepada yang berminat, bolehlah mengunjungi mana-mana premis D’ Flowers Cake, sama ada di No. 30, Jalan Bersatu 8, Taman Bersatu, Rawang atau Tingkat Bawah, Tok Yem‘s Street Mall, Damansara Damai, Selangor.

Oleh: BINTU RASYADA A. RAHMAN

Big Mama: Pakar sambal

SAMBAL atau paste dalam bahasa Inggeris memang banyak fungsinya dalam sajian seharian masyarakat kita. Ada yang menjadikannya sebagai kuah seperti sambal tumis dengan pelbagai jenis lauk, ada yang menggunakan ia sebagai bahan rencah untuk memasak sayur atau lauk-pauk dan ada juga sebagai pencicah seperti sambal belacan serta sambal kicap. Namun yang pasti, ia antara hidangan popular yang digemari oleh semua kaum di negara ini.
Menurut Chef Master Jaman Saidun dari restoran Big Mama, Kampung Baru, ramai yang tidak tahu bahawa dengan satu sambal kita boleh menghasilkan berpuluh-puluh jenis masakan.
“Sebenarnya asas menghasilkan sambal adalah sama. Dengan mencampurkan sambal asas dengan beberapa rencah yang lain seperti halia, serai dan kunyit akan menghasilkan pelbagai jenis masakan antaranya gulai, masak lemak, rendang, sambal tumis dan banyak lagi,” ujarnya.
Katanya lagi, ramai yang menganggap sambal mudah disediakan. Namun kebanyakan mengakui agak sukar menghasilkan sambal yang ‘kick’ lagi berbau memikat.
Di Big Mama, pelbagai jenis menu dihidangkan terutama yang menggunakan sambal selain makanan Barat dan juga menu yang diminta oleh pelanggan.
Antara yang istimewa adalah siakap tiga rasa, ikan masak sambal belacan, daging sambal belacan dan lada hitam serta banyak lagi.
“Sebenarnya menu di sini adalah mengikut permintaan pelanggan. Maksudnya, pelanggan yang tentukan dan kami sediakan,” katanya yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang ini.
Tidak lokek berkongsi ilmu yang dimiliki, Chef Jaman turut menawarkan kursus penyediaan sambal merangkumi lebih 20 jenis yang bakal mengungkap rahsia sebenar dalam penghasilan sambal yang enak lagi memikat.
Menurut Jaman, kursus yang akan bermula minggu depan ini merangkumi teknik, kaedah, penyediaan dan kegunaan sambal. Kursus yang dijalankan secara praktikal ini akan mengambil masa selama dua hari. Peserta juga akan memperolehi tip penjagaan kesihatan dalam penyediaan makanan yang turut terkandung dalam modul kursus ini.
Bagi yang berminat mengikuti kursus boleh menghubungi Chef Jaman untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Big Mama dibuka setiap hari dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
Resipi sambal cili boh asas
Bahan-bahannya:
500 gram cili kering
750 gram bawang merah dihiris
8 auns minyak masak
Cara membuatnya:
Kisar cili kering hingga halus. Tumiskan bawang hingga kuning. Masukkan cili kisar dan masak hingga pecah minyak. Setelah sejuk masukkan ke dalam bekas dan boleh disimpan di dalam peti sejuk. Cili boh yang dimasak tahan lebih lama berbanding yang mentah.

Oleh: BINTU RASYADA A. RAHMAN 

Kafe pejabat bergerak


Pat Teoh (depan) dan Yati Hamzah di kafe berkonsep pejabat bergerak.



PERSAINGAN yang semakin sengit dalam dunia perniagaan, secara tidak langsung memberikan cabaran besar terhadap sesiapa sahaja yang baru hendak berjinak-jinak di bidang ini.
Oleh itu ada baiknya jika sebelum memulakan sesuatu perniagaan dengan meninjau dahulu apa yang menjadi keperluan pengguna.
Pembukaan kafe pejabat bergerak Paper + Toast di A-0-5 One Residency, No: 1, Jalan Nagasari Off Jalan Raja Chulan oleh tiga rakan kongsi iaitu Pat Teoh, 27, Yati Hamzah, 34 dan Darren Zhou, 29, wajar dipuji.
Usaha tiga rakan kongsi ini disifatkan berani kerana sanggup meneroka jenis perniagaan yang masih terlalu baru di Malaysia.
Paper + Toast merupakan kafe pejabat bergerak yang pertama dibuka di Kuala Lumpur.
Penasihat kafe, Pat berkata, ''Kita sedar ramai di kalangan eksekutif dan juga ahli perniagaan yang memerlukan pejabat sementara dan menjalankan mesyuarat yang turut menyajikan makanan khususnya di ibu kota.''
Jelasnya, rata-rata kafe Internet yang ada sekarang masih tidak mencukupi keperluan ini.
Sehubungan itu, katanya, Paper + Toast dibuka bagi memenuhi keperluan eksekutif dan ahli perniagaan memerlukan tempat bermesyuarat di luar pejabat dalam suasana santai.
''Di sini kami juga menawarkan menu istimewa dari makanan negara Asia hingga Barat yang disediakan dari bahan yang bermutu, segar serta bebas dari bahan pengawet,'' katanya.
Tambah rakannya Yati, pengalaman sukar mencari tempat selesa untuk bermesyuarat di luar pejabat siap dengan hidangan makanan, memberi idea pada penubuhan kafe tersebut.
''Kafe kami umpama 'pejabat bergerak' kerana bukan sahaja menyediakan ruang selesa untuk bermesyuarat malah ada pejabat kecil yang dilengkapi kerusi, meja, komputer, faks dan Internet,'' ujarnya.
Lagi pun katanya, ia juga untuk menepati keperluan di kalangan mereka yang bekerja sambilan yang memerlukan sebuah pejabat bergerak.
Jelasnya, disebabkan ruang kafe ini terhad maka bantuan seorang lagi rakan kongsi yang juga arkitek iaitu Darren berjaya membuatkan ruang dalaman kafe ini begitu selesa.
''Umpamanya ruang pejabat yang dilengkapi dengan meja dan rak buku memang direka khas untuk mudah lipat di mana hanya akan dibuka jika ada pelanggan,'' katanya.
Malah katanya, pihaknya percaya dengan kelainan ini secara tidak langsung menjadikan ia sebagai sebagai percubaan yang pertama di negara ini dengan membuka kafe pejabat bergerak.
Selain itu, pihaknya menyediakan menu istimewa untuk dinikmati oleh pelanggan yang sememangnya.
Katanya, kafe pejabat bergerak Paper + Toast menawarkan harga bermula dengan RM8.50 sejam untuk perkhidmatan pejabat mudah alih, RM85 sejam untuk bilik mesyuarat termasuk hidangan kopi dan teh.

Oleh SHOLINA OSMAN

Teknik masak pasta


VEGERONI Bolognese.



ANDA gemar menikmati pasta? Pasta sebenarnya diperbuat daripada tepung semolina iaitu sejenis tepung gandum daripada spesies durum.
Tepung ini mempunyai kandungan protein yang tinggi dan berwarna kuning. Adunan untuk membuat pasta adalah tepung, telur, minyak dan air.
Terdapat dua jenis pasta iaitu yang segar dan kering. Pasta segar adalah basah dan tidak tahan lama dan perlu digunakan segera.
Pasta kering pula boleh tahan lebih daripada dua tahun jika disimpan di tempat kering.
Terdapat pelbagai resipi makanan berasaskan pasta boleh disajikan namun resipi daripada Itali merupakan resipi yang paling popular.
Terdapat pelbagai jenis dan nama pasta seperti spageti (seperti mi); lasagne (nipis empat segi); fettuccine (tiub dan silinder); fusilli (berpintal) dan bermacam-macam lagi.
Kebiasaannya pasta dimakan bersama sos. Walaupun hidangan pasta seakan mudah disediakan namun ada beberapa teknik dan cara memasak pasta.
Air untuk merebus
Air perlulah banyak dan jika pasta yang direbus adalah 500 gram gunakan satu liter air untuk merebus.
Gunakan periuk yang dalam dan besar agar dapat memberi ruang kepada pasta semasa merebus dan air yang banyak pula dapat mengelakkan pasta daripada melekat.
Letak garam dalam air rebusan untuk memberikan rasa masin pada pasta dan pasta akan berasa lebih enak dimakan bersama sos.
Sebelum merebus pasta pastikan airnya mendidih kerana pasta yang dimasukkan ketika air mendidih akan menurunkan suhu air rebusan. Jadi untuk mengelakkan proses merebus terhenti terlalu lama air perlu dididihkan dahulu.
Semasa merebus pasta biarkan pasta lembut seketika dan barulah dikacau untuk meleraikan pasta yang melekat dan supaya pasta masak sekata.
Jangan terlalu kerap dan kuat mengacau kerana pasta akan patah dan putus. Untuk mengelakkan pasta daripada melekat, letakkan sedikit minyak zaitun atau jagung semasa merebus terutamanya pasta seperti spageti dan fetucine.
Selepas menapis pasta gaulkan dengan sedikit minyak supaya pasta tidak mudah kering dan melekat.
Jangan campurkan pasta yang berbeza saiz semasa merebus kerana tahap kemasakannya tidak sama.
Pasta yang direbus perlu dimasak sehingga mencapai tahap kemasakan al dente iaitu teksturnya masih kenyal apabila digigit.
Jika ia direbus terlalu lama pasta anda akan menjadi lembik. Simpan air rebusan untuk memanaskan pasta yang telah direbus sebelum anda curahkan dengan sos pasta yang panas.
Ini pasti lebih menyelerakan kerana dimakan ketika panas. Taburkan atas pasta anda dengan keju parmesan bagi menyemarakkan lagi selera anda.

Nostalgia lempeng kelapa

ATU tempat tetapi boleh memenuhi semua selera daripada sajian Melayu, Thai hinggalah kepada makanan Barat dan daripada makanan berat hingga kepada sekadar kudap-kudapan untuk mengalas perut.
Itu mungkin gambaran tepat untuk Restoran T'mor Place yang menghuni salah satu unit di deretan kedai di Dagang Avenue, Ampang, Selangor.
Di sini juga destinasinya bagi yang terkenang masakan ibu di kampung seperti masak tempoyak, gulai lemak cili padi, sambal udang petai, asam pedas, rendang ayam, ayam kampung goreng berempah, gulai pucuk paku, rebung, ikan baung tempoyak, kerabu, ulaman dan sebagainya.
Ini belum lagi lempeng kelapa yang diberi nama Lempeng Mak Ton yang sedap dimakan bersama sambal sardin atau kuah kari - pasti ia bakal membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak ketika menikmati lempeng hasil air tangan ibu.
Ada juga kuih-muih manis seperti lopes, lepat, talam juga pengat labu, pisang, keledek dan keladi. Yang suka laksa, boleh mencuba laksa Johor dan laksa penang yang cukup perisa.
Keistimewaan inilah yang membuatkan T'mor Place sentiasa dipenuhi pelanggan pada setiap waktu makannya sama ada tengah hari, malam dan dinihari.
Kata pemiliknya, Ann Hussain yang berkongsi perniagaan ini bersama Dr. Syed Rozaidi Wafa, makanan Melayu tetap mendapat tempat di hati bukan sahaja masyarakat Melayu malah bangsa asing.
''Masakan kampung T'mor Place memang disediakan secara tradisional hasil air tangan tukang masak kami, Mak Jah yang berpengalaman selama 40 tahun menyediakan pelbagai masakan Melayu.
''Hidangan kampung akan mula dihidangkan pukul 11 pagi untuk makan tengah hari. Bermula pukul tiga petang pula, pelanggan sudah boleh memesan hidangan Thai dan barat yang berterusan sehingga ke pukul 2.30 pagi.
''Pelanggan yang datang makan pada waktu malam pula lebih sukakan makanan yang ringan seperti otak-otak, tauhu bakar istimewa dan The Kunyah, iaitu cendawan, udang, kentang yang digoreng rangup,'' ujar Ann, 38 tahun.
Mempunyai 20 orang pekerja, T'mor Place menampilkan hiasan dalaman berkonsep moden dan kedesaan yang boleh memuatkan sehingga 100 orang pada satu masa.
Menariknya, setiap sudut, dinding dan ruang dihiasi dengan perhiasan seperti botol pelbagai saiz dan warna, koleksi tembaga, sangkar burung dan barangan antik milik ibu Ann.
Katanya, dekorasi restoran dilakukan hasil ilhamnya sendiri bersama rakan kongsi yang sentiasa berusaha menjadikan T'mor Place sebuah tempat makan yang tidak mudah dilupakan.
Untuk itu, katanya, selain makanan yang sedap, hiasan restoran yang cantik, kebersihan, layanan mesra dan perkhidmatan yang memuaskan amat diutamakan.
Selain pelanggan yang datang makan di sini, ada juga yang mengadakan majlis seperti hari jadi, pertunangan, meraikan teman pejabat dan sebagainya. Biasanya mereka lebih gemar duduk di luar restoran kerana lebih nyaman, berangin dan lapang.
Restoran ini bertambah sibuk pada bulan Ramadan kerana ia turut menyediakan bufet berbuka puasa pada harga yang amat berpatutan, iaitu RM25 seorang dengan lebih 40 sajian.
Pemilik T'mor Place, Ann Hussain.

Oleh MERAN ABU BAKAR

Resipi turun-temurun




MENCARI makanan ala kampung di bandar besar seperti Kuala Lumpur bukan sesuatu yang sukar. Memandu saja ke mana-mana restoran yang menawarkan pelbagai masakan kampung pasti akan ketemu apa yang dicari cuma mungkin rasanya tidak seenak masakan hasil air tangan ibu.
Misalnya, bagi yang berasal dari utara tanah air terutama Kedah pasti akan tercari-cari aroma gulai kawah yang biasa disajikan di majlis-majlis perkahwinan.
Kini mereka tidak perlu lagi perlu bersusah payah memandu ke Kedah kerana sudah banyak restoran serta hotel-hotel menyediakan juadah tersebut.
Bagi penduduk sekitar Bandar Baru Bangi, Selangor, destinasinya sudah tentu ke Restoran Gulai Kawah yang terletak di Seksyen 8 bandar tersebut.
Restoran ini cukup terkenal bagi mereka yang ingin menikmati gulai kawan sebagai hidangan tengah hari mahupun malam.
Menggunakan resipi turun temurun serta bahan-bahan segar, gulai kawah daging yang disajikan di restoran ini mampu membuka selera sesiapa sahaja.
Menurut Chef Korporatnya, Muhamad Ridzuan Mat Desa, Restoran Gulai Kawah menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan juga makan malam.
Tambahnya, selain gulai kawah daging, antara menu-menu lain yang menjadi pilihan para pelanggan ialah patin masak tempoyak, sup tulang serta ayam kampung goreng.
''Keenakan gulai kawah terletak pada daging rincik berserta adunan ramuan rempah tradisional yang dimasak dalam kawah besar.
''Setiap hari antara 15 hingga 20 kilogram daging lembu tempatan yang dimasak dan dijual dengan harga RM6, RM8 dan RM10 (mengikut saiz).
''Hidangan nasi gulai kawah tidak memerlukan banyak lauk, cukup dengan nasi, gulai dan sambal serta timun,'' katanya ketika ditemui sedang menguruskan masakan bersama 15 pembantunya.
Ujarnya lagi, bahan-bahan untuk memasak setiap hidangan sudah pasti daripada bahan-bahan yang segar dan ia dibeli setiap hari.
Selain menggunakan rempah ratus tempatan, daging lembu yang dimasak juga merupakan daging segar yang dibeli setiap hari dan bukannya daging beku (import).
Ia adalah bertujuan untuk menjaga mutu dan keaslian gulai kawah tersebut.
Dibuka setiap hari dari pukul 7 hingga 1 pagi, restoran tersebut mampu menampung sehingga 60 orang pelanggan pada satu-satu masa.
Selain menu gulai kawah daging yang disediakan pada waktu tengah hari, Restoran Gulai Kawah turut menyediakan menu istimewa secara ala carte untuk pelanggan pada waktu malam iaitu nasi goreng gulai kawah.
Bagi mereka yang ingin menikmati hidangan ringan pada waktu malam, mereka juga boleh mencuba keropok lekor istimewa di mana para pelanggan boleh menikmatinya dengan sos cili ataupun dicampur dengan mayonis.
''Untuk sarapan pagi, kami menyediakan pelbagai menu seperti nasi goreng, bihun goreng, lontong, roti canai dan sebagainya.
''Bagi makan tengah hari pula, kami menyediakan antara 25 hingga 30 jenis masakan setiap hari termasuk gulai kawah daging.
''Sudah pasti para pelanggan yang menikmati makanan di sini memilih untuk menikmati gulai kawah daging selain patin masak tempoyak, sup tulang dan ayam kampung goreng,'' ujarnya.
Turut menyediakan perkhidmatan katering, turut mempunyai cawangannya di The Curve, Bandar Utama dan juga Mydin USJ.





Ikan bakar Tasik Raban




SINGGAH sebentar ke Tasik Raban, Lenggong Perak ketika penulis dalam perjalanan pulang ke kampung baru-baru ini memberi pengalaman yang cukup istimewa.
Terletak kira-kira 20 kilometer dari tol Kuala Kangsar, tasik yang tenang dan mendamaikan ini menjanjikan panorama alam yang mengasyikkan.
Ia sebenarnya adalah Tasik Chenderoh, yang terbentuk daripada limpahan Sungai Raban akibat banjir ketika pembinaan empangan Chenderoh suatu ketika dulu. Namun masyarakat setempat lebih gemar menyebutnya Tasik Raban.
Bagi kaki pancing, kawasan ini menjadi tumpuan kerana terkenal sebagai lubuk ikan air tawar seperti tengalan, kelah, sebarau dan banyak lagi. Bagi peminat ikan air tawar tapi bukan kaki pancing, apa kata kunjungi Restoran Tasik Raban yang terletak tidak jauh dari situ.
Deretan kereta di depan restoran membuktikan ia menjadi tumpuan ramai. Apa lagi tatkala memandang asap berkepul-kepul dari satu sudut, diiringi aroma ikan bakar yang menyelerakan, serta-merta perut mula berkeroncong.
Menurut pengurus restoran yang ingin dikenali sebagai Mak Teh, terdapat pelbagai jenis ikan sungai dan tasik terdapat di sini.
"Sesetengah ikan hanya ada pada musim tertentu seperti ikan tengalan. Harganya pun mahal iaitu sekitar RM50 hingga RM60 seekor," katanya.
Jelas Mak Teh, ikan tengalan, sebarau dan kelah merupakan ikan liar yang ditangkap di Sungai Perak atau tasik itu, manakala ikan tilapia dan patin diternak dalam sangkar yang dibina di Tasik Raban.
Rasa ikan air tawar bakar di sini memang enak dan tidak hanyir. Tambahan lagi ia masih segar, menjadikan rasanya manis semula jadi. Kuah istimewa yang ditabur pula menambah lagi perisa. Jika tidak suka dicicah bersama air asam atau sambal, cukup sekadar kuah ini sahaja.
Selain ikan bakar, antara masakan yang paling diminati di sini adalah gulai tempoyak, daging masak hitam, ulam kampung, sambal tempoyak, ikan pekasam Lenggong dan banyak lagi.
Kata Mak Teh, mereka sudah berniaga lebih 20 tahun dan dulu restoran ini terletak betul-betul di atas Tasik Raban.
"Bila kawasan ini dibina jalan raya yang lebih selesa dan pelbagai lagi kemudahan dibangunkan, barulah kami berpindah ke kedai sekarang," katanya.
Restoran Tasik Raban turut membuka cawangan di Ipoh dan kawasan berdekatan Tesco Stesen 18, Pengkalan, Perak.

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

Melayu monopoli roti tempayan

KUALA TERENGGANU - Jika teringin menikmati roti nan atau roti tempayan, pastinya kaki laju menuju ke restoran mamak berdekatan kerana kebiasaannya mereka yang mahir dan sinonim dalam membuat makanan berasaskan tepung itu.
Namun berbeza pula bagi masyarakat di sekitar Kuala Terengganu kerana kemahiran membuat roti tempayan itu turut menjadi minat seorang anak kelahiran Kelantan yang membuat makanan itu sendiri sejak lebih lima tahun lalu.
Siapa menyangka pengalaman beberapa kali melawat negara Asia Barat seperti Pakistan, Mesir, Iran dan Arab Saudi, membolehkan pemilik Restoran Ahlan di Kampung Sena Rendang, Bukit Payung dekat sini mengusahakan perniagaan menjual roti tempayan.
Bukan sahaja keenakan roti tersebut diperkatakan namun gulai ayam, daging cincang serta kambing yang disediakan bersama roti juga amat menyelerakan dan lazat tambahan pula dimakan ketika masih panas.
Roti yang dihasilkan melalui ramuan dan bahan-bahan campuran dari pelbagai negeri Asia Barat itu berbeza daripada restoran lain terutama dari segi kelembutan serta rasanya sehingga menyebabkan restoran tersebut menjadi tumpuan pengunjung jauh dan dekat setiap hari terutamanya pada waktu malam.
Restoran yang boleh memuatkan seramai 180 orang pada satu-satu masa itu yang sunyi sepi pada waktu siang, pastinya terang-benderang malah hingar-bingar setiap kali waktu operasinya bermula pada pukul 5 petang hingga ke tengah malam.
Menurut pemilik restoran berkenaan, Azmi Salleh, 45, yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang, dia pada mulanya membuat roti tempayan tersebut hanya untuk dimakan ahli keluarga.
Katanya, namun lama-kelamaan dia yang mempunyai sebuah gerai makan di Kampung Sena Rendang, Bukit Payung mula mengusahakan menjual roti tersebut secara kecil-kecilan di situ.
"Dulu saya berniaga di gerai berhadapan restoran ini dan ketika itu lebih kurang dua kilogram tepung gandum ataupun 50 biji sahaja yang dijual namun lama-kelamaan jumlahnya semakin bertambah apabila mendapat tarikan pengunjung setiap hari.
"Kini setiap hari, dengan pekerja seramai empat orang kami terpaksa menyediakan kira-kira lebih 100 biji sehari iaitu bersamaan dengan seguni tepung," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Azmi, resipi membuat roti tersebut serta beberapa makanan Asia Barat lain seperti Nasi Mandi, Nasi Arab, daging cincang dan beberapa hidangan lain dipelajari dengan rakan-rakannya ketika mengunjungi negara Asia Barat berkenaan.
Jelasnya, dengan harga serendah RM1 hingga RM4 pelanggan boleh menikmati sebiji roti tempayan bersama pelbagai pilihan kuah.
Tambahnya, setiap hari lebih 100 pelanggan mengunjungi restoran tersebut termasuk pelancong asing.
"Jangan terkejut jika ada antara pelanggan dari negara Arab yang memesan 13 hingga 15 biji roti tersebut bersama kari kambing dan ia untuk dimakan seorang sahaja.
"Kebanyakan mereka memberitahu kepada kami bahawa roti yang disediakan amat sedap, lembut dan kuahnya juga enak kerana menggunakan bahan yang segar," jelasnya.
Perniagaan Azmi itu turut dibantu isterinya, Jelima Mat Wahid, 46,
Seorang pelanggan yang ditemui, Hariana Hadin, 27, yang berasal dari Muar, Johor mengakui amat terkejut kerana roti berkenaan dibuat oleh orang Melayu kerana keenakan dan kelembutan roti itu umpama menikmatinya di restoran Arab.
Jelasnya, dia yang pertama kali mengunjungi restoran berkenaan tidak teragak-agak untuk mengunjungi lagi kerana amat berpuas hati dengan kelazatan menu di restoran itu.
"Saya juga mencuba martabak di restoran tersebut dan ia amat menyelerakan," ujarnya.
Bagi mereka yang ingin mengunjungi restoran ini, ia terletak di Lot 1707, Kampung Baruh Penaga,Jalan kedai Buloh, Bukit Payung, Marang dan untuk tempahan boleh hubungi di talian 09 - 619 3450.
Oleh Siti Airunnisa Alaui

Saturday, January 8, 2011

Luahan Hati Seorang Sahabat

Warga emas sihat jika kerap bersenam

Senaman, aktiviti fizikal berterusan penting untuk kebaikan kesihatan
tanpa mengira usia
SENAMAN sering dikaitkan dengan gadis cantik jelita dan lelaki sasa
berotot tetapi sebenarnya warga emas juga perlu bersenam.
Purata jangka hayat bagi warga emas lelaki kini mencecah kepada 72.3
tahun, manakala wanita 76.9 tahun. Jabatan Kebajikan Masyarakat
Malaysia (JKMM) menjangka menjelang 2020, jangka hayat bagi lelaki
mencecah usia 75.4 tahun dan wanita 80.4 tahun.
Malangnya, sesetengah warga emas dihinggapi pelbagai penyakit seperti
diabetes, jantung dan angin ahmar.
Antara masalah membabitkan warga emas diwarisi daripada gaya hidup
masyarakat yang kurang atau tidak pernah bersenam. Masalah
membabitkan warga emas lebih ketara apabila persaraan menyebabkan
mereka tidak lagi menjalani kehidupan secara aktif.
Walaupun bergelar warga emas, senaman secara tetap dan aktiviti fizikal
sangat penting untuk kebaikan kesihatan. Malah kajian di Barat
menunjukkan tidak bersenam adalah tingkah laku yang berisiko.
Antara masalah membabitkan warga emas ialah mereka tidak lagi
berdikari, iaitu kehilangan keupayaan melakukan sesuatu mengikut
kehendak diri. Keadaan ini sebenarnya bukan hanya kerana faktor umur.
Punca utama dan dalam kebanyakan kes membabitkan warga emas yang
tidak lagi menjalani kehidupan aktif.
Empat elemen penting yang menentukan seseorang kekal sihat dan
berdikari ialah ketahanan, kekuatan, keseimbangan dan fleksibiliti. Warga
warga emas yang tidak lagi menjalani kehidupan aktif mungkin kehilangan
beberapa elemen itu.
Kajian menunjukkan sebahagian elemen itu boleh dipertahankan dengan
bersenam atau melakukan kegiatan fizikal seperti berjalan pantas atau
berkebun dengan matlamat akhirnya mungkin menyamai kebaikan
bersenam.


Halangan untuk warga emas bersenam
Apakah yang menyebabkan warga emas enggan bersenam walaupun
mengetahui aktiviti itu memanfaatkan diri mereka.
Antara faktor menyebabkan keadaan ini berlaku mungkin kerana
kebimbangan bahawa bersenam boleh membahayakan diri. Mungkin ada
beranggapan mereka perlu ke gimnasium atau terpaksa membeli
peralatan mahal.
Sesetengah warga emas mungkin malu kerana menganggap bersenam
hanya untuk golongan muda. Ada yang berpandangan bersenam hanya
untuk mereka yang mampu melakukan aktiviti seperti berjoging.
Sebenarnya setiap warga emas boleh melakukan sesetengah aktiviti fizikal
dengan selamat. Jika perlu mengeluarkan wang, mungkin tidak begitu
besar. Jika segan, warga emas tidak perlu bersenam di tempat awam atau
menggunakan peralatan senaman mahal.
Hakikatnya, setiap kerja harian di rumah boleh meningkatkan tahap
kesihatan. Kunci utamanya ialah bersenam, aktiviti fizikal dan
menggunakan kuasa otot.
Kajian menunjukkan dalam tempoh jangka panjang, tahap kesihatan
warga emas akan menjadi lebih buruk apabila tidak bersenam.
Sehubungan itu, warga emas perlu berusaha untuk kekal aktif mengikut
kemampuan mereka.
Berbeza dengan tanggapan umum, bersenam bukan saja memberi
manfaat kepada warga emas berumur sekitar 60-an yang masih mampu
berdikari dan melakukan aktiviti seperti berjoging.
Penyelidik mendapati senaman dan kegiatan fizikal mampu meningkatktkan
tahap warga emas berusia 90 tahun atau lebih tua. Mengekalkan
kehidupan yang aktif dan bersenam secara tetap boleh mencegah atau
melewatkan mendapat sesetengah jenis penyakit apabila umur meningkat.
Dalam sesetengah kes, tahap kesihatan warga emas yang mempunyai
penyakit didapati bertambah baik apabila melakukan senaman secara
konsisten.
Berikut ialah jenis senaman yang boleh membantu meningkatkan tahap
kesihatan warga emas:

Senaman ketahanan
Senaman ini baik untuk kesihatan jantung, paru-paru dan sistem
pernafasan. Mempunyai ketahanan bukan saja membantu menjadikan
lebih sihat, malah memperbaiki stamina untuk kerja yang dilakukan setiap
hari seperti pergi ke kedai runcit.
Senaman ketahanan boleh melewat atau mencegah sesetengah jenis
penyakit yang dikaitkan dengan faktor umur seperti diabetes, kanser kolon,
penyakit jantung dan angin ahmar.
Senaman kekuatan
Senaman ini membina otot dan menjadikan tubuh lebih kuat. Walaupun
peningkatan kuasa otot kecil, ini memberi kesan besar dari segi
keupayaan. Senaman ini juga meningkatkan kadar metabolisme,
mengawal berat badan dan kandungan gula dalam darah.
Ini penting kerana obesiti dan diabetes adalah masalah kesihatan utama
warga emas. Malah kajian mendapati senaman kekuatan boleh mencegah
osteoporosis.
Senaman keseimbangan
Masalah yang sering dihadapi warga emas seperti terjatuh dapat dicegah
dengan senaman ini. Terjatuh merbahaya kerana boleh menyebabkan
kecederaan dan apabila sering berlaku akan menyebabkan warga emas
hilang keupayaan dan tidak lagi berdikari.
Sesetengah jenis senaman keseimbangan juga boleh membina kekuatan
otot kaki. Aktiviti mudah seperti berdiri menggunakan satu kaki juga boleh
membantu.
Senaman fleksibiliti
Senaman ini menjadikan tubuh mudah lentur. Ini dilakukan dengan aktiviti
regangan membabitkan otot dan tisu yang menentukan keseimbangan
tubuh. Ahli terapi fizikal mencadangkan senaman regangan dilakukan
terhadap pesakit untuk pulih dari kecederaan. Selain itu, senaman ini baik
untuk mencegah masalah terjatuh.

Durian Behrang Ulu