Thursday, March 24, 2011

Tak kenal tapi menyintai-Nya

Apakah yang menyebabkan ummah, wilayah dan negara Islam di zaman moden paling kerap ditimpa bencana? Dilanda peperangan demi peperangan. Sama ada diserang oleh bukan Islam atau berperang sesama sendiri. Darah mengalir di bumi Palestin, Afghanistan, Bosnia Herzegovina, Chechya, Iraq, Tunisia, Libya dan nampaknya senarai ini belum bernoktah lagi.
Dilanda tsunami yang paling buruk dalam sejarah, juga bumi Islam iaitu Acheh. Dilanda banjir yang mengorbankan banyak nyawa, juga negara Islam iaitu Bangladesh dan Pakistan.
Apakah semua itu sekadar ujian atau musibah kepada umat Islam? Adakah Allah S.W.T telah menzalimi kita umat agama terakhir yang diperintahkan memimpin manusia lain ke jalan yang lurus?
Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya, akan tetapi, hamba-hambaNya yang selalu menzalimi diri mereka sendiri. - Surah Yunus (10): 44.
Jika kita benar-benar yakin kepada Quran sebagai petunjuk dari Allah, ayat di atas adalah sebahagian daripada jawapan yang wajib umat Islam terima. Apakah bentuk kezaliman yang kita telah lakukan kepada diri sendiri? Miskin kerana malas, bodoh kerana tidak mahu belajar, tidak pandai buat senjata canggih atau tidak bersatu kerana suka bergaduh?
Sebenarnya kezaliman paling besar ialah tidak beriman kepada Allah Yang Maha Esa. Sama ada tidak lagi menyembahNya, atau menyekutukanNya atau tidak lagi taat kepadaNya atau sekadar melupai kekuasaanNya.
Akibatnya, Allah tidak lagi memberikan pertolongan kepada umat Islam sebagaimana pertolongan yang diberikan kepada Rasulullah SAW, para sahabat dan zaman empayar khalifah. Mereka mengembangkan Islam, membina ketamadunan dan pemerintahan dengan iman dan penyerahan diri yang tidak berbelah bahagi kepada Allah.
Apabila empayar Islam sampai ke zaman kemuncaknya, kemewahan telah menyebabkan pemimpin-pemimpin dan umat Islam melupai Allah.
Mereka mulai lupa bahawa rezeki, kemuliaan, kekuatan, kekuasaan, ilmu, nyawa dan segalanya adalah daripada Allah. Keadaan lebih teruk pada zaman kemudian apabila bukan Islam lebih makmur, maju dan gagah. Umat Islam berasa daif, lalu turut terikut-ikut dengan gelagat keduniaan dan keakuan masyarakat bukan Islam. Mereka cintakan dunia dan takut mati, kita juga cintakan dunia dan takut mati. Pada hal orang-orang yang beriman hanya takut kepada Allah, tidak kepada yang lain.
Inilah tanda kita sudah hilang iman.
Kita umat Islam pada hari ini sudah lupa bahawa imanlah yang membolehkan Islam dikembangkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat baginda, khalifah-khalifah dan pendakwah selepas zaman baginda sehingga akhirnya agama ini meliputi hampir dua pertiga dunia.
Kajilah al-Quran dan sirah Rasulullah, jelas bahawa imanlah yang menjadi kunci kekuatan umat Islam dahulu. Sebabnya orang-orang beriman sentiasa mendapat pertolongan Yang Maha Berkuasa, Maha Kaya, lagi Maha Perkasa.
Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepada mereka kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. - An Nahl (16): 97
Janganlah berasa terkejut atau pelik jika kita dikatakan tidak beriman. Nabi Muhammad sendiri tidak mengetahui apa itu iman, kecuali selepas mendapat wahyu daripada Allah.
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Nabi Muhammad) wahyu dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab (Al Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Quran itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar- benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus. - Asy Syuura (42): 52
Proses mengimankan Rasulullah dan para pengikut baginda berjalan selama 13 tahun melalui wahyu-wahyu yang diturunkan kepada baginda ketika di Mekah, sebelum berhijrah ke Madinah.
Soal akidah
Wahyu-wahyu yang turun di Mekah ini dinamakan Makkiyah. Surah-surah Makkiyah berkisar kepada soal akidah atau keimanan. Ayat-ayat An Nahl dan Asy Syuura yang telah disebutkan adalah Makkiyah. Semasa di Mekah, umat Muhammad belum lagi diwajibkan menunaikan solat, puasa dan ibadat haji.
Segala hukum-hakam hanya diperintahkan melalui wahyu-wahyu yang diturunkan setelah baginda berhijrah ke Madinah. Pada hari ini wahyu-wahyu ini dinamakan Madaniyyah. Hanya dalam surah-surah Madaniyyah terdapat firman Allah yang bermula dengan seruan ''wahai orang-orang yang beriman." Tidak pula Allah berfirman ''wahai orang-orang Islam (muslimin)." Maknanya, setelah beriman mereka hendaklah bertakwa dengan melaksanakan segala yang Allah perintahkan.
Pengukuhan iman ini amat penting kerana syariat agama yang meliputi akhlak dan ibadat tidak akan berdiri kukuh tanpanya. Sebaliknya pendidikan umat Islam pada hari ini lebih bertumpu kepada mengenal syariat agama.
Itulah puncanya sebilangan besar umat Islam tidak kenal Allah, walaupun banyak pelekat berbunyi I Love Allah ditampal kepada kereta. Tidak munasabah kita boleh jatuh cinta kepada seseorang yang tidak dikenali. Sudah kenal barulah datang rasa cinta.
Maha Suci Allah yang tidak boleh dilihat dan dibayangkan, bagaimana mahu kenal, apatah lagi cinta kepadaNya. Sebenarnya Allah boleh dikenali melalui iman, dan cinta kepadaNya akan datang bersama takwa dan amal soleh.
Disebabkan tidak mengenali Allah, maka iman yang kononnya ada dalam diri kita hanyalah bersifat ikut-ikutan, atau pinggiran. Kita dengar ceramah di masjid, radio atau TV, kita pun berasa sudah kenal Allah. Pada hal yang bercerita itu sendiri mungkin belum tentu kenal Allah. Kita diajar di sekolah tentang Sifat 20, tetapi ustaz yang mengajar pun tidak begitu faham apa yang dituturkannya.
Renungilah firman Allah kepada Nabi Muhammad apabila sekumpulan orang Badwi yang telah memeluk Islam datang kepada baginda dengan pengisytiharan bahawa mereka telah beriman.
Orang-orang Arab Badwi itu berkata: Kami telah beriman." Katakanlah: "Kamu belum beriman, tapi katakanlah 'kami telah tunduk (Islam)', karena iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. - Al Hujuraat (49):14
Seterusnya Allah berfirman lagi. Sesungguhnya orang-orang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar. Al Hujuraat (49):15
Bagaimana mungkin kita berjihad dengan harta dan nyawa jika terlalu cintakan dunia dan takut mati. Insya-Allah berjumpa lagi minggu depan dalam sambungan bicara iman.

Tuesday, March 22, 2011

Dunia penghujung zaman?

TSUNAMI yang berasal dari perkataan Jepun bermaksud "ombak gergasi" sudah cukup untuk menggerunkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan kemampuannya untuk memusnahkan apa saja yang berada di hadapannya.
Sehinggakan manusia semakin terfikir apakah fenomena tsunami yang melanda dunia, yang dilihat lebih kerap adalah hanya satu lagi fitrah alam atau apakah ia angkara petanda kemarahan alam terhadap kerakusan manusia itu sendiri?
Melihat kepada tragedi tsunami yang melanda Jepun pada tanggal 11 Mac lepas memang mengerikan namun ia bukanlah sesuatu yang baru di negara matahari terbit itu.
Akibatnya ramai yang mula beranggapan apakah peristiwa tsunami sebegini membawa petanda apakah dunia kini semakin sampai ke penghujungnya.
Dunia sudah dilanda dua kejadian tsunami besar dalam tahun millennium baru dan semakin ramai yang terpengaruh dengan ramalan kiamat dan kemusnahan total pada 2012.
Melihat kepada telahan umum ramai yang beranggapan tahun 2012 adalah tahun di mana satu bencana besar akan berlaku malah ada yang begitu yakin kiamat akan melanda manusia pada tahun tersebut.

KEJADIAN tsunami dahsyat di Jepun telah membuat manusia beranggapan apakah peristiwa sebegini membawa petanda dunia kini semakin sampai ke penghujungnya.

Kiamat 2012
Apatah lagi sudah terdapat filem mengenai bagaimana dunia akan menjadi alam yang berbeza akibat kemusnahan dunia yang berlaku dalam filem 2012.
Dalam filem berkenaan kalendar kaum Maya yang berusia 5,125 akan tamat pada 21 Disember 2012. Kalendar Maya kuno dikatakan amat tepat terutama membabitkan perubahan pada planet.
Tamadun ini yang pernah wujud kira-kira 200 tahun sebelum masihi memiliki ilmu astronomi yang maju dan mereka berjaya mengesan pergerakan matahari dan planet sejak beberapa ribu tahun lalu. Tamadun ini mempunyai 22 kalendar yang merangkumi kitaran masa cakerawala dan sistem solar.
Pada tarikh 21 Disember 2012 Bumi dikatakan akan berada sebaris dengan pusat Galaksi Bima Sakti buat kali pertama sejak 25,800 tahun menyebabkan polar magnet Bumi berganjak sekali gus mencetuskan gempa bumi, banjir dan letupan gunung berapi.
Nostradamus
Begitu juga bagi peminat Nostradamus bilamana mereka telah membuat andaian akan berlaku satu peristiwa besar pada 2012, berdasarkan ramalan di bawah;
"At the place where HIERON has his ship built,
There will be such a great sudden flood,
That one will not have a place nor land to fall
upon,
The waters mount to the Olympic Fesulan."
Nostradamus mendakwa planet-planet di angkasa lepas akan berantakan yang akan mengakibatkan hancurnya kehidupan. Namun tiada sebarang tarikh khusus yang dinyatakan cumanya pengikut Nostradamus membuat andaian berdasarkan pemahaman mereka.
Keadaan kini semakin kalut apabila dikatakan sebuah planet bernama Nibiru atau Planet X oleh NASA sedang melengkapkan putaran orbitnya yang berlaku setiap 3600 tahun. Planet ini digambarkan 100 kali ganda besar berbanding bumi atau sama besar dengan planet Musytari.
Planet Nibiru
Adalah dijangkakan pada 23 Disember 2012 planet ini akan memberi kesan paling dahsyat kepada Bumi apabila ia menceroboh sistem solar Bumi.
Apabila ini berlaku kesan paling buruk adalah ia akan memutarkan kedudukan kutub-kutub sekarang kepada terbalik (polar shifting). Bagi mereka yang percaya ia dikaitkan dengan peristiwa banjir besar zaman Nabi Nuh alaihissalam dahulu.
Bagaimanapun planet ini dikatakan tidak akan menghentam bumi tapi tarikan gravitinya yang sangat kuat akan mengganggu bumi. Planet ini dikatakan hanya akan lalu di antara bumi dan matahari, dimana kecerahannya muka buminya berwarna kemerah-merahan seperti matahari.
Maka ada yang beranggapan ia sebagai antara tanda besar kiamat dimana akan kelihatan objek merah di langit.
Planet Nibiru dipercayai mempunyai muka bumi yang tandus, senantiasa berlaku letusan gunung berapi, gempa bumi dan bencana alam lain dan ia mampu memudaratkan hidupan-hidupan yang menghampirinya. Selain itu Planet Nibiru dipercayai berkuasa magnetik dan boleh menganggu kestabilan geografi bumi.
Semenangnya banyak kajian mengenai planet ini telah dijalankan namun kewujudannya masih menjadi misteri. Ia sukar dikesan walaupun melalui alat teropong planet, kerana kedudukannya yang berada jauh dari Pluto.
Malahan pada tamadun Mesopotamia dan pada era kegemilangan Kota Babylon yang diperintah oleh Raja Nebuchadnezzar, Planet Nibiru juga dikenali sebagai Planet Tiamat, maka adakah ia juga satu sebutan bagi kiamat?
Kod rahsia
Selain itu teori akan berlaku kiamat pada 2012 diperkuatkan lagi dengan penemuan kod rahsia dalam Kitab Injil Perjanjian Lama pada tahun 1994 oleh sekumpulan penyelidik. Menurut mereka, bumi akan dihentam asteroid sehingga menyebabkan kemusnahan besar-besaran.
Bagi seorang penulis, Fahd Amir al Ahmadi mengatakan bahawa banyak ilmuwan yang bersepakat dengan suku Maya bahawa satu kejadian besar akan berlaku pada tahun 2012 namun masih belum diketahui jenis bahananya.
Di Asia, hal yang sama telah ditunjukkan oleh berbagai buku yang ditulis oleh para astrologi China dari Dinasti Chang sejak tahun 1766, akan berlaku bencana besar pada 3778 M (yang bertepatan dengan tahun 2012).
Seorang ahli astronomi Jepun, Haido Itakawa pula berkata pada tahun 1980 bahwa planet-planet matahari akan tersusun di dalam satu garis di belakang matahari, dan ini kemudiannya akan mengakibatkan kejadian kemusnahan di angkasa raya sekaligus menghentikan kehidupan di atas muka bumi juga pada tahun 2012.
Itu adalah antara sebahagian tilikan dan kepercayaan sesetengah manusia bahawa kejadian tsunami yang semakin hebat melanda dunia adalah antara petanda dunia sudah semakin sampai ke penghujung.
Sesungguhnya ramalan mengenai kiamat tahun 2012 itu disandarkan pada penemuan beberapa ahli astrologi kuno serta para ahli astronomi moden. Namun bagi kita sebagai umat Islam seseorang wajib beriman bahawa hari kiamat pasti datang dan berlaku. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsianya.
Islam
Namun begitu soal kiamat merupakan hal ghaib yang harus dipercayai oleh setiap Muslim namun tarikh sebenar hanya diketahui oleh Allah SWT seperti firmannya dalam surah al A'raf: 187, maksudnya :
"Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: "Bilakah terjadinya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba".
Malah tokoh Islam, Syeikh Yusuf al Qaradhawi pernah ditanya apakah dunia akan hancur pada tahun 2012 ?
Beliau menjawab bahawa ini termasuk pembicaraan tentang sesuatu yang akan datang, menerobos tabir masa yang akan datang, menyingkap apa-apa yang mungkin terjadi pada anda besok atau lusa, dan itu semua tidaklah ada yang mengetahuinya kecuali Allah SWT.
Tsunami Jepun
Sehingga kini berdasarkan rekod, Jepun adalah negara paling banyak dilanda tsunami dan sememangnya ia sudah sangat sinonim dengannya. Dalam jangkamasa lebih 1,300 tahun, sebanyak 195 kejadian tsunami telah melanda Jepun dan secara puratanya kejadian ini berlaku sekali dalam 6.73 tahun.
Malah, gempa bumi kuat berukuran 8.9 skala Richter yang juga kelima terkuat di dunia telah menyebabkan kedudukan Pulau Honshu berganjak sehingga 2.4 meter dengan pembentukan rekahan di dasar laut negara itu sepanjang beratus-ratus kilometer.
Hingga kini jumlah korban sebenar masih belum boleh dipastikan kerana angkanya terus meningkat dari saban hari. Dijangka jumlah sebenar mungkin melebihi 10,000 orang.
Mengenali rakyat Jepun nyata mereka dikenali dengan semangat tinggi untuk bangkit seperti kebangkitan yang ditunjukkan mereka selepas pengeboman Nagasaki dan Hiroshima.
Namun diharapkan selepas tertinggal di belakang China pada nombor tiga sebagai negara ekonomi terbesar dunia, mungkin peristiwa tsunami ini akan memberi sinar baru yang lebih baik dan bermakna dalam kehidupan .

Oleh Hafizahril Hamid

Sunday, March 20, 2011

Rahsia kejayaan usahawan tempe

Perniagaan kecil-kecilan berasaskan makanan yang diwarisi daripada ibunya nyata tidak sia-sia, sebaliknya menjadi perintis jalan kepada usahawan ini mengenali dunia perniagaan lebih luas.
Syaratnya dia menerima perniagaan tersebut dengan hati terbuka selain diusahakan bersungguh-sungguh.
Begitu jalan cerita mudah bagaimana Nordin Arshad, 50, ‘bertemu jodoh’ dengan perniagaan yang diceburinya ketika ini.
Segalanya bermula ketika dia menghadiri taklimat Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) yang disertai semasa masih berkhidmat dalam tentera.
Ketika itulah dia mendapat tahu mengenai Agro Bank yang ketika itu dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia (BPM).

Seorang petugas tekun menyusun tempe yang telah siap diproses.

Sementelah bersara daripada perkhidmatan tentera pada tahun 2000, Nordin mengambil alih perniagaan ibunya mengusahakan tempe.
Dia berbuat demikian kerana ketika itu ibunya menghidap strok.
Sepuluh tahun lalu, Nordin dan isterinya Normah Mohamad, 48, hanya mengusahakan tempe di dapur rumah emaknya di Kampung Sri Merlong, Rengit, Batu Pahat, Johor.
“Segalanya hanya bermula dengan modal RM400 untuk membeli kacang soya, ragi dan kertas pembungkus,” katanya.
Pada mulanya bapa kepada empat orang anak ini, hanya mempelajari cara membuat tempe daripada ibunya.
Tetapi selepas itu beliau mendapatkan khidmat nasihat daripada cawangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berhampiran.
Pada masa sama, beliau juga menghadiri kursus keusahawanan anjuran Jabatan Pertanian untuk mendalami kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pemprosesan makanan.
Apabila permintaan pelanggan daripada kalangan keluarga, rakan dan jiran semakin bertambah, pada tahun 2007, Nordin memohon pinjaman daripada Agro Bank bagi membesarkan lagi usahanya.
Pinjaman sebanyak RM8,000 dimohon menerusi MUST Normal ,salah satu skim yang ditawarkan bank terbabit.
Selepas menyelesaikan pinjaman pertama dua tahun kemudian, pada tahun 2009, Nordin sekali lagi memperoleh pinjaman kedua.
Pinjaman berjumlah RM18,000 melalui Micro ESP-i digunakan untuk membina bengkel memproses tempe di tanah kosong berhampiran rumah ibunya.
Kini Nordin yang dibantu oleh dua orang anak lelakinya, berjaya mengeluarkan sehingga 2,200 keping tempe sehari dengan berat sekeping lebih kurang 200 gram (g).
Sehingga kini tempe keluaran Nordin berjaya mendapat tempat di kedai runcit, pasar, sekolah, pasar mini serta jiran-jiran.
Sentiasa memilih yang terbaik untuk produk keluarannya, Nordin membeli kacang soya dan ragi dari pembekal dan memilih untuk membuang segala bahan-bahan sisa daripadanya.
Menyentuh mengenai keistimewaan produk tempe yang dihasilkannya beliau berkongsi sedikit ‘rahsia’ kenapa ia mendapat sambutan:
“Pelanggan sukakan tempe saya yang dikatakan lebih sedap, lembut, putih serta pembungkusan dengan kertas minyak dan daun pisang yang lebih bersih.’’
Bagaimanapun di sebalik ‘rahsia’ kejayaan itu, sebagai usahawan beliau tidak terlepas daripada menghadapi cabaran.
Adakalanya tempe yang dibuat tidak menjadi kerana cuaca terlalu sejuk atau panas.
“Tempe akan terhasil dengan baik dalam suhu bilik,” katanya.
Namun Nordin dan isterinya tidak hanya bergantung kepada satu jenis produk saja tetapi mengeluarkan produk lain seperti nuget tempe dan makanan sejuk beku seperti karipap dan samosa.
Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perusahaan tempe Nordin boleh menghubunginya di 014-3817754 atau 07-4245287.

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN 

Nikmati teh di puncak Cameron Highlands

PERNAH minum teh di puncak Cameron Highlands? Orang kata kalau minum teh di sana, rasanya lebih sedap."
Itulah kata-kata seorang saudara rapat ketika bertemu di wad sebuah pusat perubatan awam di ibu kota.
Cameron Highlands atau dikenali juga sebagai Tanah Tinggi Cameron, yang terletak di Banjaran Titiwangsa, adalah antara tiga resort tanah tinggi yang popular di negara ini. Dua lagi ialah Genting Highlands dan Bukit Fraser.
Ada dua laluan untuk naik ke resort tanah tinggi itu. Laluan pertama ialah dari Simpang Pulai.
Jalannya dalam keadaan baik, lebar dan merentas sempadan negeri Perak-Pahang. Selepas berada di sebelah negeri Pahang, pelawat sudah memasuki kawasan Cameron Highlands iaitu satu daerah yang paling kecil dalam negeri Pahang.


Antara produk teh yang dihasilkan oleh syarikat yang beroperasi di Cameron Highlands.

Laluan kedua ialah jalan naik dari Tapah. Jalan ini adalah laluan lama, sempit dan bengkang-bengkuk seperti ular kena palu.
Melalui laluan kedua ini, anda akan bertembung banyak lori yang membawa sayur serta produk pertanian dari ladang di Cameron Highlands untuk di hantar ke bandar-bandar utama di Semenanjung.
''Apa kata kalau kita berhenti di kedai teh," kata seorang saudara lelaki ketika konvoi mendaki jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands menuju ke resort tanah tinggi itu.
Dengan itu, ketiga-tiga buah kereta berhenti untuk kali pertama di rumah teh Ladang Bharat yang terletak hanya beberapa kilometer dari Kampung Raja.
Rasanya begitu enak walaupun harga secawan ialah RM3 dan bagi satu teko, RM16.
''Ada beberapa ladang teh di Cameron Highlands kepunyaan dua syarikat iaitu Boh dan Bharat," kata seorang pekerja di rumah teh itu.
Tiga pekan utama di Cameron Highlands adalah Brinchang, Tanah Rata dan Ringlet. Terdapat juga kawasan penempatan penduduk di Ladang Kea, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja.
Penginapan bukan merupakan masalah di Cameron Highlands. Terdapat banyak hotel, rumah penginapan dan apartmen persendirian untuk disewa.
Antara hotel itu ialah Strawberry Park Resort, Titiwangsa, Equatorial, Heritage, Lakehouse dan Rossa Pasadena.
Hanya dua hotel, iaitu Equatorial dan Heritage mempunyai lif dan kemudahan seperti laluan kerusi roda untuk Orang Kurang Upaya (OKU).
Pekan utama yang juga merupakan pusat pentadbiran Cameron Highlands ialah Tanah Rata. Terdapat bank, kedai serta restoran, medan selera, chalet dan hotel di pekan ini.
Suasana tenang di sini memang menarik dan pelancong dapat menilai keindahan keadaan ini.
Selepas seharian 'mengembara' di sini, seperti bersiar-siar di ladang teh atau melawat taman kupu-kupu, pelancong asing boleh menuju ke beberapa pub ala Inggeris dan menikmati makanan British di situ.
Terdapat banyak bangunan yang mempunyai bentuk serta ciri-ciri kolonial di Cameron Highlands. Resort peranginan tanah tinggi ini masih mempunyai suasana seperti perkampungan di England).
Terdapat dua syarikat perladangan teh di sini. Satu daripadanya ialah Boh yang terkenal di seluruh dunia.
Boh mempunyai ladang teh seluas 3,237.6 hektar di Habu dan Sungai Palas, manakala Kumpulan Bharat yang mengeluarkan teh di bawah label Cameron Valley mempunyai ladang di antara Brinchang dan Tanah Rata.
Ladang teh Bharat saiznya agak kecil, seluas 809.4 hektar.
Turut menarik untuk dilawati ialah ladang teh Boh di Habu, terletak antara Tanah Rata dan Ringlet. Lokasi ladang ini tujuh kilometer dari jalan besar Tanah Rata-Ringlet dan jalan naik ke tempatnya melalui kawasan bukit-bukau yang curam manakala jalannya pula sempit dan berliku-liku.
Bila menuju ke puncak bukit di ladang Boh ini, di sebelah kiri jalan di penuhi dengan ladang sayur manakala di sebelah kanannya tanah berbukit yang penuh dengan pokok teh.
Menghampiri puncak bukit, pemandangannya sungguh menakjubkan. terdapat 'lautan' pokok teh di lembah serta bukit-bukau di kiri kanan jalan.
Betul-betul di atas puncak bukit, terdapat sebuah rumah teh dan juga kilang memproses daun teh kepunyaan Boh.
Rumah teh itu yang turut menghidangkan minuman teh serta menjual pelbagai cendera hati daripada produk teh.
Tentang rasa teh di sini, memang didapati ia lebih sedap dan berperisa jika dibandingkan dengan minuman teh di tempat lain.
Mungkin kerana iklimnya yang dingin selain angin bukit yang sejuk dan menyegarkan.
Terdapat pelbagai jenis produk teh Cameron Highlands yang berlainan rasa seperti teh rasberi, strawberi, pic serta cengkih.
Antara produk Boh ialah 'teh songket' manakala Bharat pula mengeluarkan Earl Gray di bawah label Cameron Valley.
Terletak di Banjaran Titiwangsa, suhu di Cameron Highlands boleh jatuh hingga 16 darjah Celsius terutama pada waktu malam dan hari hujan.
Pusat percutian ini sememangnya terkenal dengan ladang tehnya. Dua syarikat teh gergasi di sini ialah Boh dan Bharat. Ladang teh Boh di Habu dan Sungai Palas ialah seluas 3,237.6 hektar manakala Bharat mempunyai ladang teh yang lebih kecil di antara Brinchang dan Tanah Rata, berukuran 809.4 hektar.
Cameron Highlands juga tempat melarikan diri daripada kehangatan serta hingar-bingar kota raya dan ini antara faktor yang menarik para pengunjung ke sini terutama mereka yang dari bandar serta daerah di kawasan tanah rendah.
Kerana iklimnya yang sejuk, Cameron Highlands sebenarnya merupakan zon pertanian.
Anda akan jumpa banyak ladang sayur, buah-buahan dan bunga-bungaan segar yang indah yang tidak didapati di tempat lain.
Pasar sayur yang jaraknya hanya beberapa meter dari Hotel Equatorial (dekat pekan Brinchang) adalah sangat popular dengan pengunjung setiap hari, lebih-lebih lagi di waktu pagi. Pengunjung yang datang kerana hendak membeli sayur yang segar boleh mencecah beratus-ratus orang pada hari kelepasan dan cuti umum.
Ia merupakan pemandangan biasa bila kereta-kereta yang mempunyai nombor pendaftaran negeri lain di letak di kedua-dua belah jalan.
Di pasar itu, 10 bungkus sayur dijual dengan harga RM10. Terdapat juga buah strawberi yang dijual dengan harga begitu murah, iaitu RM15 bagi dua peket.
Kebanyakan lokasi pelacongan terdapat di sekitar laluan ke Lembah mbah Biru.
Pengunjung akan menjumpai pasar, ladang sayur yang menghijau, taman bunga, selain taman lebah dan kupu-kupu di sini.
Laluan itu juga akan membawa pelancong ke ladang Boh di Sungai Palas. Di situ anda boleh menikmati pemandangan lautan hijau pokok teh di dalam lembah serta atas bukit-bukau dari puncak bukit di ladang itu.
Cameron Highlands mempunyai tiga pekan utama diikuti petempatan penduduk di beberapa buah kawasan - Ringlet, Tanah Rata, Brinchang, Ladang Kea, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja.
Di Brinchang, pasar malam yang dibuka setiap malam Sabtu dan juga hari cuti menawarkan pelbagai jenis sayuran, bunga serta produk-produk tanah tinggi yang lain.
Tempat ini memang sesak pada hujung minggu dan musim cuti.
Para pengunjung tidak perlu bimbang untuk mendapatkan penginapan di sini kerana terdapat banyak hotel, rumah penginapan serta apartmen persendirian.
Dengan tarikan dan kemudahan yang ada, Cameron Highlands tetap unggul antara senarai lokasi pelancongan utama di Malaysia.

Panduan penanaman ciku

POKOK ciku adalah tanaman tropika yang tidak bermusim dan berbuah sepanjang tahun. Ia juga boleh berubah bergantung kepada faktor iklim semasa dan kesuburan pokok. Sememangnya, ciku tergolong dalam famili Sapotaceae dan nama saintifiknya ialah Achras zapota.
Pokok ciku boleh hidup dengan baik dan subur di pelbagai jenis tanah, tanah yang mempunyai bahan organik yang tinggi, saliran yang baik dan pH yang neutral.

Pokok ciku boleh hidup dengan baik dan subur
di pelbagai jenis tanah, tanah yang mempunyai bahan organik tinggi, saliran yang baik dan pH neutral.

Manakala bagi jarak tanaman pokok ciku yang disyorkan ialah 6 x 6 meter dengan menggunakan sistem segi empat sama.
Bilangan pokok ciku yang boleh ditanam dengan jarak ini ialah sebanyak 278 pokok sehektar.
Penyediaan bahan tanaman adalah menggunakan beberapa teknik pembiakan seperti tut dan cantuman baji.
Peratus kejayaan bergantung kepada kecekapan dan kemahiran mencantum.
Pokok ciku perlu diberikan penjagaan yang sempurna supaya tumbuh dengan baik serta cepat mengeluarkan hasil dengan banyak.
Pokok ciku mula mengeluarkan hasil bermula dari tiga hingga empat tahun selepas ditanam di dusun dan mampu mengeluarkan buah dengan banyak.
Antara klon yang ditanam di ladang UPM ialah seperti C61 (Betawi), C62 (Jantung) C63 (Subang) dan CM 19 (Ciku Mega).
Buah ciku memang enak dimakan segar dan amat berkhasiat. Ia juga boleh diproses untuk jadikan beberapa jenis produk yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Kopi termahal di dunia

Penulis juga pasti, kebanyakan orang mulakan hari mereka dengan cara yang sama kerana kopi merupakan minuman paling digemari di dunia.
Aroma kopi bukan sahaja mengeluarkan bau yang mengagumkan malah rasanya juga enak dinikmati bersama juadah sarapan pagi.


Serbuk kopi diperbuat daripada biji kopi yang telah diproses bersama ramuan istimewa lain itu mudah larut apabila dicampur dengan air dan menjadikannya minuman yang digemari dihidangkan samada panas ataupun sejuk.
Penggemar kopi boleh menyediakan minuman tersebut dengan pelbagai pilihan bahan-bahan perisa yang lain seperti mencampurkannya dengan gula, susu, cip coklat, daun pudina dan krimer sudah tentu menaikkan lagi aroma minuman tersebut.
Oleh kerana permintaan yang tinggi terhadap minuman tersebut pelbagai jenis kopi dihasilkan manusia seperti kopi Latte, Macchiato, Espresso dan Cappuccino.
Kopi bukan sahaja popular kerana bau dan rasa yang dikeluarkannya tetapi juga kerana ia kaya dengan kandungan nutrisi yang terdapat padanya.
Di dalam segelas kopi yang dihidangkan dengan gula dan susu terdapatnya lebih kurang 1 gram lemak, 5 miligram kolesterol, 70 miligram natrium, 16 miligram karbohidrat, 4 peratus kalsium dan pelbagai mineral berkhasiat lain seperti niacin, thiamin, magnesium, phosphorous, folate, kalium dan protein.
Melalui kandungan tersebut kopi dikatakan berkesan untuk menghilangkan kesakitan otot, menggalakkan prestasi ketahanan badan, membantu untuk mengurangkan berat badan, meningkatkan metabolisme glukosa ke tahap normal dan membakar lebihan kalori menjadikannya minuman unik yang cukup berkhasiat.
Selain itu kandungan Antioxidants yang terdapat di dalam kopi juga bermanfaat untuk kesihatan bagi mengurangkan serangan asma, kanser, batu karang, parkinson dan diabetes.
Bagaimanapun, sudah tentu sebahagian daripada anda mungkin tertanya-tanya tentang apakah jenis kopi paling mahal yang dijual di pasaran sehingga membuatkan anda berfikir dua kali untuk menikmati segelas kopi tersebut.

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY

Friday, March 11, 2011

Membaca menambah ilmu


Umat islam perlu menanamkan budaya membaca agar beroleh 
pelbagai maklumat untuk dimanfaat dalam kehidupan seharian. - 
Gambar hiasan



ALLAH SWT menghilangkan kesukaran yang dihadapi Rasulullah SAW ketika berhadapan dengan Jibril AS dan memerintah dengan berkata: "Bacalah!" Lalu Baginda menjawab: "Aku tidak boleh membaca!"
Lantas Allah SWT berfirman yang bermaksud: Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah.
Al-Maraghi berkata: "Laksanakan membaca yang Aku perintahkan itu! Perintah membaca ini diulang-ulang, kerana membaca hanya dapat dicapai oleh seseorang dengan mengulangkaji. Ulangan perintah ini menunjukkan perlunya apa yang dibaca itu diulangi berkali-kali."
Oleh itu, membaca menunjukkan bakat Nabi Muhammad SAW, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Kami sentiasa menjadikan Engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (al-Quran yang diturunkan kepadamu dengan perantaraan Jibril), sehingga Engkau (menghafaznya dan) tidak lupa.
Tuhanmu Maha Pemurah terhadap setiap orang yang mengharapkan pemberian-Nya. Oleh sebab itu, mudah bagi Allah SWT mengurniakan kebolehan membaca al-Quran kepadamu.
Kemudian, Allah SWT menjelaskan lagi keterangan menerusi firman-Nya yang bermaksud:Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.
Tuhan Yang Maha Pemurah itu juga menjadikan qalam sebagai alat yang dapat memberi kefahaman sesama manusia meskipun berjauhan, sebagaimana memahamkan mereka dengan perantaraan lisan.
Qalam adalah benda yang tidak berjiwa dan tidak mempunyai kekuatan untuk memberikan pengertian.
Oleh sebab itu, apakah ada kesulitan bagi Tuhan yang membuat benda mati lagi diam menjadi alat untuk memberi pengertian, penjelasan dan menjadikan kamu orang yang boleh membaca serta mengajar kerana kamu telah menjadi manusia yang sempurna?
Tuhan menyifatkan sendiri penciptaan manusia yang terbentuk daripada segumpal darah serta mengajarnya dengan perantaraan qalam. Semua ini bertujuan menerangkan keadaan yang sebenar.
Allah SWT mencipta manusia daripada bahan yang hina dan seterusnya membentuk manusia yang sempurna.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Renunglah wahai manusia bagaimana peringkat perpindahan kamu dari sehina-hina kejadian kepada martabat yang paling tinggi.
Ini membuktikan kewujudan pentadbir yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.
Sayid Qutub berkata: "Di samping menjelaskan hakikat penciptaan manusia, ayat itu juga menjelaskan hakikat mengajar, iaitu bagaimana Allah SWT mengajar manusia dengan pena, kerana pena selama-lamanya merupakan alat mengajar yang paling luas dan paling mendalam kesannya dalam kehidupan seharian manusia."
Pada ketika itu, hakikat peranan pena belum lagi jelas seperti yang kita ketahui dalam kehidupan manusia sekarang. Tetapi Allah SWT amat mengetahui nilai pena.
Sebab itulah Dia menyebutkannya pada detik pertama kemunculan agama yang terakhir bagi umat manusia dan pada surah yang pertama dari surah-surah yang terkandung di dalam al-Quran.
Namun begitu, Rasulullah SAW sendiri bukanlah seorang yang pandai menulis dengan pena.
Oleh yang demikian, andainya al-Quran itu bukanlah wahyu daripada Allah, malah perkataan yang dikarang oleh baginda, sudah tentu baginda tidak akan menonjolkan hakikat peranan pena itu pada detik pertama dakwahnya.
Hakikat ini sudah tentu tidak tertonjol seandainya al-Quran itu bukannya wahyu dan utusan daripada Allah SWT.
Seterusnya, Allah SWT menjelaskan perkara ini dengan huraian yang lebih lanjut tentang pelbagai nikmat yang dikurniakan melalui firman-Nya yang bermaksud: Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sejarah mata wang Islam di India

MATA wang yang dikeluarkan oleh kerajaan Islam yang terawal telah menjadi pemangkin kepada lebih banyak pengeluaran mata wang yang lebih kreatif dan indah buatannya.
Kerajaan Islam India yang dipelopori oleh dua pemerintah Islam tempatan iaitu Kesultanan Delhi dan Empayar Mughal yang memerintah dari abad ke 11 hingga abad ke 17 Masihi telah mengambil langkah sama untuk mengawal ekonomi. Pada masa sama mempamerkan kuasa yang dimiliki oleh pemerintah.
Jika Dinasti Umaiyah dan Abbasiyah memilih untuk bermula dengan reka bentuk mata wang yang di tempa oleh kerajaan Byzantium dan Sasanid, berlainan pula dengan kerajaan Islam di benua kecil India.
Reka bentuk mata wang Islam India bermula seawal abad ke 10 Masihi. Duit pertama yang dibuat di benua kecil itu adalah sewaktu pemerintahan Mahmud Ghazni, pemerintah Dinasti Islam Ghaznavid, yang telah beberapa kali cuba menawan beberapa wilayah India terutamanya di bahagian utara.
Walaupun Dinasti Ghaznavid adalah sebuah kerajaan yang berpusat di Bandar Ghazni yang kini merupakan salah satu wilayah Afghanistan, namun pendekatan yang diambil dalam pembuatan duit bagi wilayah India amat unik.
Baginda menggabungkan ciri mata wang Islam dan ciri tempatan dengan menggunakan tulisan Arab dan bahasa Arab di satu bahagian duit manakala tulisan Devanagri dan bahasa Sanskrit pada bahagian yang lain. Kedua-dua bahasa menyatakan nama baginda sebagai pemerintah.
Selepas pemerintahan Muhammad Ghazni, kerajaan Islam selepas baginda mula menempa duit dengan menggunakan imej figura. Imej figura yang digunakan adalah seperti lembu yang mempunyai bonggol di bahagian belakang, zodiak dan penunggang kuda.
Imej penunggang kuda mungkin diadaptasi daripada mata wang yang dihasilkan oleh Dinasti Ghaznavid di Ghazni. Duit yang dikeluarkan diperbuat daripada beberapa jenis logam seperti emas, perak, tembaga dan aloi (yang mempunyai campuran beberapa jenis logam).
Jika kebanyakan sultan memilih meletakkan nama dan gelaran mereka di atas duit yang ditempa, berlainan pula dengan Muhammad bin Tughlaq.
Baginda yang dikenali sebagai 'putera pembuat duit' kerana revolusi reka bentuk duit yang dilakukan telah memilih nama ayahanda baginda untuk diletakkan di atas duit yang ditempa.
Era baru dan sistem pembuatan duit yang teratur telah ditubuhkan sewaktu pemerintahan Akbar, yang merupakan maharaja Mughal pada pertengahan abad ke 16 Masihi.
Baginda menubuhkan satu jabatan berasingan dan melantik seorang ketua jabatan bagi memantau pengeluaran dan reka bentuk duit pada waktu itu.
Ketua jabatan tersebut yang pertama ialah Khwaja Abdul Samad yang merupakan seorang pelukis dan penulis khat terkenal pada zaman pemerintahan Akbar.
Selain transformasi dalam sistem pengeluaran dan pengawalan duit, Akbar turut menukar penggunaan tulisan yang berasaskan kewilayahan yang dikenali sebagai nagari kepada tulisan Arab dan tulisan Parsi.
Tulisan Parsi yang dipilih merupakan dua baris puisi Parsi yang terpilih, nama baginda, tempat pengeluaran dan tahun. Ini merupakan pengenalan tulisan dan bahasa Parsi dalam pembuatan duit di benua kecil India.
Bagi perkataan Arab, baginda tidak menggunakan kalimah syahadah tetapi menggunakan perkataan Allahu akbar jalla jalaluhu.
Seorang lagi pemerintah yang membuat perubahan terhadap kandungan tulisan yang dipilih untuk ditempa di atas duit adalah Maharaja Jahangir.
Jahangir yang memerintah selepas Akbar meletakkan nama permaisurinya di samping nama baginda. Permaisuri kesayangan baginda iaitu Nur Jehan terkenal dengan kebijaksanaan dan pelbagai kebolehan lain seperti menunggang kuda dan bermain pedang.
Kejatuhan Empayar Mughal pada abad ke-18 Masihi menjadikan sistem pengeluaran duit kerajaan Islam di benua kecil India turut menghadapi masalah.
Galeri mata wang Muzium Kesenian Islam Malaysia mempamerkan pelbagai bentuk rekaan duit dunia Islam bermula dari zaman Umaiyah sehingga abad ke 20 Masihi.
Bahagian terakhir pada minggu hadapan akan mengetengahkan sejarah mata wang Islam Dunia Melayu.

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

Komunikasi secara terbuka penting

PENGAGIHAN sumber berubah apabila lahirnya anak pertama. Kelahiran anak akan meningkatkan kos sara hidup dan ia akan mengurangkan aliran wang dalam sesebuah keluarga.
Ada juga ibu yang mengambil keputusan berhenti kerja apabila mempunyai anak demi memberi fokus kepada keluarga dan anak-anak.
Sesetengah syarikat sanggup menawarkan cuti bersalin berbayar untuk pekerja mereka bagi memastikan mereka tidak kehilangan pekerja yang berpengalaman dan terlatih.
Malah tawaran ini turut tidak terkecuali kepada kaum bapa yang ingin melibatkan diri dalam penjagaan bayi mereka.
Bagi kakitangan sektor awam, cuti selama 60 hari kepada ibu bersalin tetapi terhad kepada lima orang anak sahaja dan cuti selama tujuh hari bagi bapa.
Selain itu, pasangan suami isteri juga perlu membuat perancangan selepas kelahiran anak.
Hal ini termasuklah hidup dengan pendapatan tunggal, menggunakan wang secara lebih berhemat, mengurangkan hiburan dan makan di rumah dengan lebih kerap.
Sebagai tambahan, mereka akan mempunyai banyak peruntukan untuk membeli barang keperluan untuk bayi mereka.
Tidak dinafikan mempunyai anak sedikit sebanyak menjejaskan perhubungan antara pasangan. Namun, ia merupakan satu transisi dalam sebuah kitaran hidup keluarga.
Hal sebegini akan mendatangkan perubahan. Sekiranya tidak diatasi ia boleh menyebabkan konflik.
Ibu bapa perlu menyelesaikan konflik ini dengan cara berkomunikasi secara terbuka dengan pasangan dan berbincang tentang peranan baru yang perlu dimainkan.
Masa bersama-sama pasangan sama ada aktiviti bersama-sama pasangan dan juga aktiviti peribadi akan berkurangan selepas mempunyai anak.
Terdapat perubahan besar dari segi cara hidup dan kebiasaan pasangan selepas kelahiran bayi. Kadangkala, sesetengah cara hidup akan berubah secara dramatik.
Pasangan akan berasa letih disebabkan kekurangan tidur kerana mereka perlu bangun untuk menjaga anak sekiranya anak terjaga pada waktu malam.
Adalah amat penting bagi kedua-dua pasangan meluangkan masa semasa sendiri berbincang tentang keperluan mereka. Hal ini memerlukan mereka mencari masa apabila bayi tidur atau memastikan mereka menjalankan kegiatan harian mereka secara bersama-sama.
Sokongan fizikal dan emosi juga amatlah diperlukan pada saat ini bagi memudahkan mereka melalui detik-detik yang penuh mencabar ini.
Contohnya, saling tolong menolong antara pasangan sama ada dalam tugasan menaja anak, melakukan kerja rumah dan sebagainya.
Seperkara yang tidak dapat dielak ialah perasaan cemburu suami atau bapa apabila melihat si isteri atau si ibu lebih memberi perhatian kepada anak berbanding kehendak mereka.
Semua konflik ini boleh diatasi dengan adanya pembahagian masa yang bijak sesama pasangan agar natijahnya terjalin perhubungan yang rapat antara ibu bapa dan anak

Mencintai diri sendiri

DAN hendaklah ada di antara kamu satu pihak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.
Potongan ayat Allah SWT daripada surah Ali Imran ayat 104 ini menjadi titik tolak kepada Arif Muazzim Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan panggilan Amar menghasilkan buku motivasi berjudul Transformasi Cinta Pertama Remaja.
Ditambah pula dengan kes-kes remaja sekolah menengah yang sudah pandai mencari keseronokan dengan meminum air ketum dan gadis-gadis Melayu yang semakin liar berpacaran sehingga melahirkan anak zina.
Tidak kurang juga para belia yang sangat dahagakan hiburan sehingga lupa diri dengan mengunjungi kelab-kelab hiburan. Lebih menyedihkan, sampai kepada pengambilan pil-pil khayal yang lambat laun merosakkan otak.
Insiden ini lebih menguatkan semangat dan menjadi pemangkin kepada artis nasyid solo tanah air ini untuk terus melahirkan buku-buku terutamanya yang berbentuk motivasi diri.
Antaranya; Anda Mampu Melakukannya, Dunia Kartun Motivasi Amat dan beberapa buku dunia silap mata.
Malah atas dasar tanggungjawab dan kasih sayang semasa Islam untuk berkongsi serba sedikit ilmu yang dimilikinya, sekali gus menyumbang kepada dakwah Islamiah di negara ini.
Daripada kacamata penulis sebagai seorang insan biasa yang suka memerhati dan berfikir, mutakhir terlalu ramai yang tidak menaruh rasa cinta dan sayang kepada diri sendiri. Ini kerana apabila di sebut cinta, fikiran dan perasaan kita lebih terarah kepada cinta dengan insan lain.
Lantas, para remaja khususnya perlu ditekankan dan dijelaskan mengenai kepentingan mencintai diri sendiri sebelum mencintai orang lain. Perlu diterangkan bahawa mencintai diri sendiri bukannya bermaksud ia suatu tindakan yang mementingkan diri sendiri.
Ini kerana, kecintaan terhadap diri sendiri mampu memberikan kekuatan untuk membentengi diri daripada segala kemungkaran dan kejahatan.
Konsep mencintai diri sendiri sebagai cinta pertama adalah suatu pendekatan yang praktikal dan tepat untuk dilaksanakan, apatah lagi Amar menerusi buku ini memberi jaminan konsep ini mampu mengubah jati diri pembaca ke arah kebaikan dunia dan akhirat.
Malahan mencintai diri sendiri terlebih dahulu bukan sahaja dirasai faedahnya oleh diri sendiri tetapi masyarakat dan makhluk di sekeliling kita.
Contohnya, seorang Muslim yang memberi makan jirannya yang kelaparan kerana miskin. Dia bukan sahaja mencintai dirinya tetapi juga jirannya kerana jika dia tidak menunaikan hak jirannya, maka dia akan disoal oleh Allah SWT di hari akhirat. Dia akan dimurkai Allah SWT.
Buku ini adalah kesinambungan buku pertama Amar berjudul Anda Mampu Melakukannya. Kalau menerusi buku ini, pembaca mampu menguasai minda dengan mengatakan bahawa kejayaan dan kecemerlangan bukan milikan orang tertentu sahaja tetapi adalah milik semua orang yang mempunyai keinginan dan istiqamah untuk mencapainya. Apa lagi, semua manusia itu dilahirkan untuk berjaya dan cemerlang.
Namun dalam buku terbaru Amar ini, ia memfokuskan kecintaan kepada diri sendiri. Dua ciri penting orang yang mencintai diri sendiri sebagai cinta pertama adalah melakukan kebaikan, menjauhi kemaksiatan dan melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan.
Buku ini juga dihasilkan daripada pemerhatian, pembacaan buku-buku ilmiah, pengalaman memberi motivasi kepada pelajar-pelajar, melalui input-input yang diperoleh menerusi ceramah serta kesimpulan daripada segala sumber di atas.
Terdapat 12 bab dengan tajuk-tajuk yang menarik antaranya; Fantasi Cinta, Berpakaian atau Tidak?Cintakan Dunia, Kayu-kayan dan Haiwan, Penyakit-penyakit Cinta Dunia, Ubat Hati, Cinta Pertama Penyelamat Diri, Adakah Kita Hamba Yang BersyukurRebut 5 Perkara Sebelum Datang 5 Perkara, Golongan yang Dilindungi Allah, Jadilah Bintang Yang Bersinar, '5F' Penghalang Cinta Pertama dan Jauhi Dosa, Tambahkan Pahala.
Semoga buku ini dapat memberi manfaat kepada semua golongan terutamanya golongan remaja.
Usaha ini diharapkan akan menjadikan kita sama-sama menggapai kecemerlangan yang seimbang di dunia dan di akhirat.

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Apabila maut datang menjemput

DIKISAHKAN bahawa malaikat maut (Izrail) bertemu dengan Nabi Sulaiman a.s. Dia datang dengan bentuk manusia sehingga tidak seorang pun yang mengetahui kedatangannya selain baginda.
Pada ketika itu Nabi Sulaiman sedang berkumpul dengan beberapa orang sahabatnya. Semasa malaikat maut hendak pergi dia memandang salah seorang sahabat Nabi Sulaiman dengan pandangan yang aneh, lalu pergi.
Setelah malaikat maut pergi, sahabat Nabi Sulaiman itu bertanya: "Wahai Nabiyullah, mengapa ia memandang ku seperti itu?" Jawab Nabi Sulaiman: "Ketahuilah, dia itu adalah malaikat maut".
Kemudian sahabat Nabi Sulaiman itu berkata, "Wahai nabi, tiupkanlah angin dengan kencang, sehingga angin itu membawaku ke puncak negeri India, sesungguhnya aku berfirasat buruk".
"Apakah engkau akan lari dari takdir jika maut akan menjemputmu?" tanya Nabi Sulaiman.
"Sesungguhnya Allah memerintahkan kita untuk mencari sebab-sebabnya. Dan, aku yakin bahwa engkau akan mengkabulkan permintaanku," kata sahabat Nabi Sulaiman itu.
Kemudian, Nabi Sulaiman memerintahkan kepada angin untuk membawanya ke tempat yang diinginkan.
Selang beberapa saat malaikat maut datang, Nabi Sulaiman bertanya: "Apa urusanmu dengan salah seorang sahabatku, mengapa engkau pandang dia seperti itu?"
Malaikat maut menjawab, "Aku memandangnya kerana tercatat didaftar kematian bahawa dia akan mati di sebuah negeri di India. Aku hairan, bagaimana dia dapat pergi ke sana sedangkan dia ada bersamamu? Kemudian, di tempat yang telah ditentukan, pada waktu yang telah digariskan aku lihat dia datang kepada aku dan aku cabut nyawanya".
Kisah di atas mengingatkan kepada kita bahawa malaikat maut akan selalu mengintai sesiapa saja yang masa perjanjiannya akan berakhir di dunia ini. Jika masa perjanjian itu berakhir maka tiada sesiapa pun dapat melarikan diri daripada maut.
Allah berfirman yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan, maka apabila telah datang tempohnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mempercepatkannya. (al-A'raaf: 34)
Dalam ayat lain, Allah SWT menegaskan, Dan apabila (sampai ajal seseorang) datanglah 'sakaratul maut' dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya. (Qaf: 19)
Kita berjumpa doktor apabila sakit menimpa, kita makan apabila datang rasa lapar dan minum apabila haus, tetapi apabila kematian datang menjemput tiada tempat yang boleh kita lari atau meminta pertolongan.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh...(an-Nisaa': 78)
Sebab itu, mari kita hayati dan renungkan pesan Rasulullah SAW agar kita tidak mensia-siakan peluang hidup yang diberi oleh Allah kepada kita semasa di dunia ini.
Janganlah kita dilalaikan oleh urusan dunia sehingga lupa membuat persiapan bekalan untuk mengadap Allah SWT.
Ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati". (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Justeru, janganlah kita bertangguh-tangguh dalam berbuat kebaikan dan rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.
Beribadatlah, dan perbanyakkanlah ibadat sunat di samping ibadat fardu semasa sihat sebelum datangnya kesakitan.
Bersedekahlah semasa masih kaya (berharta) sebelum ditimpa kemiskinan.
Berzikirlah sewaktu masih mempunyai kelapangan sebelum dilanda kesibukan, misalnya di waktu pagi sebelum melakukan kerja-kerja harian dan di waktu petang setelah selesai bekerja.
Atau kita boleh sahaja berzikir sambil memandu ke tempat kerja terutama sewaktu kita terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di bandar utama khasnya Kuala Lumpur.
Carilah keperluan dunia dan akhirat semasa masih muda dan mempunyai kekuatan tenaga sebelum datangnya tua dan tidak mempunyai kekuatan.
Beramallah di sini (semasa berada di dunia) semasa hidup kerana ia berguna selepas kematian nanti (semasa di akhirat). Di sana kita tidak lagi dapat beramal.

Susunan ZULKIFLE BAKAR

Syukur nikmat, bukan riak

TERDAPAT sebuah anekdot menarik bagaimana dua pihak saling berbeza pandangan mengenai sebuah gelas yang berisikan hanya separuh air. Bagi mereka yang berfikiran positif, perspektif yang dilihatnya ialah separuh berisi dan berusaha untuk mengisi separuh lagi airnya penuh.
Bagi pihak satu lagi, ia berfikir berasaskan ruang yang kosong, maka kekosongan terus dipersalahkan sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Walau bagaimanapun, pihak kedua tidak mengambil peluang untuk berfikir bagi memenuhi kekosongan tersebut. Mereka hanya berusaha untuk mengurangkan air yang berada dalam gelas sehingga semuanya menjadi kosong. Anekdot tersebut amat relevan apabila kita menilai kembali apa yang telah dan sedang berlaku dalam masyarakat, terutamanya apabila berhadapan dengan perebutan kuasa politik.
Sejak manusia mencipta ruang politik sebagai kaedah mendapatkan kuasa secara sah dan mencuba kaedah demokrasi sebagai perantaranya menjadikan persekitaran semakin bertaburan dengan riak. Pihak yang memandang gelas separuh kosong sentiasa mempersoalkan orang yang telah memenuhkan air separuh gelas.
Dalam pandangan itu tersasul pula pelbagai teori. Pihak yang mengisi air hingga ke separuh gelas tidak akan memenuhkan gelas tersebut, kerana air akan digunakan untuk kepentingan diri, keluarga, sahabat dan kroni. Tapi, apa yang lebih ketara ialah mereka membuat teori itulah sebenarnya lebih banyak menggunakan air yang berada dalam separuh gelas itu untuk kepentingan diri, keluarga, sahabat dan kroni.
Ragam berebut air yang separuh gelas itu oleh pihak yang memandang gelas separuh kosong adalah simbol kepada sikap melampau. Tindakan tersebut dianggap melampau ialah kerana tidak menghargai apa yang dilakukan oleh orang lain yang bertungkus lumus mengisi air sehingga mampu sampai ke separuh gelas.
Orang tidak menghargai jasa dan keringat orang lain itulah sebenarnya adalah termasuk dalam golongan yang tidak tahu dan mahu bersyukur. Mereka adalah golongan yang riak dan takbur.
Sikap riak dan takbur merupakan perilaku yang amat dibenci oleh Allah SWT. Salah satu prinsip asas Islam ialah mensyukuri nikmat yang dikurniakan-Nya. Nikmat itu memang banyak, dengan menyedari akan kekurangan diri manusia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi kekurangan.
Dalam percubaan mendapatkan keselesaan, kita seharusnya bersyukur dengan apa yang telah ada. Dari keadaan itulah maka kita akan berfikir secara positif sebagaimana difikirkan oleh mereka yang telah cuba mengisi air ke dalam gelas tersebut.
Atas kesyukuran itulah maka seseorang akan memperoleh ganjaran psikologi dan ketenteraman hati. Mereka akan dapat menjalani kehidupan yang aman, sejahtera dan tidak diselubungi dengan rasa takut akan kehilangan sesuatu kerana dia yakin bahawa Allah SWT sentiasa bermurah hati memberikan pertolongan.
Mereka yang tidak bersyukur akan terus menghadapi suasana resah dan bimbang. Ia akan bimbang dengan air separuh penuh tidak akan dinikmatinya maka dari situlah mereka memulakan propaganda dengan pelbagai fitnah.
Air yang diisi dituduh tidak bersih. Air yang separuh itu bukan datangnya dari sumber yang sah dan halal. Maka di situlah bermulanya polimik, sedangkan yang membuat tuduhan itu tidak pernah mampu menghasilkan sesuatu yang memberikan faedah dan ketenangan kepada orang lain.
Sebagai seorang yang beriman dan menyedari tanggungjawab membantu manusia lain, apa yang dapat dilakukan dalam pemenuhan tanggungjawab itu adalah sesuatu yang amat besar ertinya. Hasil yang diperoleh, walaupun sedikit akan menjadi sesuatu yang membanggakan kerana mereka sedar dan insaf, masih ada jalan untuk melakukan kebaikan untuk manusia yang lain.
Ini tidak berlaku kepada mereka yang hanya tahu bercakap tetapi tidak banyak melaksanakan tindakan yang boleh menghasilkan impak kepada orang lain. Mereka hanyalah sekadar fasih berkata-kata, bijak mengatur slogan dan membina retorik pemikiran yang jauh dari realiti. Mereka sebenarnya telah mereka-rekakan sesuatu sehingga membawa kepada kefasikan, pembohongan dan kesombongan diri, semakin menjauhkan diri dari mendapat keredaan Allah SWT.
Menyelusuri sejarah kesungguhan kerajaan membangunkan infrastruktur, menyusun kaedah pendidikan, merangka rencana menghasilkan lebih banyak sumber kekayaan melalui potensi sumber asli, mengeluarkan hasil bumi dan menggerakkan rangkaian jual-beli adalah satu tanggungjawab yang besar.

Oleh Aziz Jamaludin Mhd. Tahir