Tuesday, May 17, 2011

Wanita: Di Mana Hilangnya Malu?

EORANG wanita melintas jalan. Dia cantik dan bergaya. Kulitnya mulus, pipinya gebu, bibirnya ‘ulas limau’, alisnya lentik, hidungnya mancung, matanya bundar dan bercahaya. Dadanya juga agak bidang. Lengannya putih jari-jemarinya halus dan runcing. Baju sendat menampakkan pusat dan skirt pendek yang disarung ke tubuh beralun sekali-sekala mengikut pergerakan tubuhnya.

Mata-mata yang melihat mula berimaginasi. Imaginasi itu sudah pasti yang indah-indah dan sudah semestinya bukan hal-hal yang baik.

Di satu sudut yang lain, seorang gadis berpakaian sopan dengan bertudung sempurna duduk di tepi taman. Di sisinya seorang lelaki sederhana tinggi yang juga berpakian sopan.
Tangan mereka saling bertaut. Kadang, tangan si lelaki juga menjalari tubuh gadis. Mereka tersenyum, ketawa dan kelihatan sungguh bahagia.

Kelihatan juga sekumpulan gadis yang masih berpakaian sekolah. Ketawa berdekah-dekah, saling bertepuk tampar. Sesekali jeritan nyaring memecah suasana. Beberapa orang daripada mereka tidak bertudung. Di jari mereka terselit sebatang rokok. Mereka menghisap rokok.

Agak pedih dengan paparan itu, mata menerawang ke arah lain. Sebuah motosikal dipandu agak laju. Penunggangnya seorang lelaki muda yang lagaknya seperti mat rempit. Pemboncengnya pula seorang gadis. Gadis seksi dengan kelibat punggungnya yang separa bogel sedang erat memeluk pinggang lelaki yang sedang menunggang motosikal. 

Wanita masa kini begitu liberal atau terbuka dalam banyak hal. Lihat sahaja golongan artis yang bebas berpakaian seksi dan banyak kali terlibat di dalam kancah skandal seks serta gambar dan video lucah mereka tersebar megah di dalam internet. Bukan artis sahaja, pelajar sekolah dan gadis remaja juga sering terlibat dengan penyakit sosial yang memalukan itu.

Apa hukuman untuk mereka yang terlibat dengan perbuatan memalukan itu? Ini merupakan musibah yang memudaratkan maruah wanita iaitu kehilangan rasa malu atau pudarnya sifat malu dalam diri mereka.

Di tengah–tengah masyarakat tidak kira sama ada di bandar atau desa, wanita seperti yang digambarkan di atas boleh ditemui. Kononnya dahulu, gadis atau wanita yang seksi begini hanya boleh ditonton di bandar-bandar besar. 

Namun kini, pemandangan seperti itu sudah menular dan boleh dilihat di mana-mana jua. 
Kampung atau bandar, desa atau pekan, sekolah, universiti, taman, pasar, pusat membeli belah dan sebagainya.

Secara realitinya, zaman dahulu fenomena wanita berpakaian seksi hanya terdapat di kelompok-kelompok tertentu dan di tempat-tempat tertentu. Malahan, hal-hal yang berkaitan ‘menconteng arang ke wajah’ juga sukar ditemui seperti kes khalwat atau zina, membuang anak, merokok, bergambar secara lucah, pelacuran dan sebaginya.

Keterbukaan masyarakat dan pendedahan tentang dunia semasa membuatkan wanita mula membuang sifat malu ke sisi yang kononnya dikatakan sifat malu itu merencatkan pembangunan sosial dan kemajuan dalam dunia wanita.

Tidak hairan, kini wanita mula dipandang sebagai golongan yang kini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Wanita mula memegang pelbagai peranan dalan masyarakat, berkerjaya, bebas melontar pendapat dan berani dalam melakukan sesuatu tindakan.

Tidak hairan juga komoditi pasaran ekonomi sebahagian besarnya untuk wanita, daripada wanita, dan mengeksploitasi wanita. Hal sebegini banyak dibincangkan bukan sahaja oleh peneliti sosiobudaya malahan golongan wanita sendiri yang mendakwa diri mereka feminis atau pejuang hak wanita.

Mereka memperkata tentang penindasan terhadap wanita, hak sama rata yang harus dinikmati oleh wanita dan pelbagai perkara lagi yang menuntut suatu keadaan di mana wanita boleh menikmati apa yang dinikmati oleh kaum lelaki. Persoalan gender sebegini tidak akan habis sampai bila-bila.

Suatu hal yang kurang diperjuang oleh golongan feminis terutama untuk wanita yang beragama Islam ialah perjuangan mengembalikan wanita kepada lumrah asalnya iaitu memelihara maruah dan melapik diri dengan sifat malu.

Istilah malu mempunyai makna dan pengertian yang luas dalam Islam. Malu merupakan sebahagian daripada Iman. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman.”

Malu atau dalam bahasa Arabnya ‘haya’ berasal daripada perkataan ‘hayat’ yang bermaksud kehidupan. Ia mencakupi sifat malu, memelihara aib diri dan orang lain, kesopanan, harga diri dan bersikap jujur dalam menjaga dan emmelihara maruah kerana Allah.

Dalam Islam, sifat malu ditekankan pada setiap umatnya tidak kira sama ada wanita atau lelaki. Namun, wanita Muslimah ditekankan aspek menjaga maruah dan memiliki sifat malu memandangkan wanita merupakan golongan yang lemah, mempunyai 9 nafsu yang pelbagai serta dikatakan paling ramai menghuni neraka.Tentang hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Aku melihat ke dalam syurga, maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita.” (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas dan Imran serta selain kedua-duanya)

Imam Qurthubi rahimahullah menjelaskan hadis di atas dengan pernyataannya:

“Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka, kecenderungan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal...”

Selain iman yang lemah, membuang sifat malu untuk mengejar apa yang diimpikan dalam hidup juga merupakan satu kesilapan besar yang menjerumuskan wanita ke kancah kehinaan.Walau bagaimanapun, sifat malu terbahagi kepada dua iaitu malu yang bersifat kebaikan dan malu yang bersifat kejahatan.

Wanita khasnya dituntut mempunyai sifat malu terutama hal yang berkaitan maksiat dan larangan-larangan Allah. Apabila menghampiri hal-hal sebegini, mereka akan berasa malu, dan seterusnya memikirkan balasan Allah di dunia dan akhirat.

Manakala malu yang bersifat kejahatan pula ialah malu melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah. Dalam hal ini mereka bukan sahaja melakukan apa yang dilarang oleh Allah, malahan melanggar sistem sosial masyarakat sehingga melupakan balasan di dunia dan akhirat.

Wanita Muslimah atau wanita yang bertamadun tidak akan menggadaikan maruah dan membuang sifat malu semata-mata mahu kelihatan moden. 

Mementingkan pandangan Allah s.w.t lebih bermakna daripada mementingkan pandangan masyarakat. Tidak kisahlah jika anda dilabel sebagai tidak moden, kolot dan sebagainya. Apa yang lebih penting ialah anda tahu menjaga maruah serta tahu kesan-kesan buruk yang akan berlaku kepada iman, maruah diri, keluarga dan masyarakat jika anda bertindak tidak tahu malu.

Memelihara malu diri sendiri dan menjaga aib (malu) orang lain sangat penting dalam pembinaan bangsa yang bermaruah. Malu dikatakan perisai dan perhiasan kepada wanita dan juga lelaki yang menghalang mereka dari terjerumus kelembah kehinaan serta dosa zahir dan batin.

Rasulullah juga pernah mengatakan bahawa malu adalah karektor bagi agama Islam serta mempunyai sifat malu yang sebenar-benarnya tidak akan menyebabkan perkara yang tidak baik.

Memandangkan dunia semakin berkembang dengan segala macam teknologi dan perubahan dari semua aspek, sudah sewajarnya setiap wanita menilai kembali sifat semulajadi atau lahiriah seorang wanita yang suatu waktu dahulu cukup kebal dengan sifat pemalu.

Sifat pemalu tidak akan menyekat pergerakan wanita untuk mengikuti perkembangan dunia semasa. Malahan wanita yang pemalu lebih berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga kelak. Insya-Allah.

Sudah tiba masanya, kumpulan atau golongan yang memperjuangkan hak wanita dan dunia wanita mengubah persepsi mereka terhadap peranan dan diri wanita dalam dunia masa kini. Mengejar kejayaan, kemodenan, kesamarataan taraf, menghindar penindasan dan sebagainya harus diperjuang, tanpa mengikis sifat wanita yang hakiki iaitu pemalu.

Malu adalah lambang iman yang akan membawa seseorang ke syurga. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya” (Riwayat Bukhari)

Pemalu bukan sahaja memperlihatkan kemanisan akhlak dan ketinggian akidah seseorang wanita. Malah, memelihara diri wanita itu sendiri daripada kehinaan dan kemusnahan peribadi secara beransur-ansur. Percayalah bahawa sifat malu tidak akan menyisihkan anda dari arus globalisasi. Malah, anda akan lebih berkeyakinan serta jelas dengan tujuan anda untuk melakukan sesuatu perkara.


Oleh ZALILA ISA

Pola Cuaca Aneh

REKOD bumi kini mencatatkan perkembangan pelik. Ketika penduduk Afrika Selatan memakai baju sejuk dengan anak kecilnya riang bermain salji, warga Amerika dan Eropah lebih selesa berpakaian tipis dan merendamkan kaki di air pancut akibat cuaca panas melampau.

Tidak ketinggalan beberapa siri taufan yang semakin kerap dan ganas, termasuk berstatus taufan raksasa menggegarkan China ketika banjir terus menelan korbannya dari Pakistan, Habsyah, Korea sehinggalah ke India.

Ternyata, pola cuaca yang aneh telah memporak-perandakan kitaran normal sarwajagat. Ramai kalangan saintis mengaitkan keadaan pelik itu sebagai kesan pemanasan global iaitu satu keadaan yang dijangka berlarutan akibat pencemaran gas rumah hijau hasil pembakaran bahan fosil yang terperangkap dalam atmosfera.

Laporan Penilaian Ke-4 (Perubahan Iklim 2007) Panel Antara Kerajaan Perubahan Iklim (IPCC) mendedahkan bahawa di peringkat global, suhu bumi telah meningkat sebanyak kira-kira dua darjah dan kenaikan ini berbeza dari satu rantau ke satu rantau yang lain. Kawasan Artik umpamanya semakin menjadi panas pada kadar yang lebih pantas berbanding bahagian lain dunia. 

“Apabila suhu meningkat, bumi akan bertindak kepada peningkatan suhu yang akan membawa kepada perubahan iklim,” tegas Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, ketua Jabatan Geografi, Universiti Malaya.

Jelasnya, kitaran bumi untuk perbezaan iklim yang paling pendek ialah 10,000 tahun tetapi sekarang yang dibincangkan ialah kira-kira 100 tahun, jarak hanya dua generasi sahaja. 

“Jika kita terus-menerus dengan cara hidup kita sekarang, kita mungkin berhadapan dengan 700 ppm menjelang tahun 2099. Tahun yang mana para saintis meramalkan keseluruhan ais di Artik akan mencair dan membanjiri dunia,” tambah Prof Datuk Dr Azizan.

Sejak era industri pada abad ke-18 manusia telah mencatatkan perihal berkenaan perubahan iklim ini. Sembilan puluh lapan peratus pemanasan global yang dialami dunia kini adalah berpunca daripada pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil. Kepekatan karbon dioksida di atmosfera juga telah meningkat daripada kira-kira 280 bahagian sejuta (ppm) dicatat di kurun ke-18 (sebelum era revolusi perindustrian) kepada 379 ppm pada tahun 2005.

Semenjak itu, iklim dunia seakan sukar diramal lagi. Malaysia tidak terkecuali. Banjir mengejut menyebabkan beberapa bandar di Johor lumpuh, manakala musim tengkujuh di Pantai Timur juga semakin tidak menentu. Di benua lain termasuk Asia, pola cuaca aneh menyaksikan terdapat negara mengalami musim kemarau lebih panjang daripada biasa, ribut dan taufan lebih mengganas selain kejadian gempa bumi yang semakin menggerunkan yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda. 

“Disebabkan pelbagai bencana alam tidak diduga sejak lima tahun terakhir ini, lebih AS$6 bilion (RM21 bilion) dibelanjakan setiap tahun bagi membantu mangsa kejadian. Terburuk setakat ini ialah kejadian ombak besar tsunami, yang bukan saja memusnahkan bandar Acheh dan kepulauan sekitarnya, bahkan turut mengorbankan ribuan nyawa lain di Malaysia, Thailand, Sri Lanka dan selatan India,” kata Marcel Alers, pegawai yang memantau pembangunan dan pengurusan perubahan cuaca bagi Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) yang berada di bawah Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Ruum-41)

Menyedari kesilapan sendiri, terdapat negara-negara mula berusaha mengubah situasi ini. Kerjasama rapat di kalangan negara Kesatuan Eropah (EU) sejak akhir awal l 970-an, antaranya, berjaya membantu memulihkan alam sekitar di kebanyakan negara-negara kesatuan itu. 

Contohnya, beberapa sungai di Jerman yang sebelum ini teruk tercemar berjaya dipulihkan sehingga ikan mula kembali ke dalam sungai berkenaan. Tidak hairanlah, Jerman antara negara paling proaktif dalam mengatasi masalah pencemaran. Malah, sejak keruntuhan Tembok Berlin lebih 10 tahun dan penyatuan Jerman Barat dan Timur, negara itu menutup kilang pencemar utama terutama dari blok komunis.

Selain itu, Jerman dan kebanyakan negara EU juga telah melaksanakan pelbagai program termasuk meningkatkan penggunaan teknologi lebih mesra alam dalam industri, mewajibkan penggunaan penukar analitik dalam kenderaan dan melaksanakan program alam sekitar lengkap.

Ketika ini 141 negara yang mewakili 55 peratus pengeluaran karbon dunia juga sudah menandatangani protokol Kyoto dan masing-masing berikrar untuk mengurangkan gas beracun itu sebanyak 5.2 peratus menjelang 2012. 

Tidak cukup dengan itu, pelbagai langkah pembaikpulihan telah diambil antaranya dengan memperkenalkan program kitar semula, mengambil langkah memerangi penebangan hutan secara tidak terkawal dan yang paling penting langkah mencari sumber tenaga baru bagi menggantikan sumber yang ada yang dilihat sebagai penyumbang utama berlakunya pengeluaran gas karbon dioksida.

Kesemua langkah-langkah yang diambil tersebut adalah bagi mencapai matlamat utama protokol iaitu untuk menstabilkan pengumpulan gas karbon di atmosfera di peringkat yang boleh mengelak ia memberi kesan kepada sistem iklim dunia. 

Perubahan iklim yang berlaku walaupun telah diperakui berpunca daripada aktiviti manusia, tidak akan dapat dikembalikan keadaannya seperti dahulu. Langkah-langkah yang diambil ini hanya mampu melambatkan proses ‘kemusnahannya’ sahaja. 

“Kita hanya akan mewariskan dunia yang amat panas kepada anak, cucu dan cicit kita,” tegas Prof Datuk Dr Azizan.

Namun, kendatipun begitu kesudahannya, jangan kita berhenti berharap dan berusaha. Apa yang perlu dilakukan adalah masing-masing tidak berhenti daripada memainkan peranan yang dibawa. Kita hanya perlu membayangkan alam ini sebagai sebuah rumah bagi keluarga yang besar. Setiap daripada kita adalah ahli keluarga rumah tersebut dan apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh ahli keluarga pasti mempengaruhi ahli keluarga yang lain. 


Oleh NOORZIHAN MOHAMED YIN

Perbankan Islam, Masa Depan Perbankan Dunia

UMUM menyedari krisis ekonomi yang melanda Amerika Syarikat (AS) kini menjejaskan dan mempengaruhi pasaran saham dan ekonomi dunia secara langsung.

Pasaran saham Malaysia juga tidak terlepas daripada tempias ini apabila pelabur dilihat berhati-hati menjalankan urus niaga masing-masing kerana khuatir dengan keadaan yang tidak menentu kini.

Ini sedikit sebanyak menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta keyakinan para pelabur asing untuk menjalankan perniagan mereka di sini. Pun begitu, sekurang-kurangnya ia lebih baik berbanding keadaan satu ketika dahulu apabila ekonomi negara ini banyak bergantung dengan keadaan pasaran AS.

Meskipun AS masih kekal sebagai pelabur asing terbesar di sini, Malaysia kini mula mengalih tumpuannya ke pasaran-pasaran bukan tradisionalnya seperti Amerika Latin, Afrika, Rusia dan China selain Timur tengah dan negara-negara Islam yang kini semakin berkembang ekonominya.

Dengan tumpuan yang semakin banyak diberikan kepada negara-negara Islam, keadaan ekonomi negara dilihat semakin tidak bergantung kepada AS, sekaligus mengurangkan kesan krisis sub prima yang dihadapi oleh negara itu sekarang.

Disebalik semua krisis yang berlaku ini, amat menarik untuk mengetahui bahawa pasaran perbankan Islam tidak menerima kesan akibatnya, malah dijangkakan untuk berkembang sebanyak 20 peratus tahun ini.

Ia bakal menjadi faktor penarik yang membolehkannya untuk bertapak di pasaran selain negara-negara Islam seperti kebiasannya, iaitu di Eropah dan Amerika. 

Masyarakat umum juga sudah mula kurang bersetuju dengan dasar-dasar tidak “mesra pelanggan” yang diamalkan oleh bank-bank perdagangan konvensional ini. Kadar faedah yang terlalu tinggi misalnya amat menekan peminjam. Contoh terbaik ialah apa yang berlaku di AS sekarang.

Pakar-pakar beranggapan krisis di AS disebabkan pemberian pinjaman secara berlebihan, kepada mereka yang tidak mampu membayarnya. Apabila terdapat terlalu banyak peminjam yang tidak mahu melunaskan bayaran masing-masing, mereka yang masih belum meminjam tetapi berhasrat untuk berbuat demikian mengahadapi kesukaran melakukannya kerana bank kini mula mengetatkan syarat.

Kesannya amat dirasai oleh pengguna di negara berkenaan, terutamanya kepada mereka yang baru pertama kali hendak membeli dan membuat pinjaman perumahan.

TAHAP KESEDARAN TINGGI

Pengguna kini sudah mula bijak dalam memilih produk yang akan dibeli mereka. Sikap ini bukan sahaja meliputi barangan keperluan harian seperti makanan, pakaian, pengangkutan dan sebagainya, malah juga perkara seperti pinjaman perumahan, peribadi dan sebagainya. Dengan syarat-syarat yang terlalu ketat, dan tidak telus, penguna sebelum ini, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana masih terpaksa meminjam walaupun mereka tidak mampu. 

Kesemua faktor ini menjadi tarikan utama kenapa lebih ramai pengguna di seluruh dunia kini mula memilih perbankan Islam.

Pun begitu tidak dinafikan, perbankan Islam masih lagi kurang difahami, tidak mendapat pendedahan secukupnya dengan baik serta dinilai kurang kompetitif berbanding sistem perbankan konvensional, sedangkan hakikatnya terbukti sekarang bukan sedemikian.

NILAI PASARAN BESAR

Perbankan Islam yang kini mempunyai pasaran sekitar US1 trilion (RM3.1 trilion), merupakan antara sektor perbankan yang paling pesat membangun di peringkat antarabangsa.

Ciri utama yang membezakan perbankan Islam dengan sistem konvensional ialah tiadanya caj faedah, dan keuntungan yang didapati bukannya hasil daripada yang dilaburkan dalam bidang haram seperti arak, judi, pornografi dan sebagainya.

Bagi Malaysia pula, sektor ini dan takaful Islam berkembang antara 19 dan 25 peratus dalam tempoh enam tahun lepas.

Malaysia juga mempunyai aset perbankan Islam sekitar RM122 bilion dan RM6.6 bilion bagi takaful, menjadikannya antara yang terbesar di dunia.

Tujuh puluh peratus bon Islam pasaran global dan 40 peratus unit saham amanah Islam juga berada di Malaysia.

Ramai yang tidak sedar bahawa sistem perbankan Islam negara ini kerap dijadikan tanda aras bagi menentukan pelbagai spesifikasi, kemajuan dan prosedur sistem perbankan seumpama itu di seluruh dunia.

Apa yang dilaksanakan di Malaysia juga dijadikan rujukan serta kajian kes oleh beberapa laman web kewangan seperti gtNews selain mendapat penarafan sangat baik daripada syarikat penganalisa kewangan terkemuka dunia, S&P/Moody´s.

PERTAMBAHAN PENGLIBATAN NEGARA LAIN

Kesedaran tentang bahayanya ketergantungan yang keterlaluan kepada AS juga mula disedari oleh negara-negara lain seperti Indonesia yang turut mula membuka dan mengalih pasarannya kepada kawasan bukan tradisionalnya.

Seperti Malaysia, dengan potensinya yang semakin berkembang, republik ini juga mula membuka mata ke arah pelaksanaan sistem perbankan Islam dengan penubuhan Muamalat Bank Indonesia pada 1994.

Negara lain, China umpamanya, turut mengikut jejak langkah beberapa negara Islam untuk mengadakan pasaran perbankan berkenaan di sana. Mereka telah berusaha mendapatkan pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam bidang ini, dengan menghantar delegasi pegawai ke negara ini serta menjemput pakar-pakar kita untuk ke sana sejak tiga tahun lepas.

Kawasan yang menjadi sasaran mereka untuk pasaran ini ialah Shenyang, bandar terbesar di utara negara berkenaan. Sejumlah US3.43 bilion (RM10.1 bilion) bakal dilaburkan untuk mewujudkan hab perbankan Islam di negara berkenaan. 

Sekiranya rancangan itu berjaya direalisasikan kelak, Shenyang akan menjadi pusat perbankan Islam pertama di negara tersebut yang mempunyai penduduk seramai 1.3 bilion. Ia juga akan menjadi sebahagian daripada rancangan pembangunan wilayah kewangan kawasan tersebut yang dijadualkan untuk siap menjelang 2010.

Seperti China, Afrika Selatan yang telah menghantar delegasi mereka ke Malaysia untuk belajar lebih banyak mengenai sistem ini. Meskipun negara tersebut mempunyai hanya kira-kira 1 juta penduduk yang menganut agama berkenaan, potensinya amat besar kerana kejayaannya setakat ini yang turut menarik minat golongan bukan Muslim di Malaysia.

Bagi kes Afrika Selatan, negara berkenaan yang kini rancak dibangunkan, sudah tentu memerlukan begitu banyak dana bagi tujuan tersebut, dan perbankan Islam dilihat sebagai salah satu cara memperolehinya. Setakat ini difahamkan, Ambank sudah pun memulakan perbincangan dengan institusi-institusi kewangan negara berkenan bagi memulakan perbankan Islam di sana.

Di Eropah, England telah menubuhkan Bank Islam Britain (IBB), sebuah institusi yang mematuhi prinsip syariah sepenuhnya. Ia merupakan bank pertama seumpamanya di benua berkenaan. Meskipun pada mulanya disasarkan untuk komuniti Islam negara berkenan yang berjumlah 2 juta orang, namun ia berjaya menarik perhatian umum kerana kaedah dan prinsipnya yang lebih telus. 

Apa yang membanggakan ialah, IBB kini menjadi pilihan utama para pelajar luar negara yang menuntut di negara berkenan untuk membuka akaun mereka, baik pelajar Muslim mahubun bukan.

Melihat kepada kejayan yang dicapai IBB, sebuah lagi bank di England, Lloyds TSB, kini turut menawarkan pruduk yang berlandaskan syariah. Antara produk mereka ialah akaun semasa, akaun pelajar serta dana amanah yang kesemuanya mematuhi hukum-hukum Islam. Terbaru April lepas, mereka melancarkan produk perbankan Islam yang direka khusus untuk sektor industri.

Malah, kementerian kewangan negara berkenaan juga telah memulakan langkah-langkah bagi memudahkan penawaran lebih banyak pakej-pakej perbankan berlandaskan prinsip Islam di sana.

Menurut menteri bertanggungjawab, Edd Balls, ia merupakan contoh baik di mana kerajaan dan institusi swasta di negara tersebut boleh bekerjasama untuk kebaikan pengguna.

Kanada juga telah melakukan perkara yang sama dengan pembukaan beberapa pakej kewangan berasaskan Islam. Bank Of Royal Canada (BRC) misalnya, telah menawarkan saham amanah yang menurut mereka direka khas bagi memenuhi keperluan masyarakat Muslim di negara berkenaan.

Menerusi produk ini yang dilancarkan tahun lepas, pendapatan diperolehi menerusi saham-saham memenuhi prinsip syariah yang tersenarai di Index Dow Jones di AS bagi memastikannya berdaya saing.

Pelaburan bagi skim ini boleh dimulakan dari hanya CAD5000 (RM15,999).

Dalam konteks yang lebih besar pula, penubuhan “Bank Islam Mega” yang sebelum ini dicadangkan oleh pihak-pihak tertentu, dijangka akan menjadi realiti dalam tempoh enam tahun daripada sekarang.

Bank tersebut, yang dinamakan Emaar akan memulakan perniagaan dengan modal berbayar US100 bilion (RM310 bilion), akan beribu pejabat di Bahrain . Tujuan utamanya selain menyokong transaksi perdagangan antarabangsa secara Islam, juga untuk menambah kecairan dalam sektor tersebut.

Ini kerana meskipun mempunyai banyak aset, namun secara amnya, masih kurang bank-bank yang mempunyai modal berbayar dan keupayaan tinggi untuk memberi pinjaman. Sehingga kini, terdapat kira-kira 300 institusi perbankan Islam di seluruh dunia, baik bank ataupun institusi seperti agensi kerajaan namun 25 peratus daripada mereka hanya mempunyai modal berbayar tidak lebih USD 25 juta (RM77.5 juta).

Kesemua ini menjadi bukti dan menyediakan platform terbaik bagi perbankan Islam untuk beroperasi dengan jaya secara global, malah tidak mustahil ia akan menggantikan sistem perbankan konvensional ketika ini sepenuhnya, setidak-tidaknya di negara-negara Islam.

Kejayaan sistem kewangan Islam ini boleh dijadikan contoh kepada lebih banyak pengunaan sistem lain yang juga berasaskan Islam pada masa hadapan. Adalah tidak mustahil untuk melihat lebih banyak perundangan berdasarkan Islam digunakan secara global pada masa akan datang.



Oleh MD. ZAN SAARI

Kembalikan kilauan dinar emas!

Amerika Syarikat (AS) yang menjadi tonggak kepada ekonomi kapitalis kini berada pada tahap terburuk dan lembap. Kelembapan itu turut menjangkiti negara-negara lain di dunia. Tiga per empat daripada dolarnya berada di luar negara dengan nilai yang terus menyusut.

Kegemilangannya dilihat terus merudum. Tidak seperti detik bersejarah Perjanjian Bretton Woods pada tahun 1944 yang telah menipu dan memperdaya 44 buah negara supaya bersetuju menyandarkan mata wang kertas negara mereka kepada dolar AS. Tipu daya itu berlangsung menerusi jaminan adikuasa itu bahawa dolarnya adalah bersandarkan kepada emas iaitu sebanyak US$35 bagi setiap auns.

Penipuan terbesar adalah semasa pemerintahan Presiden Nixon yang mana pada tanggal 15 Ogos 1971 secara unileteral telah memungkiri perjanjian Bretton Woods dengan tidak lagi menyandarkan dolarnya kepada emas akibat kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh keperluan pembiayaan Perang Vietnam serta defisit imbangan pembayaran yang berterusan.

Semenjak runtuhnya Perjanjian Bretton Woods, sistem kewangan dunia telah digantikan dengan sistem mata wang apungan di mana nilai mata wang sesebuah negara, dinilaikan pada mata wang negara lain. Kaedah ini mengakibatkan ketidaktentuan turun naik nilai mata wang sekaligus memberi peluang kepada spekulator mata wang mengaut keuntungan atas kerugian negara lain. Richard Duncan, dalam bukunya “The Dollar Crisis,” meramalkan kemungkinan satu krisis ekonomi yang mungkin lebih buruk daripada ‘Great Depression’ seandainya sistem kewangan sekarang diteruskan.

Melihat kepada kekurangan yang ada pada sistem mata wang apungan ini, ramai pakar ekonomi berpendapat bahawa penggunaan dinar emas adalah sangat disyorkan agar digunapakai kembali sebagai alat menyimpan nilai dan perantara pertukaran terutama dalam perdagangan antarabangsa. Langkah ini disyorkan kerana dinar emas terkenal dengan sifat stabil terhadap aktiviti spekulasi dan manipulasi. 

Dari segi tabungan, emas lebih stabil berbanding wang kertas kerana nilainya tidak mengalami turun naik yang ekstrem dan tidak merosot akibat inflasi. Dari segi zakat, hukum Islam menetapkan bahawa zakat hanya boleh dibayar dalam bentuk barangan nyata. Dinar emas sangat sesuai berbanding wang kertas kerana wang kertas hanya laku atas jaminan kerajaan yang mengeluarkannya. Sedangkan emas tidak memerlukan mana-mana pihak untuk mengesahkan nilainya kerana ia dengan sendirinya mempunyai nilai.

Umar Ibrahim Vadillo merupakan individu yang melihat penggunaan dinar emas sebagai jalan penyelesaian kepada krisis ekonomi dunia. Beliau telah berusaha keras untuk mencipta iklim ekonomi yang bersandarkan dinar emas yang sepatutnya menjadi mata wang umat Islam. Malah, beliau juga yang telah melobi Tun Mahathir selepas negara di landa krisis mata wang pada tahun 1997 untuk bertukar kepada penggunaan dinar emas. Hujahnya, mata wang dinar emas bukan sahaja mampu dijadikan sebagai kaedah utama pembayaran berikutan terdapat lebih daripada satu bilion umat Islam di dunia ini malah kedudukan ekonomi sesebuah negara akan lebih terjamin kerana dinar emas merupakan komoditi yang mempunyai harga yang stabil.

Pada tanggal 18 Ogos 1991, beliau dengan lantang telah mengeluarkan fatwa bahawa wang kertas adalah haram. Fatwa berkenaan merumuskan bahawa wang kertas adalah satu bentuk hutang (janji yang dibayar oleh pihak yang mengeluarkannya) dan oleh itu tidak boleh digunakan sebagai alat pembayaran. Ini bertepatan dengan takrifan daripada Imam Malik r.a. yang mentakrifkan wang sebagai “sebarang komodititi yang diterima umum digunakan sebagai alat pertukaran”. Oleh yang demikian, manusia mempunyai kebebasan untuk memilih sebarang komoditi yang bernilai sebagai mata wang dan bukan mata wang yang dipaksa nilai ke atasnya. 

Menyelusuri sejarah, dinar emas telah menjadi piawai bagi mata wang dunia, selama beribu-ribu tahun, sehinggalah ia diganti kepada wang kertas dolar hanya pada awal tahun 1970-an. 

Dinar berasal dari perkataan bahasa Latin Denarius iaitu matawang yang digunakan oleh Kerajaan Rom yang diperbuat dari logam perak. Ianya digunakan pada tahun 211 sebelum masihi di mana 1 denarius perak beratnya kira - kira 4.5 gram. 

Dari perkataan Denarius ini, wujudlah pelbagai matawang yang lain seperti Denier (mata wang perak Perancis), Denaro (mata wang perak Itali), Dinar (mata wang emas Islam), Dinero (mata wang perak Sepanyol) dan Dinheiro (mata wang perak Portugis). 

Pada penghujung zaman Republik Roman, mata wang Denarius dari logam emas mula digunakan dengan dikenali sebagai Denarius Aureus yang bermaksud Denarius Emas. Semenjak dari itu, perkembangan mata wang emas telah berubah mengikut peredaran zaman di mana semasa pemerintahan Constantine The Great (306 – 377 Tahun Masihi) mata wang emas lama telah ditukar dengan mata wang yang lebih ringan yang dikenali sebagai Solidus yang beratnya 4.5 gram. 

Mata wang emas Solidus ini telah digunakan sehingga berakhirnya zaman Empayar Byzantium dan telah tersebar penggunaannya ke seluruh Semenanjung Tanah Arab sehinggalah ke zaman awal Islam. Dari zaman bermula berkembangnya agama Islam, penggunaan mata wang dinar emas dan dirham perak dari Parsi telah digunakan menjadi mata wang bagi setiap ummah ketika itu dalam urusan jual beli.

Hanya pada zaman pemerintahan Khalifah yang ke-3 iaitu Khalifah Saiyidina Ummar al-Khattab (13 – 23 hijrah / 633 – 644 masihi), penggunaan mata wang dinar dan dirham mula dikawal dari segi corak dan berat. Di bawah pemerintahan Khalifah Ummar, corak mata wang Islam telah diukir dengan nama Allah s.w.t. dan sebahagian dari ayat-ayat suci al-Quran. Berat mata wang Islam ini juga telah ditetapkan iaitu mata wang dinar mestilah mengandungi emas seberat 1 mithqal (iaitu seberat 4.25 gram ukuran pada masa kini). Manakala bagi mata wang dirham pula, beratnya adalah sebanyak 2.975 gram perak (ukuran pada masa kini) di mana jika nilai tukarannya dengan dinar ialah 7 dinar emas bersamaan dengan 10 dirham perak. 

Kepentingan dinar emas jelas dicatat dalam buku Ibn Khaldun yang bertajuk “al-Muqaddimah.” Di dalam buku tersebut, mencatatkan akan wahyu Allah s.w.t. memasukkan dinar serta dirham dan ini telah membawa bersamanya banyak kaitan dalam hukum seperti zakat, perkahwinan dan hudud. Sebab itu di dalam wahyu Allah s.w.t. dengan jelas telah menyatakan akan ukuran yang tetap mengenai zakat dan sebagainya dengan menggunakan dinar dan dirham tidak dengan yang lain. 

Islam mementingkan keredaan Allah s.w.t. dalam setiap pelakuan dan pekerjaan yang dilakukan kerana keredaan Allah s.w.t. akan memberikan kesejahteraan kepada kehidupan dunia dan akhirat. Idea mengembalikan dinar emas bukan suatu perkara kecil kerana ia secara langsung atau tidak, turut melibatkan soal sistem sosial, ekonomi, politik, dan, keberkatan dari-Nya. 

Malah, kelemahan umat Islam sedunia mula ketara apabila berakhirnya penggunaan dinar emas. Menurut sejarah, pemerintahan Islam di bawah Khalifah Uthmaniyah di Istanbul, Turki telah dihelah dengan kemajuan dan pembangunan. Pinjaman wang kertas daripada Eropah untuk membangunkan Turki telah menjadikan negara tersebut berhutang dan melalui sistem wang kertas bersama riba telah melemahkan pemerintahan Khalifah. 

Riba sangat dibenci Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Ini diterangkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya,” (al Baqarah:279).

Memang tidak dapat dinafikan, sistem wang dunia berasaskan wang kertas dan berlandaskan riba ini telah telah membawa kepada banyak kerosakan seperti kemiskinan, kerosakan alam sekitar, monopoli pengeluaran dan pengedaran. Sistem ini juga menimbulkan berbagai masalah seperti pengangguran, jenayah, maksiat dan kejatuhan moral. Sistem ini yang dikendalikan oleh institusi perbankan, sistem demokrasi dan ahli politik yang tidak bertanggungjawab telah memberi sumbangan kepada kesengsaraan masyarakat dunia.

Ibnu Abbas r.a. dari Ishaq Ibn Basheer dan Ibn Asakir di Kanz al-Ummal mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: “Orang yang pertama mengikuti Dajjal adalah 70,000 orang Yahudi...dan antara tanda pelepasan Dajjal adalah amalan riba.” 

Kini, dinar emas telah kembali dan ramai umat Islam dan bukan Islam dari seluruh dunia menyeru supaya dinar emas ini dikembalikan. Ditengah-tengah kekalutan ekonomi yang melanda kini, kilauan dinar emas dilihat dapat mengembalikan sistem kewangan yang lebih munasabah dan mantap. Ramai yang telah sedar akan tipu helah sistem kewangan yang ada dan masyarakat dunia sudah mula meminta supaya mengembalikan kebebasan untuk memilih. Sekiranya demokrasi dilaungkan di seluruh dunia supaya diamalkan dalam semua perkara, mengapa tidak kebebasan diberikan untuk memilih dinar sebagai wang?


Oleh NOORZIHAN MOHAMED YIN