Friday, April 22, 2011

Hindari gelora prejudis antara kaum

MANUSIA dijadikan sebagai makhluk yang berbeza meskipun dilahirkan dalam kalangan ibu bapa yang sama. Dua orang anak kembar sekalipun mempunyai latar belakang pendidikan dan pengalaman yang hampir sama – tidak memiliki persamaan dalam emosi, akal fikiran dan tabiatnya. Inilah kebesaran Allah SWT sedangkan hasil ciptaan menurut piawaian tertentu mempunyai sifat yang manakala jika ia berbeza akan dianggap sebagai cacat (defect) atau rosak (reject).
Bagi Allah SWT, hakikat perbezaan itulah menjadi tanggungjawab kecerdikan akal untuk membolehkan nilai-nilai yang berbeza menjadi kekuatan apabila semuanya berada dalam satu ikatan kefahaman. Hakikat keyakinan antara manusia juga berbeza dan dengan sengaja Allah SWT menjadikan sedemikian rupa bagi menguji keintelektualan dan kekuatan iltizam manusia.
Perbezaan yang terjadi di antara manusia, baik dalam urusan ukhrawi mahupun urusan duniawi sudah berlaku sejak dahulu lagi dan akan tetap berlangsung hingga hari kiamat kelak. Banyak ayat al-Quran yang menerangkan hakikat ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan bukanlah tanggungjawabmu untuk menjadikan seluruh manusia itu, beriman jika Tuhanmu kehendaki nescaya berimanlah sekalian penduduk bumi. Apakah patut kamu hendak memaksa manusia semua supaya mereka menjadi orang beriman.” (Surah Yunus ayat 99)
Demikian juga dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Ia menjadikan manusia umat yang satu. Tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka.” (Surah Hud ayat 118-119)
Atas perbezaan itulah juga telah memberikan kekuatan kepada Malaysia dalam membentuk struktur masyarakat di mana setiap komponen bersedia menerima tolak ansur. Tolak ansur yang dibina sejak pemimpin tiga kumpulan kaum terbesar membentuk sebuah kesepakatan.
Kesepakatan itu telah menyerlahkan struktur dan institusi yang mendokongnya dihormati. Setiap nasihat dan keputusan yang diambil menjadi sesuatu yang konsensus. Setiap ahli mematuhinya sebagai pemandu arah sehinggalah Malaysia kekal menjadi sebuah negara yang pesat membangun.
Sebagaimana sifat manusia yang merasakan ada kekuatannya sendiri, maka perjuangannya menjadi semakin eksklusif sehingga memandang nilai-nilai primordial sebagai kerangka bertindak pada masa selanjutnya. Bagi memperkuatkan nilai primordial ini mereka mencipta pula pelbagai sifat khusus dengan memaksa orang lain memahaminya, sedangkan dirinya sendiri kurang berusaha untuk memahami orang lain. Hubungan yang terjalin tidak lagi dalam bentuk timbal balik, tetapi lebih menjuruskan kepada pemenuhan kehendak, sama ada dipaparkan secara langsung ataupun tersembunyi.
Nasihat Paduka Sultan Perak sempena hari ulang tahun keputeraan baginda pada 18 April lalu agar kita tidak mengecam agama, bangsa dan keturunan orang lain, kerana ia bakal membawa kepada perbalahan kaum yang lebih luas. Sengketa agama turut terbangkit, walhal secara jelasnya masing-masing agama mempunyai nilai universal, mengajak manusia melakukan kebaikan sepanjang hayat di samping taat kepada prinsip-prinsip kehidupan harmoni.
Antara rakyat boleh berkongsi falsafah, cita-cita dan tindakan berdasarkan keupayaan masing-masing. Yang ingin dikawal oleh elit pemerintah ialah bagi memastikan hak orang lain tidak dirampas, milik setiap kaum kekal dan tidak beralih haluan melalui tekanan, ugutan dan terjahan keinginan mendominasi kelompok yang lain.
Al-Quran telah mengisyaratkan bahawa perbezaan yang terjadi demi mempertahankan kebenaran dan mewujudkan keadilan adalah sesuatu yang menjadi keharusan dalam menangani kemaslahatan umat manusia.
Jika Allah tidak mencipta orang yang selalu menyebarkan kebenaran untuk menandingi orang yang berbuat kebatilan, maka hancurlah bumi ini dan kerosakan akan bermaharajalela. Justeru, mereka di kalangan ahlul batil (para pelaku kebatilan) jika dibiarkan melakukan apa yang mereka kehendaki, maka akan berlakulah kekejian di muka bumi ini.
Namun, Allah amat besar kurnia-Nya ke atas manusia. Dia memberikan kekuatan dan hujah kepada orang yang selalu melakukan kebaikan untuk melawan dan mengalahkan perbuatan kaum yang selalu membuat kerosakan di muka bumi.
Seandainya Allah tidak mengizinkan untuk memerangi ahlul batil, pasti mereka telah membuat kerosakan di muka bumi ini. Tempat-tempat ibadah pada masa Nabi Musa dan Nabi Isa, masjid-masjid tempat solat kaum Muslimin pada zaman Nabi Muhammad tentu sudah mereka hancurkan.
Justeru, perbezaan-perbezaan yang berlaku di antara manusia itu adalah disebabkan faktor tidak mampu memahami setiap permasalahan secara menyeluruh, melakukan taklid tanpa dasar dan dalil, fanatik terhadap sesuatu pendapat atau pemikiran, sikap dengki kepada orang lain, tamak kepada kepentingan diri dan mengikut hawa nafsu.
Apa yang menyedihkan ada di kalangan umat Islam yang memulau dan menghukum umat Islam lain dengan syirik dan bidaah kerana orang lain tidak sama adat resam budayanya dengan mereka. Malah mereka cuba memaparkan fahaman mereka untuk diserap kepada masyarakat lain.
Dunia ini tidak akan menjadi aman selagi penghuninya tidak memiliki sifat berlapang dada dan terbuka fikirannya. Situasi sebegini ditambah dengan hilangnya sifat hormat menghormati antara satu sama lain, juga rasa tidak puas hati yang tersemat di sanubari terhadap apa yang ditentukan Allah SWT.
Sesungguhnya, perselisihan yang terjadi di antara manusia adalah sunatullah (hukum Allah yang berlaku pada makhluk-Nya) yang akan sering berlaku dari semasa ke semasa. Cuma, kita sebagai manusia yang dianugerahi akal dan fikiran yang sempurna perlu memaknakan segala yang berlegar di sekeliling kita ke arah jalan atau cara yang diredhai-Nya.
Kita selalu membaca sejarah Rasulullah SAW yang begitu mengambil berat tentang hak-hak kejiranan dan terhadap pembesar satu-satu kaum dan terhadap orang tua dan orang kafir yang berhajat.
Kita pernah mendengar bagaimana hubungan Rasulullah dengan orang Yahudi, bagaimana penghormatan yang diberi kepada seorang ketua satu kabilah, bagaimana layanan diberi kepada orang tua dan mereka yang memusuhi dan bagaimana sanjungan yang diberi kepada jenazah seorang Yahudi yang sudah meninggal dunia yang dibawa di hadapannya sehingga sahabat merasa iri hati dengan penghormatan itu.
Kata mereka, “tidakkah jenazah itu seorang Yahudi?” soal mereka. Jawab baginda, “bukankah dia juga satu jiwa yang dicipta oleh Allah.” Ini menggambarkan hubungan kebaikan atau penghormatan sesama manusia tidak dilarang.
Perbezaan agama tidak menyebabkan adanya perakuan diskriminatif terhadap agama lain. Tidak ada pertentangan antara konsep Islam mengenai ahl-al-dzimmah dengan konsep kewarganegaraan. Bahkan konsep ahl-al-dzimmah sejalan dengan konsep kewarganegaraan, yang mana setiap penganut agama dan aliran kepercayaan mesti mendapat perlindungan sebagaimana sepatutnya, sesuai dengan undang-undang dan konsensus bersama, tanpa melihat apa agamanya. Apatah lagi dalam sebuah negara yang mengamal sistem demokrasi, yang merupakan fenomena terkini yang tidak boleh dihindarkan.
Oleh hal yang demikian, umat Islam dari semasa ke semasa mengikuti jejak langkah Nabi SAW yang bergaul dengan umat-umat lain khususnya yang bukan Muslim tetapi tergolong dalam ahlul milal wan nihal dengan penuh kejujuran. Dalam sejarah Islam, banyak contoh toleransi yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang harus diikuti oleh semua umat manusia.
Islam pada intinya adalah seruan pada semua umat manusia menuju cita-cita bersama, iaitu kesatuan manusia tanpa membezakan ras, warna kulit, etnik, kebudayaan dan agama.

Oleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir

Thursday, April 7, 2011

Taman Agro Teknologi Mardi Langkawi dinaik taraf

LANGKAWI - Taman Agro Teknologi Mardi Langkawi, merupakan antara produk pelancongan yang sedang dinaik taraf bagi projek pembangunan prasarana pelancongan di pulau peranginan itu.
Pengurus Stesen Mardi Langkawi, Hassim Mat berkata, menara tinjau, dewan terbuka, pembangunan hutan tropika untuk tarikan ekopelancongan, pondok rehat serta laluan siar kaki adalah antara projek yang sedang dilaksanakan di taman berkenaan.
"Taman itu mempunyai keluasan lebih 25 hektar mula dibangunkan sebagai stesen penyelidikan pada Ogos 1990 dan dikenali sebagai Taman Agro Teknologi pada Julai 2005," katanya di sini.
Beliau berkata, pelancong yang berkunjung ke taman itu berpeluang melawat serta memetik sendiri buah-buahan yang ditanam Mardi.
Kedatangan pelancong ke taman itu meningkat kepada 32,000 orang dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berbanding 25,000 orang dalam tempoh yang sama tahun lalu, katanya.
Hassim berkata, pelancong luar negara seperti dari Eropah, Australia, India serta Timur Tengah adalah antara pengunjung asing yang mengunjungi taman itu.
"Taman itu mempunyai visi untuk menjadi destinasi pelancongan teknologi pertanian yang tersohor dan bertaraf antarabangsa, selain itu menjadi pusat pembelajaran serta pemindahan teknologi pertanian, menggalakkan aktiviti agro pelancongan berasas teknologi.
"Pada masa ini, taman itu turut dibangunkan sebagai destinasi agro pelancongan yang mempunyai lebih 20 jenis buah-buahan bermusim seperti rambutan, belimbing, jambu, nanas, durian, ciku, mangga, betik dan limau," katanya. 

Hassim Mat melihat buah anggur yang menjadi tarikan baru kepada pelancong tempatan di Taman Agro Teknologi Mardi di Langkawi, semalam. - BERNAMA

Sentuhan parang Omar

JOHOR BAHRU 20 Ogos - Pisau dan parang merupakan salah satu alat yang cukup penting bagi setiap isi rumah kerana ia merupakan pelengkap keperluan dapur.
Menyedari kepentingan kedua-dua alat berkenaan, seorang usawahan, Omar Mohamad, 53, berani menceburi perusahaan itu secara komersial.
Apa yang membanggakan, hasil sentuhannya bukan sekadar mendapat permintaan dan terkenal di negeri ini malah di seluruh negara kerana berjaya menghasilkan pisau dan parang yang kreatif dan bermutu.
Kakitangan Jabatan Kastam itu memberitahu, bagi memenuhi permintaan dan keperluan pelanggan, dia mula menceburi bidang itu secara komersial sejak 2004 dengan menubuhkan Nouvo Craft Enterprise.
Syarikatnya itu kini beroperasi di Kompleks Kraftangan Malaysia cawangan Johor di Jalan Cenderasari.
Menceritakan bagaimana dia boleh melibatkan diri secara langsung dalam perusahaan itu, Omar memberitahu, pada mulanya dia telah menempah sebilah parang daripada seorang pengusaha bagi keperluan berkebun.
"Berdasarkan pengamatan, rupa-rupanya tidaklah sukar untuk membuatnya. Sebelum ini pun saya pernah melihat kaedah membuat mata parang ketika berumur 13 tahun di Kampung Pandan, di sini.
"Maka timbul minat untuk mengusahakannya secara komersial, lagipun ia mendapat permintaan tinggi," katanya semasa ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Justeru, pada 2004 dia dan anaknya, Khairil Armizal, 28, mula membeli mesin pemotong kayu, gerudi dan mesin pencanai dengan kos kira-kira 1,000.
Omar berkata, dia membeli mata pisau dan parang yang diperoleh dari Terengganu berikutan kualitinya yang baik.
Menurutnya, bagi mendalami ilmu dan kemahiran membuat kedua-dua alat tersebut, dia kerap diajak oleh rakannya dari Terengganu untuk menyertai Hari Kraftangan yang diadakan setiap tahun di Jalan Conlay, Kuala Lumpur bagi menjual produk yang dihasilkan.
"Pada 2005 saya telah mencuba dengan membawa 48 bilah parang dan pisau siap sarung. Apa yang mengejutkan saya, daripada jumlah itu sebanyak 46 bilah terjual.
"Selepas itu saya menerima banyak maklumat dan pesanan untuk membuat pisau dan parang," katanya.
Omar memberitahu, bagi mengembangkan rangkaian perniagaan, dia telah menjalin kerjasama dengan Kraftangan Malaysia cawangan Johor bagi membolehkannya mengikuti program kraf tangan yang dianjurkan.
Berikutan kejayaannya, dia turut ditawarkan tapak bengkel sedia ada untuk membuat pisau dan parang.
"Bertapak dari situ, saya jadikan bengkel berkenaan bukan sekadar menghasilkan pisau dan parang, malah saya menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Kalau zaman datuk nenek kita buat parang menggunakan kaedah tradisional atau manual, tapi saya buat kajian dan penyelidikan dengan menghasilkan peralatan moden bagi menghasilkan barang yang sama.
"Contohnya mesin pencanai, daripada alat itu saya berjaya menghasilkan 15 fungsi dan ia tidak ada dijual di pasaran," katanya.
Omar berkata, dengan kaedah itu ia mempercepatkan kerja iaitu sebilah pisau atau parang boleh disiapkan dalam masa satu hingga tiga jam berbanding kaedah manual sebilah parang mengambil masa antara satu atau dua minggu untuk disiapkan.
Mengenai jenis besi yang digunakan, Omar berkata, lazimnya dia menggunakan besi spring dan besi putih kerana ia lebih baik dan tidak berkarat.
Setakat ini pisau yang paling laris adalah pisau dapur yang berharga antara RM25 hingga RM40 sebilah dan tempahan termasuk dari Kelantan, Selangor, Kedah, Terengganu dan Pahang selain Johor.
"Selain mata pisau dan parang, hulu serta sarung turut memainkan peranan kerana saya memilih kayu bermutu termasuk kayu ciku, duku, cempedak, nangka dan longan kerana coraknya yang cukup menarik serta kukuh.
"Saya turut memilih kayu hutan seperti kemuning, mentigi, penawar hitam, bueh, akasia dan paling mahal adalah kayu surian yang saya pernah menjual pada harga RM600 sebilah kerana seni yang terdapat pada sarung pisau berkenaan," katanya.
Omar berkata, sejak melibatkan diri dalam industri itu, terdapat beberapa pengalaman menarik dialaminya termasuk empat bilah pisau yang terdapat kalimah Allah pada sarungnya.
Orang ramai yang berminat untuk membeli produknya atau berkongsi pengalaman membuat pisau dan parang boleh menghubungi talian 019-7635512 atau 012-7575903.

Omar Mohamad menunjukkan sebahagian pisau dan parang yang siap untuk dijual ketika ditemubual di Johor Bahru, baru-baru ini. - Nasirruddin Yazid

Oleh Maznah Mohd. Arsad 

Azlin tinggalkan zon selesa




Sampai bila perlu makan gaji? Ayat ini mungkin tidak pernah dipedulikan oleh mereka yang sudah berada di 'zon selesa' walaupun kadangkala pernah dicuit oleh persoalan itu.
Begitu pun, mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan duduk di rumah untuk menjadi suri rumah sepenuh masa bagi wanita profesional seperti doktor, peguam, arkitek dan jurutera, mungkin sesuatu yang agak merugikan.
Apatah lagi dengan jumlah tenaga wanita di bidang profesional di negara yang masih jauh berkurangan.
Bagaimanapun negara tidak akan rugi jika wanita profesional ini berhenti kerja disebabkan enggan makan gaji tetapi memilih untuk menyambung profesyen dengan membuka syarikat sendiri.
Langkah wanita profesional seperti ini wajar dijadikan contoh kepada wanita lain di luar sana supaya tidak mensia-siakan kebolehan yang dimiliki.
Datuk Azlin Ahmad Shaharbi, 47, pemilik Azlin Shaharbi & Associates juga antara wanita profesional yang bertahan 'setahun' sahaja untuk makan gaji.
Lulusan Sarjana Muda UndangUndang dari Universiti Kent, England ini mengakui kerja makan gaji sebenarnya banyak menyekat kebolehan yang dimiliki oleh seseorang.
"Nama pun bekerja dengan orang, tidak semua idea saya boleh diterima bos tambahan pula ketika itu saya masih muda baharu sahaja tamat chambering,'' katanya ketika ditemui di firmanya yang terletak di 29, Jalan Kent 3 Off Jalan Maktab, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagaimanapun beliau bersyukur kerana dalam tempoh setahun itu banyak yang dipelajari walaupun tenaganya diperah habis-habisan.
"Adatlah kerja makan gaji tetapi saya gunakan peluang itu untuk mempelajari selok-belok yang berguna jika ingin membuka firma guaman sendiri,'' katanya.
Walaupun masih baru dalam dunia guaman, Azlin diberikan kepercayaan oleh ketuanya untuk mengendalikan cawangan syarikat di Kajang.
Katanya, daripada situ beliau mula belajar pengurusan firma guaman yang sememangnya memberikan pengalaman begitu berharga.
Akhirnya Azlin nekad berhenti kerja dan bersama dengan seorang rakan kongsi mula membuka firma guaman sendiri di Petaling Jaya mulai 1 Januari 1990.
"Di sini bergunanya pengalaman menguruskan firma guaman dengan semangat untuk memulakan perniagaan sendiri,'' katanya.
Beliau sedar, firma guaman dibuka bukan hanya untuk mencari pelanggan khusus untuk mengendalikan kes-kes di mahkamah sahaja.
Sebaliknya, matlamat Azlin mahu menjadikan firma guamannya turut mengendalikan urusan guaman perbankan dan hartanah.
Cerita Azlin, beliau dan rakan kongsinya terpaksa tebalkan muka serta 'naik-turun' bank untuk memperkenalkan firma mereka dan menyakin pihak bank bahawa mereka juga mampu mengendalikan urusan guaman bagi pembelian hartanah oleh pelanggan.
"Akhirnya kami telah diberi kepercayaan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) sekali gus membolehkan firma kami berjaya mendapat keuntungan dalam tempoh enam bulan,'' katanya.
Pencapaian itu dianggap suatu yang membanggakan memandangkan jangkaan awal beliau dan rakan hanya akan mendapat untung dalam tempoh dua tahun beroperasi.
Kini usia firma guaman miliknya telah mencecah 23 tahun.
Dalam keserasiannya dengan dunia perniagaan, Azlin yang mempunyai bakat dalam penulisan sehingga mendorongnya menubuhkan HPC Global sejak 10 tahun yang lalu.
"Perniagaan ini juga berasaskan minat terpendam saya dalam bidang penulisan,'' ujar anak kelahiran Ipoh, Perak ini.
Perkhidmatan HPC Global meliputi bidang penerbitan ( buletin, majalah, buku, laporan tahunan), pemasaran korporat (logo, profil syarikat, brosur, bunting, sepanduk, kalendar meja dan juga papan iklan gergasi), pengurusan majlis dan pameran, seminar dan juga laman web.
"Saya sendiri yang akan memberi idea bukan sahaja untuk membuat lay-out malah juga penulisan untuk majalah dan sebagainya,'' kata Azlin lagi.
Sesuai dengan pengalamannya sebagai peguam dan usahawan, pada tahun 2006 Azlin menulis buku bertajuk Undang-Undang Untuk Usahawan.
Buku yang diedarkan oleh Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati) itu, akan diulang cetak dan bakal dilancar sekali lagi pertengahan tahun ini.
"Saya mendapati usahawan di negara ini masih cetek pengetahuan dalam undang-undang berkaitan dengan perniagaan sehingga mudah ditipu.
"Untuk itu saya juga mengendalikan kelas-kelas untuk para usahawan di seluruh negara supaya faham dengan selok-belok undang-undang yang berkaitan perniagaan," katanya.
Sekalipun sibuk menjalankan perniagaan, Azlin tetap mempunyai masa lapang untuk bermain alat-alat muzik seperti piano, gitar, saksofon dan drum.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan wanita yang bercadang untuk menjadi usahawan supaya membuat perancangan yang teliti dan memilih jenis perniagaan yang bersesuai mengikut kemampuan.
"Jangan buka sesuatu perniagaan itu hanya kerana nak ikut orang, sebaliknya berpandukan minat serta kebolehan supaya perniagaan yang dijalankan tidak sekerat jalan,'' katanya.
Ini kerana katanya, walaupun menjalankan perniagaan sendiri nampak mudah, tetapi ia agak mencabar bagi yang berkeluarga khususnya dalam aspek mengendalikan masa.

Oleh SHOLINA OSMAN