Friday, April 22, 2011

Hindari gelora prejudis antara kaum

MANUSIA dijadikan sebagai makhluk yang berbeza meskipun dilahirkan dalam kalangan ibu bapa yang sama. Dua orang anak kembar sekalipun mempunyai latar belakang pendidikan dan pengalaman yang hampir sama – tidak memiliki persamaan dalam emosi, akal fikiran dan tabiatnya. Inilah kebesaran Allah SWT sedangkan hasil ciptaan menurut piawaian tertentu mempunyai sifat yang manakala jika ia berbeza akan dianggap sebagai cacat (defect) atau rosak (reject).
Bagi Allah SWT, hakikat perbezaan itulah menjadi tanggungjawab kecerdikan akal untuk membolehkan nilai-nilai yang berbeza menjadi kekuatan apabila semuanya berada dalam satu ikatan kefahaman. Hakikat keyakinan antara manusia juga berbeza dan dengan sengaja Allah SWT menjadikan sedemikian rupa bagi menguji keintelektualan dan kekuatan iltizam manusia.
Perbezaan yang terjadi di antara manusia, baik dalam urusan ukhrawi mahupun urusan duniawi sudah berlaku sejak dahulu lagi dan akan tetap berlangsung hingga hari kiamat kelak. Banyak ayat al-Quran yang menerangkan hakikat ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan bukanlah tanggungjawabmu untuk menjadikan seluruh manusia itu, beriman jika Tuhanmu kehendaki nescaya berimanlah sekalian penduduk bumi. Apakah patut kamu hendak memaksa manusia semua supaya mereka menjadi orang beriman.” (Surah Yunus ayat 99)
Demikian juga dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Ia menjadikan manusia umat yang satu. Tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka.” (Surah Hud ayat 118-119)
Atas perbezaan itulah juga telah memberikan kekuatan kepada Malaysia dalam membentuk struktur masyarakat di mana setiap komponen bersedia menerima tolak ansur. Tolak ansur yang dibina sejak pemimpin tiga kumpulan kaum terbesar membentuk sebuah kesepakatan.
Kesepakatan itu telah menyerlahkan struktur dan institusi yang mendokongnya dihormati. Setiap nasihat dan keputusan yang diambil menjadi sesuatu yang konsensus. Setiap ahli mematuhinya sebagai pemandu arah sehinggalah Malaysia kekal menjadi sebuah negara yang pesat membangun.
Sebagaimana sifat manusia yang merasakan ada kekuatannya sendiri, maka perjuangannya menjadi semakin eksklusif sehingga memandang nilai-nilai primordial sebagai kerangka bertindak pada masa selanjutnya. Bagi memperkuatkan nilai primordial ini mereka mencipta pula pelbagai sifat khusus dengan memaksa orang lain memahaminya, sedangkan dirinya sendiri kurang berusaha untuk memahami orang lain. Hubungan yang terjalin tidak lagi dalam bentuk timbal balik, tetapi lebih menjuruskan kepada pemenuhan kehendak, sama ada dipaparkan secara langsung ataupun tersembunyi.
Nasihat Paduka Sultan Perak sempena hari ulang tahun keputeraan baginda pada 18 April lalu agar kita tidak mengecam agama, bangsa dan keturunan orang lain, kerana ia bakal membawa kepada perbalahan kaum yang lebih luas. Sengketa agama turut terbangkit, walhal secara jelasnya masing-masing agama mempunyai nilai universal, mengajak manusia melakukan kebaikan sepanjang hayat di samping taat kepada prinsip-prinsip kehidupan harmoni.
Antara rakyat boleh berkongsi falsafah, cita-cita dan tindakan berdasarkan keupayaan masing-masing. Yang ingin dikawal oleh elit pemerintah ialah bagi memastikan hak orang lain tidak dirampas, milik setiap kaum kekal dan tidak beralih haluan melalui tekanan, ugutan dan terjahan keinginan mendominasi kelompok yang lain.
Al-Quran telah mengisyaratkan bahawa perbezaan yang terjadi demi mempertahankan kebenaran dan mewujudkan keadilan adalah sesuatu yang menjadi keharusan dalam menangani kemaslahatan umat manusia.
Jika Allah tidak mencipta orang yang selalu menyebarkan kebenaran untuk menandingi orang yang berbuat kebatilan, maka hancurlah bumi ini dan kerosakan akan bermaharajalela. Justeru, mereka di kalangan ahlul batil (para pelaku kebatilan) jika dibiarkan melakukan apa yang mereka kehendaki, maka akan berlakulah kekejian di muka bumi ini.
Namun, Allah amat besar kurnia-Nya ke atas manusia. Dia memberikan kekuatan dan hujah kepada orang yang selalu melakukan kebaikan untuk melawan dan mengalahkan perbuatan kaum yang selalu membuat kerosakan di muka bumi.
Seandainya Allah tidak mengizinkan untuk memerangi ahlul batil, pasti mereka telah membuat kerosakan di muka bumi ini. Tempat-tempat ibadah pada masa Nabi Musa dan Nabi Isa, masjid-masjid tempat solat kaum Muslimin pada zaman Nabi Muhammad tentu sudah mereka hancurkan.
Justeru, perbezaan-perbezaan yang berlaku di antara manusia itu adalah disebabkan faktor tidak mampu memahami setiap permasalahan secara menyeluruh, melakukan taklid tanpa dasar dan dalil, fanatik terhadap sesuatu pendapat atau pemikiran, sikap dengki kepada orang lain, tamak kepada kepentingan diri dan mengikut hawa nafsu.
Apa yang menyedihkan ada di kalangan umat Islam yang memulau dan menghukum umat Islam lain dengan syirik dan bidaah kerana orang lain tidak sama adat resam budayanya dengan mereka. Malah mereka cuba memaparkan fahaman mereka untuk diserap kepada masyarakat lain.
Dunia ini tidak akan menjadi aman selagi penghuninya tidak memiliki sifat berlapang dada dan terbuka fikirannya. Situasi sebegini ditambah dengan hilangnya sifat hormat menghormati antara satu sama lain, juga rasa tidak puas hati yang tersemat di sanubari terhadap apa yang ditentukan Allah SWT.
Sesungguhnya, perselisihan yang terjadi di antara manusia adalah sunatullah (hukum Allah yang berlaku pada makhluk-Nya) yang akan sering berlaku dari semasa ke semasa. Cuma, kita sebagai manusia yang dianugerahi akal dan fikiran yang sempurna perlu memaknakan segala yang berlegar di sekeliling kita ke arah jalan atau cara yang diredhai-Nya.
Kita selalu membaca sejarah Rasulullah SAW yang begitu mengambil berat tentang hak-hak kejiranan dan terhadap pembesar satu-satu kaum dan terhadap orang tua dan orang kafir yang berhajat.
Kita pernah mendengar bagaimana hubungan Rasulullah dengan orang Yahudi, bagaimana penghormatan yang diberi kepada seorang ketua satu kabilah, bagaimana layanan diberi kepada orang tua dan mereka yang memusuhi dan bagaimana sanjungan yang diberi kepada jenazah seorang Yahudi yang sudah meninggal dunia yang dibawa di hadapannya sehingga sahabat merasa iri hati dengan penghormatan itu.
Kata mereka, “tidakkah jenazah itu seorang Yahudi?” soal mereka. Jawab baginda, “bukankah dia juga satu jiwa yang dicipta oleh Allah.” Ini menggambarkan hubungan kebaikan atau penghormatan sesama manusia tidak dilarang.
Perbezaan agama tidak menyebabkan adanya perakuan diskriminatif terhadap agama lain. Tidak ada pertentangan antara konsep Islam mengenai ahl-al-dzimmah dengan konsep kewarganegaraan. Bahkan konsep ahl-al-dzimmah sejalan dengan konsep kewarganegaraan, yang mana setiap penganut agama dan aliran kepercayaan mesti mendapat perlindungan sebagaimana sepatutnya, sesuai dengan undang-undang dan konsensus bersama, tanpa melihat apa agamanya. Apatah lagi dalam sebuah negara yang mengamal sistem demokrasi, yang merupakan fenomena terkini yang tidak boleh dihindarkan.
Oleh hal yang demikian, umat Islam dari semasa ke semasa mengikuti jejak langkah Nabi SAW yang bergaul dengan umat-umat lain khususnya yang bukan Muslim tetapi tergolong dalam ahlul milal wan nihal dengan penuh kejujuran. Dalam sejarah Islam, banyak contoh toleransi yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang harus diikuti oleh semua umat manusia.
Islam pada intinya adalah seruan pada semua umat manusia menuju cita-cita bersama, iaitu kesatuan manusia tanpa membezakan ras, warna kulit, etnik, kebudayaan dan agama.

Oleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir

No comments:

Post a Comment