Friday, January 21, 2011

Resipi turun-temurun




MENCARI makanan ala kampung di bandar besar seperti Kuala Lumpur bukan sesuatu yang sukar. Memandu saja ke mana-mana restoran yang menawarkan pelbagai masakan kampung pasti akan ketemu apa yang dicari cuma mungkin rasanya tidak seenak masakan hasil air tangan ibu.
Misalnya, bagi yang berasal dari utara tanah air terutama Kedah pasti akan tercari-cari aroma gulai kawah yang biasa disajikan di majlis-majlis perkahwinan.
Kini mereka tidak perlu lagi perlu bersusah payah memandu ke Kedah kerana sudah banyak restoran serta hotel-hotel menyediakan juadah tersebut.
Bagi penduduk sekitar Bandar Baru Bangi, Selangor, destinasinya sudah tentu ke Restoran Gulai Kawah yang terletak di Seksyen 8 bandar tersebut.
Restoran ini cukup terkenal bagi mereka yang ingin menikmati gulai kawan sebagai hidangan tengah hari mahupun malam.
Menggunakan resipi turun temurun serta bahan-bahan segar, gulai kawah daging yang disajikan di restoran ini mampu membuka selera sesiapa sahaja.
Menurut Chef Korporatnya, Muhamad Ridzuan Mat Desa, Restoran Gulai Kawah menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan juga makan malam.
Tambahnya, selain gulai kawah daging, antara menu-menu lain yang menjadi pilihan para pelanggan ialah patin masak tempoyak, sup tulang serta ayam kampung goreng.
''Keenakan gulai kawah terletak pada daging rincik berserta adunan ramuan rempah tradisional yang dimasak dalam kawah besar.
''Setiap hari antara 15 hingga 20 kilogram daging lembu tempatan yang dimasak dan dijual dengan harga RM6, RM8 dan RM10 (mengikut saiz).
''Hidangan nasi gulai kawah tidak memerlukan banyak lauk, cukup dengan nasi, gulai dan sambal serta timun,'' katanya ketika ditemui sedang menguruskan masakan bersama 15 pembantunya.
Ujarnya lagi, bahan-bahan untuk memasak setiap hidangan sudah pasti daripada bahan-bahan yang segar dan ia dibeli setiap hari.
Selain menggunakan rempah ratus tempatan, daging lembu yang dimasak juga merupakan daging segar yang dibeli setiap hari dan bukannya daging beku (import).
Ia adalah bertujuan untuk menjaga mutu dan keaslian gulai kawah tersebut.
Dibuka setiap hari dari pukul 7 hingga 1 pagi, restoran tersebut mampu menampung sehingga 60 orang pelanggan pada satu-satu masa.
Selain menu gulai kawah daging yang disediakan pada waktu tengah hari, Restoran Gulai Kawah turut menyediakan menu istimewa secara ala carte untuk pelanggan pada waktu malam iaitu nasi goreng gulai kawah.
Bagi mereka yang ingin menikmati hidangan ringan pada waktu malam, mereka juga boleh mencuba keropok lekor istimewa di mana para pelanggan boleh menikmatinya dengan sos cili ataupun dicampur dengan mayonis.
''Untuk sarapan pagi, kami menyediakan pelbagai menu seperti nasi goreng, bihun goreng, lontong, roti canai dan sebagainya.
''Bagi makan tengah hari pula, kami menyediakan antara 25 hingga 30 jenis masakan setiap hari termasuk gulai kawah daging.
''Sudah pasti para pelanggan yang menikmati makanan di sini memilih untuk menikmati gulai kawah daging selain patin masak tempoyak, sup tulang dan ayam kampung goreng,'' ujarnya.
Turut menyediakan perkhidmatan katering, turut mempunyai cawangannya di The Curve, Bandar Utama dan juga Mydin USJ.





No comments:

Post a Comment