Friday, January 21, 2011

Nostalgia lempeng kelapa

ATU tempat tetapi boleh memenuhi semua selera daripada sajian Melayu, Thai hinggalah kepada makanan Barat dan daripada makanan berat hingga kepada sekadar kudap-kudapan untuk mengalas perut.
Itu mungkin gambaran tepat untuk Restoran T'mor Place yang menghuni salah satu unit di deretan kedai di Dagang Avenue, Ampang, Selangor.
Di sini juga destinasinya bagi yang terkenang masakan ibu di kampung seperti masak tempoyak, gulai lemak cili padi, sambal udang petai, asam pedas, rendang ayam, ayam kampung goreng berempah, gulai pucuk paku, rebung, ikan baung tempoyak, kerabu, ulaman dan sebagainya.
Ini belum lagi lempeng kelapa yang diberi nama Lempeng Mak Ton yang sedap dimakan bersama sambal sardin atau kuah kari - pasti ia bakal membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak ketika menikmati lempeng hasil air tangan ibu.
Ada juga kuih-muih manis seperti lopes, lepat, talam juga pengat labu, pisang, keledek dan keladi. Yang suka laksa, boleh mencuba laksa Johor dan laksa penang yang cukup perisa.
Keistimewaan inilah yang membuatkan T'mor Place sentiasa dipenuhi pelanggan pada setiap waktu makannya sama ada tengah hari, malam dan dinihari.
Kata pemiliknya, Ann Hussain yang berkongsi perniagaan ini bersama Dr. Syed Rozaidi Wafa, makanan Melayu tetap mendapat tempat di hati bukan sahaja masyarakat Melayu malah bangsa asing.
''Masakan kampung T'mor Place memang disediakan secara tradisional hasil air tangan tukang masak kami, Mak Jah yang berpengalaman selama 40 tahun menyediakan pelbagai masakan Melayu.
''Hidangan kampung akan mula dihidangkan pukul 11 pagi untuk makan tengah hari. Bermula pukul tiga petang pula, pelanggan sudah boleh memesan hidangan Thai dan barat yang berterusan sehingga ke pukul 2.30 pagi.
''Pelanggan yang datang makan pada waktu malam pula lebih sukakan makanan yang ringan seperti otak-otak, tauhu bakar istimewa dan The Kunyah, iaitu cendawan, udang, kentang yang digoreng rangup,'' ujar Ann, 38 tahun.
Mempunyai 20 orang pekerja, T'mor Place menampilkan hiasan dalaman berkonsep moden dan kedesaan yang boleh memuatkan sehingga 100 orang pada satu masa.
Menariknya, setiap sudut, dinding dan ruang dihiasi dengan perhiasan seperti botol pelbagai saiz dan warna, koleksi tembaga, sangkar burung dan barangan antik milik ibu Ann.
Katanya, dekorasi restoran dilakukan hasil ilhamnya sendiri bersama rakan kongsi yang sentiasa berusaha menjadikan T'mor Place sebuah tempat makan yang tidak mudah dilupakan.
Untuk itu, katanya, selain makanan yang sedap, hiasan restoran yang cantik, kebersihan, layanan mesra dan perkhidmatan yang memuaskan amat diutamakan.
Selain pelanggan yang datang makan di sini, ada juga yang mengadakan majlis seperti hari jadi, pertunangan, meraikan teman pejabat dan sebagainya. Biasanya mereka lebih gemar duduk di luar restoran kerana lebih nyaman, berangin dan lapang.
Restoran ini bertambah sibuk pada bulan Ramadan kerana ia turut menyediakan bufet berbuka puasa pada harga yang amat berpatutan, iaitu RM25 seorang dengan lebih 40 sajian.
Pemilik T'mor Place, Ann Hussain.

Oleh MERAN ABU BAKAR

No comments:

Post a Comment