Friday, January 21, 2011

Kafe pejabat bergerak


Pat Teoh (depan) dan Yati Hamzah di kafe berkonsep pejabat bergerak.



PERSAINGAN yang semakin sengit dalam dunia perniagaan, secara tidak langsung memberikan cabaran besar terhadap sesiapa sahaja yang baru hendak berjinak-jinak di bidang ini.
Oleh itu ada baiknya jika sebelum memulakan sesuatu perniagaan dengan meninjau dahulu apa yang menjadi keperluan pengguna.
Pembukaan kafe pejabat bergerak Paper + Toast di A-0-5 One Residency, No: 1, Jalan Nagasari Off Jalan Raja Chulan oleh tiga rakan kongsi iaitu Pat Teoh, 27, Yati Hamzah, 34 dan Darren Zhou, 29, wajar dipuji.
Usaha tiga rakan kongsi ini disifatkan berani kerana sanggup meneroka jenis perniagaan yang masih terlalu baru di Malaysia.
Paper + Toast merupakan kafe pejabat bergerak yang pertama dibuka di Kuala Lumpur.
Penasihat kafe, Pat berkata, ''Kita sedar ramai di kalangan eksekutif dan juga ahli perniagaan yang memerlukan pejabat sementara dan menjalankan mesyuarat yang turut menyajikan makanan khususnya di ibu kota.''
Jelasnya, rata-rata kafe Internet yang ada sekarang masih tidak mencukupi keperluan ini.
Sehubungan itu, katanya, Paper + Toast dibuka bagi memenuhi keperluan eksekutif dan ahli perniagaan memerlukan tempat bermesyuarat di luar pejabat dalam suasana santai.
''Di sini kami juga menawarkan menu istimewa dari makanan negara Asia hingga Barat yang disediakan dari bahan yang bermutu, segar serta bebas dari bahan pengawet,'' katanya.
Tambah rakannya Yati, pengalaman sukar mencari tempat selesa untuk bermesyuarat di luar pejabat siap dengan hidangan makanan, memberi idea pada penubuhan kafe tersebut.
''Kafe kami umpama 'pejabat bergerak' kerana bukan sahaja menyediakan ruang selesa untuk bermesyuarat malah ada pejabat kecil yang dilengkapi kerusi, meja, komputer, faks dan Internet,'' ujarnya.
Lagi pun katanya, ia juga untuk menepati keperluan di kalangan mereka yang bekerja sambilan yang memerlukan sebuah pejabat bergerak.
Jelasnya, disebabkan ruang kafe ini terhad maka bantuan seorang lagi rakan kongsi yang juga arkitek iaitu Darren berjaya membuatkan ruang dalaman kafe ini begitu selesa.
''Umpamanya ruang pejabat yang dilengkapi dengan meja dan rak buku memang direka khas untuk mudah lipat di mana hanya akan dibuka jika ada pelanggan,'' katanya.
Malah katanya, pihaknya percaya dengan kelainan ini secara tidak langsung menjadikan ia sebagai sebagai percubaan yang pertama di negara ini dengan membuka kafe pejabat bergerak.
Selain itu, pihaknya menyediakan menu istimewa untuk dinikmati oleh pelanggan yang sememangnya.
Katanya, kafe pejabat bergerak Paper + Toast menawarkan harga bermula dengan RM8.50 sejam untuk perkhidmatan pejabat mudah alih, RM85 sejam untuk bilik mesyuarat termasuk hidangan kopi dan teh.

Oleh SHOLINA OSMAN

No comments:

Post a Comment