Saturday, February 19, 2011

Rahsia joki

Foto
TUJUH kali bergelar juara joki kebangsaan, tentu ada rahsia di sebalik kemasyhuran Azhar Ismail. Pada usia 47 tahun dengan berat badan hanya 50 kilogram, jom kongsi cerita beliau di sebalik aksi dalam sukan lumba kuda...



PERSIS kejayaan diperoleh selama 27 tahun menjadi joki sukan lumba kuda, terserlah aura juara apabila mendekati pemilik nama Azhar Ismail ini. Kecil molek orangnya dengan ketinggian cuma 155 sentimeter, siapa sangka beliau hebat mengemudi kuda.
Dengan lebih 1,000 kemenangan dikecapi bersama status juara joki kebangsaan, Azhar akui cintanya dalam sukan berkuda melebihi segala-galanya. Azhar yang berasal dari Ayer Hitam, Pulau Pinang ini mengakui minat mendalam menjadi antara resipi kejayaannya.
“Bukan mudah mengekalkan rentak terutama apabila kita harus bersaing dengan lebih ramai joki baru yang jauh lebih muda daripada kita.

“Pada usia begini, jujur saya katakan pengalaman serta stamina harus berada di tahap terbaik untuk kekal bersaing dalam sukan lumba kuda,” kata Azhar yang mula terbabit dalam sukan lumba kuda ketika berusia awal 20-an.

Sisipan XY - Ikon Lelaki baru-baru ini berpeluang melihat sendiri gaya Azhar beraksi di Selangor Turb Club, Seri Kembangan, Selangor. Seolah tidak percaya melihat kudrat Azhar yang cukup ampuh beraksi dalam tujuh daripada 10 perlumbaan lumba kuda yang diatur pada hari itu.

Malah, pada perlumbaan keempat, Azhar yang mengemudi kuda lumba yang diberi nama Good Sight muncul pemenang. Beliau menewaskan 13 kuda lumba lain pada perlumbaan sejauh 1,400 meter. Pada akhir perlumbaan, Azhar unggul dengan mendapat tempat ketiga dalam dua perlumbaan. 
Menceritakan jadual perlumbaan yang agak padat, bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata, sebagai joki yang mengemudi lebih 70 ekor kuda lumba dari jenis baka thoroughbred, beliau perlu bersedia untuk beraksi baik di Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Ipoh mengikut kalendar perlumbaan kuda.

“Sesekali, khidmat saya sebagai joki turut diperlukan di Singapura. Itu bergantung kepada faktor masa memandangkan saya juga terikat dengan komitmen di KL, Pulau Pinang dan Ipoh.

“Walaupun bayaran agak lumayan, kita juga harus memikirkan faktor masa dan logistik,” katanya yang pernah beraksi di Hong Kong, Macau, Mauritius, Australia dan Turki atas jemputan sebagai joki sukan lumba kuda.

Mari ikuti kisah si joki kuda ini...

Boleh jelaskan serba sedikit mengenai peranan joki lumba kuda?

Saya lihat diri saya sebagai pelumba. Seperti sukan lumba kereta atau motosikal F1, bezanya saya menunggang kuda lumba. Sasaran saya ialah untuk menamatkan perlumbaan dengan harapan mencapai kemenangan.

Di sebalik impian bergelar juara, saya juga perlu mengambil kira soal keselamatan diri dan risiko dalam tempoh lebih seminit perlumbaan berlangsung.

Bagaimana perasaan anda setiap kali detik terakhir sebelum berlepas?

Berdebar yang anda maksudkan? Jujur saya katakan, memang perasaan itu tiada dalam diri saya. Ini kerana jika kita mempunyai perasaan itu, sukarlah untuk kita berlumba.

Sebaliknya, perlu ditanamkan semangat seorang juara dan memiliki karisma untuk bersaing dengan sesiapa saja. Pada akhirnya, apa yang kita impikan ialah kita selamat sampai di garisan penamat.

Bagaimana rasanya setiap kali anda mengungguli kejuaraan?

Sudah semestinya kemenangan begitu bermakna untuk diri saya, terutama selepas kita bekerja keras ke arah itu. Lebih-lebih lagi, dalam pertaruhan yang tinggi di mana ia umpama bonus buat joki.

Tetapi andai tewas, setiap joki tetap dibayar sebanyak RM250 setiap kali diminta beraksi.

Apakah tugas sebagai joki lumayan?

Apabila kita sudah menempa nama dan berpengalaman dalam profesion ini, mungkin khidmat kita diperlukan. Kerjaya ini seperti juga artis di mana kalau kita diperlukan, penganjur pula menjemput untuk membuat persembahan.

Seseorang joki hanya dibayar apabila diminta beraksi, jika tidak dibayar, bagaimana mahu mencari rezeki?

Apakah sisi berbeza seseorang joki yang mungkin orang tidak tahu?

Seorang joki tidak boleh memiliki kuda walaupun untuk keseronokan sendiri melainkan kalau dia sudah bersara. Malah, seorang joki juga tidak boleh ada kuda kegemaran atau pilihannya kerana tugas joki adalah untuk mencapai sasaran kemenangan tidak lebih daripada itu.

Mungkin ada petua atau rahsia membuatkan ikatan anda cukup kuat untuk mencapai kemenangan?

Bagi saya kemenangan itu bukanlah kerana joki itu semata-mata. Sebaliknya, ia adalah gabungan joki dan kuda lumba itu sendiri. Andai joki bagus tetapi kuda tidak bagus tidak bermakna juga. Begitulah sebaliknya.

Dalam konteks ini, saya andaikan pengalaman serta keupayaan kita menangani kuda itu penting untuk mencapai kemenangan yang dicari.

Menyentuh mengenai berat badan, apakah ciri ideal untuk seseorang joki lumba kuda?

Soal ketinggian bukanlah faktor utama kerana apa yang lebih ditekankan adalah saiz berat badan. Pelatih joki umpamanya perlu memiliki berat dalam lingkungan 47 hingga 55 kilogram.

Lebih muda seseorang itu, lebih elok dan mudahlah untuk melentur dan menimba pengalaman sebagai joki yang baik.

Memulakan karier dengan berat badan 47 kilogram dan kini cuma meningkat tiga kilogram selepas 27 tahun berkecimpung. Apa rahsia yang dipegang serta amalan pemakanan?

Saya tidak nafikan faktor baka memainkan peranan penting. Allahyarham bapa saya memang kecil orangnya. Cuma, saya mementingkan bersenam kerana pada usia ini, bersukan mampu mengekalkan tahap kecergasan.

Soal pemakanan pula, saya tidak cerewet. Saya jenis yang senang naik berat badan dan mudah untuk turun.

Boleh kongsi rahsia bersukan yang anda amalkan?

Saya gemar berbasikal, itulah yang saya amalkan setiap pagi dengan mengayuh basikal selama sejam. Pada masa yang sama, saya bermain golf jika ada kelapangan.

Tidakkah anak anda mahu berkecimpung dalam profesion sama?

Saya tidak fikir begitu. Bukan menghalang, tetapi disebabkan faktor fizikal. Anak-anak saya memiliki fizikal besar, tidak mungkin mereka boleh menjadi seorang joki. Anak sulung saya ketika ini sedang menuntut dalam jurusan perubatan di India, manakala anak kedua pula baru menuntut di kolej. Anak bongsu saya pula belajar di tingkatan tiga.

Soal kecewa kerana tidak ada pengganti, bagi saya, tidak mengapa. Saya sentiasa menyokong bakat baru sebagai joki dan bersedia memberi pelbagai tip dan berkongsi pengalaman.

Sampai bila agaknya anda mahu bergelar joki lumba kuda?

Walaupun sudah tujuh kali bergelar juara kebangsaan lumba kuda, saya tidak tahu sampai bila mahu meneruskan karier ini. Mungkin dua tiga tahun lagi atau siapa sangka selagi kudrat masih ada, saya mampu untuk bersaing.

Jika hendak tahu, Lester Piggott dari UK sendiri pernah menjadi joki walaupun berumur 60 tahun.


Mewarisi profesion arwah bapa

SUSUK tubuh kecil dengan berat badan 50 kilogram. Statistik diri ini cukup ideal untuk mengemudi kuda lumba. Menjelaskan faktor fizikal dirinya yang agak kecil, Azhar bercerita soal baka yang pastinya diwarisi daripada arwah bapanya, Ismail Asban.

Bukan sekadar susuk tubuh semata-mata, Azhar juga mewarisi profesion dalam sukan lumba kuda yang dipelopori bapanya ketika hayat.

Cerita Azhar, bapalah yang bertanggungjawab membawanya terjun ke dunia joki. Bagi dirinya, bapa adalah mentor yang membimbingnya sehingga menjadi juara.

“Arwah bapa terlebih dulu mengecapi kegemilangan dalam sukan ini. Sejak kecil, litar lumba kuda sudah menjadi sebahagian daripada gelanggang permainan. Hingga siapa sangka, saya mengikut jejak langkah bapa seperti yang diinginkannya.

“Lalu saya dibawa mengikuti kursus perantis joki di Singapura sebelum diserap sebagai joki sepenuh masa. Siapa sangka, sudah 27 tahun saya bergiat dalam sukan ini,” katanya.

Mewarisi darah pelumba, Azhar berkata, beliau tidak keseorangan memimpin legasi unggul bapanya. Sebaliknya, minat yang sama turut diwarisi abangnya, Ismadi. Namun, tidak seperti dirinya, Ismadi tidak lagi aktif sebagai joki dan menjadi jurulatih sepanjang masa.

Ditanya berapa lama lagi beliau mahu bertahan dalam sukan penuh berisiko itu, Azhar mengakui tempoh yang tinggal untuk dirinya mungkin tidak lama atas faktor fizikal termasuk umur.

“Saya tahu, sampai bila untuk saya mahu menjadi joki. Walaupun sudah tujuh kali bergelar juara kebangsaan, kita harus sedar, sampai suatu tahap kita harus berundur dan memberi laluan kepada angkatan muda yang lebih agresif.

“Jika menyatakan saya akan melupakan dunia joki, saya tidak dapat menjawab soalan itu. Sama ada meninggalkannya terus atau menjadi jurulatih, biarlah masa yang menentukan,” katanya.

Ditanya pernah atau tidak ditimpa kemalangan, Azhar pantas menyelak kolar kemeja-T putih yang dipakainya sambil menunjukkan kesan parut serta benjol yang ketara dilihat pada tulang bahu di kiri dan kanan.

Beliau berkata, kecederaan seperti patah tulang biasa dialami joki yang terjatuh dari kuda. Malah, Azhar masih lagi memakai penyambung besi di bahagian susuk bahu kanan akibat kemalangan.

“Saya sudah mengalami dua kecederaan patah tulang bahu. Manakala, saya juga pernah dihentak kaki kuda yang mengakibatkan tulang muka pecah. Mujur, semuanya tidak terlalu serius walaupun setiap kemalangan itu meninggalkan impak besar dalam hidup,” katanya.

Profil: Azhar Ismail

Umur: 47 tahun
Tempat lahir: Ayer Hitam, Pulau Pinang
Tinggi: 160 sentimeter
Berat: 50 kilogram
Status: Berkahwin 




Oleh Fairuz Zaidan



No comments:

Post a Comment