Friday, January 21, 2011

Ikan bakar Tasik Raban




SINGGAH sebentar ke Tasik Raban, Lenggong Perak ketika penulis dalam perjalanan pulang ke kampung baru-baru ini memberi pengalaman yang cukup istimewa.
Terletak kira-kira 20 kilometer dari tol Kuala Kangsar, tasik yang tenang dan mendamaikan ini menjanjikan panorama alam yang mengasyikkan.
Ia sebenarnya adalah Tasik Chenderoh, yang terbentuk daripada limpahan Sungai Raban akibat banjir ketika pembinaan empangan Chenderoh suatu ketika dulu. Namun masyarakat setempat lebih gemar menyebutnya Tasik Raban.
Bagi kaki pancing, kawasan ini menjadi tumpuan kerana terkenal sebagai lubuk ikan air tawar seperti tengalan, kelah, sebarau dan banyak lagi. Bagi peminat ikan air tawar tapi bukan kaki pancing, apa kata kunjungi Restoran Tasik Raban yang terletak tidak jauh dari situ.
Deretan kereta di depan restoran membuktikan ia menjadi tumpuan ramai. Apa lagi tatkala memandang asap berkepul-kepul dari satu sudut, diiringi aroma ikan bakar yang menyelerakan, serta-merta perut mula berkeroncong.
Menurut pengurus restoran yang ingin dikenali sebagai Mak Teh, terdapat pelbagai jenis ikan sungai dan tasik terdapat di sini.
"Sesetengah ikan hanya ada pada musim tertentu seperti ikan tengalan. Harganya pun mahal iaitu sekitar RM50 hingga RM60 seekor," katanya.
Jelas Mak Teh, ikan tengalan, sebarau dan kelah merupakan ikan liar yang ditangkap di Sungai Perak atau tasik itu, manakala ikan tilapia dan patin diternak dalam sangkar yang dibina di Tasik Raban.
Rasa ikan air tawar bakar di sini memang enak dan tidak hanyir. Tambahan lagi ia masih segar, menjadikan rasanya manis semula jadi. Kuah istimewa yang ditabur pula menambah lagi perisa. Jika tidak suka dicicah bersama air asam atau sambal, cukup sekadar kuah ini sahaja.
Selain ikan bakar, antara masakan yang paling diminati di sini adalah gulai tempoyak, daging masak hitam, ulam kampung, sambal tempoyak, ikan pekasam Lenggong dan banyak lagi.
Kata Mak Teh, mereka sudah berniaga lebih 20 tahun dan dulu restoran ini terletak betul-betul di atas Tasik Raban.
"Bila kawasan ini dibina jalan raya yang lebih selesa dan pelbagai lagi kemudahan dibangunkan, barulah kami berpindah ke kedai sekarang," katanya.
Restoran Tasik Raban turut membuka cawangan di Ipoh dan kawasan berdekatan Tesco Stesen 18, Pengkalan, Perak.

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment