Saturday, January 8, 2011

Warga emas sihat jika kerap bersenam

Senaman, aktiviti fizikal berterusan penting untuk kebaikan kesihatan
tanpa mengira usia
SENAMAN sering dikaitkan dengan gadis cantik jelita dan lelaki sasa
berotot tetapi sebenarnya warga emas juga perlu bersenam.
Purata jangka hayat bagi warga emas lelaki kini mencecah kepada 72.3
tahun, manakala wanita 76.9 tahun. Jabatan Kebajikan Masyarakat
Malaysia (JKMM) menjangka menjelang 2020, jangka hayat bagi lelaki
mencecah usia 75.4 tahun dan wanita 80.4 tahun.
Malangnya, sesetengah warga emas dihinggapi pelbagai penyakit seperti
diabetes, jantung dan angin ahmar.
Antara masalah membabitkan warga emas diwarisi daripada gaya hidup
masyarakat yang kurang atau tidak pernah bersenam. Masalah
membabitkan warga emas lebih ketara apabila persaraan menyebabkan
mereka tidak lagi menjalani kehidupan secara aktif.
Walaupun bergelar warga emas, senaman secara tetap dan aktiviti fizikal
sangat penting untuk kebaikan kesihatan. Malah kajian di Barat
menunjukkan tidak bersenam adalah tingkah laku yang berisiko.
Antara masalah membabitkan warga emas ialah mereka tidak lagi
berdikari, iaitu kehilangan keupayaan melakukan sesuatu mengikut
kehendak diri. Keadaan ini sebenarnya bukan hanya kerana faktor umur.
Punca utama dan dalam kebanyakan kes membabitkan warga emas yang
tidak lagi menjalani kehidupan aktif.
Empat elemen penting yang menentukan seseorang kekal sihat dan
berdikari ialah ketahanan, kekuatan, keseimbangan dan fleksibiliti. Warga
warga emas yang tidak lagi menjalani kehidupan aktif mungkin kehilangan
beberapa elemen itu.
Kajian menunjukkan sebahagian elemen itu boleh dipertahankan dengan
bersenam atau melakukan kegiatan fizikal seperti berjalan pantas atau
berkebun dengan matlamat akhirnya mungkin menyamai kebaikan
bersenam.


Halangan untuk warga emas bersenam
Apakah yang menyebabkan warga emas enggan bersenam walaupun
mengetahui aktiviti itu memanfaatkan diri mereka.
Antara faktor menyebabkan keadaan ini berlaku mungkin kerana
kebimbangan bahawa bersenam boleh membahayakan diri. Mungkin ada
beranggapan mereka perlu ke gimnasium atau terpaksa membeli
peralatan mahal.
Sesetengah warga emas mungkin malu kerana menganggap bersenam
hanya untuk golongan muda. Ada yang berpandangan bersenam hanya
untuk mereka yang mampu melakukan aktiviti seperti berjoging.
Sebenarnya setiap warga emas boleh melakukan sesetengah aktiviti fizikal
dengan selamat. Jika perlu mengeluarkan wang, mungkin tidak begitu
besar. Jika segan, warga emas tidak perlu bersenam di tempat awam atau
menggunakan peralatan senaman mahal.
Hakikatnya, setiap kerja harian di rumah boleh meningkatkan tahap
kesihatan. Kunci utamanya ialah bersenam, aktiviti fizikal dan
menggunakan kuasa otot.
Kajian menunjukkan dalam tempoh jangka panjang, tahap kesihatan
warga emas akan menjadi lebih buruk apabila tidak bersenam.
Sehubungan itu, warga emas perlu berusaha untuk kekal aktif mengikut
kemampuan mereka.
Berbeza dengan tanggapan umum, bersenam bukan saja memberi
manfaat kepada warga emas berumur sekitar 60-an yang masih mampu
berdikari dan melakukan aktiviti seperti berjoging.
Penyelidik mendapati senaman dan kegiatan fizikal mampu meningkatktkan
tahap warga emas berusia 90 tahun atau lebih tua. Mengekalkan
kehidupan yang aktif dan bersenam secara tetap boleh mencegah atau
melewatkan mendapat sesetengah jenis penyakit apabila umur meningkat.
Dalam sesetengah kes, tahap kesihatan warga emas yang mempunyai
penyakit didapati bertambah baik apabila melakukan senaman secara
konsisten.
Berikut ialah jenis senaman yang boleh membantu meningkatkan tahap
kesihatan warga emas:

Senaman ketahanan
Senaman ini baik untuk kesihatan jantung, paru-paru dan sistem
pernafasan. Mempunyai ketahanan bukan saja membantu menjadikan
lebih sihat, malah memperbaiki stamina untuk kerja yang dilakukan setiap
hari seperti pergi ke kedai runcit.
Senaman ketahanan boleh melewat atau mencegah sesetengah jenis
penyakit yang dikaitkan dengan faktor umur seperti diabetes, kanser kolon,
penyakit jantung dan angin ahmar.
Senaman kekuatan
Senaman ini membina otot dan menjadikan tubuh lebih kuat. Walaupun
peningkatan kuasa otot kecil, ini memberi kesan besar dari segi
keupayaan. Senaman ini juga meningkatkan kadar metabolisme,
mengawal berat badan dan kandungan gula dalam darah.
Ini penting kerana obesiti dan diabetes adalah masalah kesihatan utama
warga emas. Malah kajian mendapati senaman kekuatan boleh mencegah
osteoporosis.
Senaman keseimbangan
Masalah yang sering dihadapi warga emas seperti terjatuh dapat dicegah
dengan senaman ini. Terjatuh merbahaya kerana boleh menyebabkan
kecederaan dan apabila sering berlaku akan menyebabkan warga emas
hilang keupayaan dan tidak lagi berdikari.
Sesetengah jenis senaman keseimbangan juga boleh membina kekuatan
otot kaki. Aktiviti mudah seperti berdiri menggunakan satu kaki juga boleh
membantu.
Senaman fleksibiliti
Senaman ini menjadikan tubuh mudah lentur. Ini dilakukan dengan aktiviti
regangan membabitkan otot dan tisu yang menentukan keseimbangan
tubuh. Ahli terapi fizikal mencadangkan senaman regangan dilakukan
terhadap pesakit untuk pulih dari kecederaan. Selain itu, senaman ini baik
untuk mencegah masalah terjatuh.

No comments:

Post a Comment