Thursday, February 10, 2011

Medan ikan bakar di Pantai Jeram

SEBUT sahaja Kuala Selangor, ramai yang akan membayangkan kelip-kelip di Kampung Kuantan yang menjadi daya tarikan utama ke bandar kecil itu.
Walaupun kelip-kelip sudah sinonim dengan Kuala Selangor malah telah menjadikan bandar itu terkenal di serata dunia tetapi Kuala Selangor juga menawarkan banyak lagi destinasi menarik untuk dikunjungi.
Selain terdapat tempat-tempat bersejarah, ikan bakar dan makanan laut yang segar juga merupakan daya tarikan utama bandar yang terletak kira-kira satu setengah jam perjalanan dari Kuala Lumpur ini.
Seperti masakan lain, menu berasaskan makanan laut mempunyai penggemar dan pengikutnya sendiri. Oleh itu, semakin banyak restoran berkonsep eksklusif mahupun santai yang menghidangkan menu makanan laut dibuka terutama di sekitar Kuala Lumpur.
Itulah keunikan Malaysia, yang menjadi pusat tumpuan makanan dari serata dunia.
Sebut sahaja cita rasa yang diinginkan, boleh dikatakan semuanya ada di sini.
Bagi penggemar makanan laut, apa kata sekali sekala anda sekeluarga mencuba makanan laut yang terdapat di Pantai Jeram.
Salah satu restoran yang terdapat di Pantai Jeram ialah Medan Ikan Bakar Pantai Jeram.
Merupakan perniagaan keluarga sejak 27 tahun lalu, kini pengurusnya, Suhaimi Jalil memberitahu, bahawa segala makanan laut segar yang diperolehnya dihantar oleh pemborong-pemborong tempatan di sekitar Kuala Selangor.
Kebiasaannya untuk hari-hari biasa, Medan Ikan Bakar Pantai Jeram akan menyediakan sehingga 100 kilogram (kg.) pelbagai jenis makanan laut dan untuk hari minggu jumlah tersebut akan meningkat sehingga 200 kg. sehari.
"Setiap hari kami menyediakan pelbagai jenis makanan laut segar kepada pengunjung dan kami sedaya upaya menyediakan makanan yang berkualiti kepada para pelanggan kami.
"Ini kerana makanan laut segar turut mempengaruhi masakan yang dimasak dan sudah pasti kami mahu mengekalkan pelanggan-pelanggan yang sedia ada,'' ujarnya ketika ditemui di Pantai Jeram, baru-baru ini.
Jelas bapa kepada lima orang cahaya mata ini lagi, selain makanan laut yang dibakar dan digoreng menjadi pilihan, kedainya turut terkenal dengan asam pedas ikan sembilang.
Sementara itu untuk ikan, lazimnya para pelanggannya gemar menu ikan masak tiga rasa manakala bagi ketam ia dimasak sama ada secara goreng bercili dan sotong pula goreng bertepung. Bagi ikan bakar, jenis ikan yang sering dipilih ialah ikan pari, kembung, cencaru, jenahak dan terubuk.
Dibuka setiap hari bermula dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam, Medan Ikan Bakar Pantai Jeram turut menyediakan kemudahan seperti surau, tandas dan tempat letak kereta untuk memudahkan para pengunjung.
Tidak ketinggalan disediakan juga tempat permainan untuk anak-anak kecil bermain sementara keluarga masing-masing menikmati makanan di situ.
Bercerita lebih lanjut mengenai kedai makannya, menurut anak jati Kampung Jeram ini, pada satu-satu masa ia dapat menampung seramai 500 orang pelanggan.
"Kebanyakan pelanggan kami merupakan pelancong-pelancong tempatan yang datang dari Kuala Lumpur dan Shah Alam.
"Bagi pelancong-pelancong tempatan mereka memang gemar makan makanan laut ini dan pelancong luar negara juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba makanan Malaysia.
"Untuk itu, kedai ini dibuka setiap hari kecuali setiap hari Selasa hujung bulan ia ditutup dan sekiranya hari-hari biasa ia dibuka sehingga pukul 12 tengah malam, tetapi untuk hari minggu iaitu Sabtu dan Ahad kami panjangkan operasi hingga pukul 1 pagi,'' tambah beliau.
Yang pasti, segala jenis masakan yang dihidangkan akan membangkitkan selera anda.
Soal harga usah dipertikaikan kerana ia sememangnya berbaloi dan berpatutan.
Jadi, apa kata sekiranya anda inginkan kelainan dalam mencuba makanan laut, kunjungilah Medan Ikan Bakar Pantai Jeram di Kuala Selangor bersama keluarga.
Selamat menjamu selera!
HIdangan ikan bakar yang sedap boleh didapati di Medan Ikan Bakar Pantai Jeram.
Oleh Mariatul qatiah zakaria


No comments:

Post a Comment