Saturday, February 19, 2011

Keunikan gua batu kapur

IPOH,Bandar raya ini boleh dilabel sebagai bandar gua batu kapur kerana dikelilingi banjaran batu kapur yang cantik dan popular.
Stalaktit dan stalagmit yang membentuk gua batu kapur ini sudah berusia jutaan tahun dan menjadi tarikan pelancongan di bandar raya yang pernah popular sebagai kawasan perlombongan bijih timah suatu ketika dahulu.
Terdapat sekurang-kurangnya tujuh gua batu kapur yang terkenal kerana kecantikannya di bandar raya ini dan yang paling popular tentunya Gua Tempurung yang terletak di Jalan Ipoh-Kampar.
Gua Tempurung merupakan sebahagian daripada banjaran gunung, gua batu kapur dan marmar yang dikatakan terbesar dan terindah di Malaysia.
Gua itu mempunyai lima kubah, dengan masing-masing mempunyai formasi stalaktit dan stalagmit yang tersendiri serta suhu yang berbeza.
Di dalam setiap kubah itu juga terdapat batu kapur dan marmar yang begitu indah.
Sebuah lagi gua batu kapur yang mempunyai warisan sejarah ialah Gua Tambun yang dipercayai menjadi tempat tinggal kepada penduduk awal Semenanjung.
Penemuan lukisan zaman batu Neolitik berusia kira-kira 5,000 tahun di Gua Tambun membuktikan kewujudan manusia terawal di situ.
Walaupun lukisan yang memaparkan lakaran manusia, rusa mengandung, penyu, ikan, anak panah dan sotong itu kelihatan agak mudah, ia cukup untuk menjelaskan kehidupan manusia primitif pada zaman itu.
Kalau bercerita tentang gua batu kapur, tidak sah jika tidak berkunjung ke taman tema Lost World of Tambun (LWOT).
Menariknya tentang tema air yang dibangunkan dengan kos RM60 juta ini ialah ia dikelilingi banjaran batu kapur semula jadi berusia lebih 400 juta tahun.
Pemandangan indah yang terdapat di LWOT itu menjadikan LWOT sebagai tempat percutian pilihan rakyat Malaysia pada musim-musim cuti persekolahan.
Di samping itu, terdapat tiga buah gua batu kapur yang dijadikan sebagai lokasi tokong oleh penganut agama Buddha di sini.
Selain berfungsi sebagai rumah ibadat, Tokong Sam Poh Tong, Tokong Perak Tong dan Tokong Kek Lok Tong menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan semula jadi serta taman buatan manusia yang terdapat di situ.
Tokong Sam Poh Tong yang didakwa sebagai tokong gua terbesar di negara ini misalnya, mempunyai 246 anak tangga menuju ke puncak gua dan kolam Jepun yang dipenuhi ikan kap.
Di Tokong Kek Lok Tong yang juga dikenali sebagai Gua Kegembiraan Hebat pula terdapat patung Buddha diperbuat daripada stalaktit dan stalagmit yang mengagumkan pandangan.
Sementara itu, Tokong Perak Tong yang dibina pada 1926 pula menempatkan 40 patung Buddha dengan yang paling besar setinggi 12.1 meter.
Di situ, terdapat 385 anak tangga menuju puncak gua dan lukisan-lukisan mural yang menghiasi dinding-dinding gua itu.
Gua Kek Look Tong yang dikenali sebagai Gua KegembiraanHebat mempunyai patung Buddha yang diperbuat daripada stalaktit dan stalagmit.
Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI 

No comments:

Post a Comment