Sunday, February 6, 2011

Santai di Bangi Kopitiam

Foto



ALANGKAH enaknya bersantai meluangkan masa senggang di celahan redup pepohon hijau yang merimbun di depan mata. Tambahan pula, sambil bersembang menikmati sekeping roti bersalut kaya dan menghirup kopi panas yang sinonim dengan jenama ‘kopitiam’.Anda juga pasti boleh merasai suasana sedemikian dengan berkunjung ke restoran francais, Bangi Kopitiam yang terletak di Lorong Serawak, Melawati Urban 1, ibu kota. Mudah untuk ke sana dengan menjadikan Zoo negara sebagai petunjuk utama. Pemiliknya, Laila Ahmad berkata, Bangi Kopitiam berkonsep retro moden dan menjanjikan pilihan terbaik buat warga kota meluangkan masa bersama teman mahupun keluarga apatah lagi pada hujung minggu."Kami beroperasi setiap hari bermula jam lapan pagi hingga 12 tengah malam dan bakal menganjak ke jam dua dinihari pada malam hujung minggu dengan kehadiran artis jemputan, Azman Warren yang mendendangkan lagu secara langsung. 

''Hidangan pula pelbagai dengan ciri satu Malaysia dan dijamin memenuhi cita rasa serta memenuhi kehendak pelanggan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan peringkat umur," katanya ketika ditemu bual, baru-baru ini. 

Antara sajian menarik di kopitiam berkenaan ialah bihun tomyam goreng, nasi lemak rendang ayam, nasi goreng chicken chop dan mee udang. Memikat dengan resipi berseni, penulis menggemari nasi lemak rendang ayam yang diadun ‘melengkapi rasa’ bak masakan asli. 
Tidak ketinggalan, hidangan roti bersalut aiskrim, Thick Toast aiskrim yang berharga RM4.50 saja. Istimewa dengan bermacam-macam perisa, ia memang enak. 
Juga ditawarkan hidangan pemanis mulut yang lain seperti puding dan bubur yang dihidangkan panas-panas. 

“Janggal jika berkunjung ke kopitiam tanpa menikmati hidangan roti. Bahkan, bukan senang mendapat roti stim yang enak namun, kami menyediakannya. Rangup dan menyelerakan, ada sesetengah roti dibawakan khas daripada daerah asal bagi mengekalkan rasanya. 

“Anda juga harus mencuba pelbagai minuman lain selain Ipoh White Coffee. Penggemar jus umpamanya, pasti menyukai minuman jus kedondong atau rasai bandung cincau dan volcano tea tiga lapis yang enak dan menarik,” katanya mesra. 

Berkongsi perniagaan bersama suami, Abdul Halim Abd Rahman dan adik iparnya, Zulkifli Abdul Latiff sejak setahun lalu, perniagaannya sentiasa berkembang maju. Menariknya, ia pernah meraih gelaran restoran terbersih kategori A oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya meskipun baru enam bulan beroperasi ketika itu. 

Tatkala diajukan persoalan memilih perniagaan francais, Halim berkata, kopitiam berkenaan adalah perniagaan francais yang terjamin, mempunyai konsep tertentu, sistem perniagaan tersendiri, dan stabil selain dikenali ramai. 

“Restoran kami adalah cawangan kelima daripada 15 rangkaian dan menariknya, Bangi kopitiam menggunakan identiti foto lama sekumpulan polis di Kuala Kangsar di samping motto The Lost Heritage Muhibbah bagi membezakannya dengan rangkaian kopitiam lain,” katanya. 

Deretan gambar dan khazanah lama menggamit nostalgia selain memenuhi ruang restoran dengan tambahan aksesori beca dan motor lama sebagai hiasan pada sudut tertentu. 

Bertuah dek ruang halaman luas kerana terletak di bucu bangunan, restoran itu juga menyediakan ruang tertutup berhawa dingin untuk tempahan pelbagai acara dan keraian seperti jamuan hari lahir, mesyuarat, mahupun acara acara sosial yang lain. 

"Beberapa syarikat produksi filem, drama serta pengiklanan pernah mengadakan penggambaran di sini dengan bayaran minimum iaitu RM100 sejam dan ia dikenakan bergantung kepada acara yang diadakan," ujarnya lagi. 

Berhasrat menambah cawangan kelak, lokasi restoran kini amat strategik. Dengan kemudahan laluan dan kawasan letak kereta yang mencukupi, Bangi Kopitiam sentiasa mengalu-alukan kedatangan anda ke mari. Jadi, jangan lupa singgah ke sana. 

INFO: 

Bangi Kopitiam 
Alamat: No. 341, Lorong Serawak, Melawati Urban 1, Taman Melawati, Kuala Lumpur. 
Hidangan: Pelbagai sajian antaranya bihun tomyam goreng, nasi lemak rendang ayam, nasi goreng chicken chop, mee udang, pemanis mulut seperti puding dan bubur yang dihidangkan panas-panas dan aneka hidangan roti. 
Minuman: Ipoh white coffe, jus kedondong, bandung cincau, cendol, volcano tea tiga lapis dan bermacam-macam lagi.
Harga: RM 2 keatas. 
Telefon: 03-41080803 atau 019-3106756 

Oleh Nurul Nadia Abdul Hamid 


No comments:

Post a Comment