Thursday, January 27, 2011

Mengembalikan kegemilangan baitulmal seperti era Khalifah Umar

SEJARAH mencatatkan institusi baitulmal pernah gemilang pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Malah, beliau dianggap sebagai individu yang mengasaskan institusi baitulmal secara rasmi dan sistematik berbanding kewujudan baitulmal dalam bentuk simple pada zaman Rasulullah SAW.
Ini kerana pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, wilayah pentadbiran Islam semakin luas dan hasil pendapatan negara yang terdiri daripada zakat, jizyah, kharaj dan harta rampasan perang bertambah banyak.
Institusi perbendaharaan negara atau dikenali juga sebagai rumah harta ini terus berkembang seiring dengan keperluan semasa.
Di Malaysia, pengurusan dan pentadbiran baitulmal dipertanggungjawabkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang diketuai oleh Sultan atau Raja sebagai ketua agama. Fungsinya menjurus kepada aspek perolehan dan pengurusan harta zakat, sedekah, wakaf, pengurusan harta tidak bertuan dan harta yang tidak dituntut.
Jika diteliti jumlah harta tersebut, ia meningkat saban tahun tetapi masih belum dapatmenyelesaikan masalah kemiskinan umat yang sedikit sebanyak menjadi faktor menyumbang kepada aktiviti tidak sihat seperti mengemis, mencuri dan lain-lain yang mencalar imej ketinggian Islam.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), peratus kemiskinan di kalangan orang Melayu yang majoriti beragama Islam adalah tertinggi berbanding kaum lain.
Peratus kemiskinan orang Melayu adalah 5.1 berbanding kaum Cina (0.6 peratus) dan India (2.5 peratus) pada 2007. Pendapatan isi rumah kaum bumiputera pada 2007 juga rendah iaitu sebanyak RM3,156 berbanding kaum Cina (RM4,853) dan India (RM3,799) sebulan.
Sedangkan dalam masa yang sama, jumlah kutipan zakat di seluruh negara pula menunjukkan peningkatan memberangsangkan. Misalnya, pada tahun lalu sejumlah RM1.19 bilion berjaya dikutip di seluruh negara berbanding RM1.03 bilion pada tahun 2008 dan RM806 juta pada 2007.
Lihat juga jumlah tabungan umat Islam di institusi kewangan Islam seperti Bank Islam dan Tabung Haji yang jumlahnya berbilion ringgit.
Justeru, sesuatu patut dilakukan bagi mengelak umat Islam terus dibelenggu dengan rantai kemiskinan di tanah airnya sendiri. Cadangan penubuhan institusi baitulmal di peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan pada 2009 wajar dijadikan sempadan.
Namun kata Perdana Menteri, penubuhan entiti tersebut mestilah jelas, kreatif dan tidak menjadi pesaing kepada institusi baitulmal negeri yang sedia ada.
Malah sokongan dan pandangan daripada mufti, tokoh-tokoh agama dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sangat diperlukan bagi merealisasikannya.
Masanya sudah tiba bagi mengembalikan semula kegemilangan institusi baitulmal Islam terdahulu demi memartabatkan lagi ketinggian Islam di mata dunia. Sifat umat Islam yang pemurah dan suka berderma patut diteruskan bagi mengharapkan ganjaran pahala berlipat kali ganda.
Ia juga boleh dijadikan modal pusingan untuk membantu sesama insan yang memerlukan.
Bayangkan jika semua umat Islam di Malaysia sanggup berkorban untuk menyumbang secara bulanan dengan jumlah tertentu. Sudah tentu, berbilion ringgit dapat dikumpul setiap tahun demi kemaslahatan ummah bersama. Ini dapat dilakukan jika kesemua wang tersebut disalurkan kepada badan tertentu seperti institusi baitulmal yang berintegriti dan berwibawa bagi memegang amanah ummah.
Apapun golongan tertentu seperti pengemis dan peminta sedekah diharap tidak mengambil kesempatan daripada sifat pemurah umat Islam dengan menjadikan aktiviti tersebut sebagai mata pencarian.
Adalah lebih mulia jika mereka berusaha dengan kudrat yang ada walaupun mungkin menerima habuan yang sedikit. Malah dengan cara itu juga, maruah dan kehormatan diri dan keluarga juga akan terpelihara.
Di sudut pandang yang lain, masih banyak keperluan fardu kifayah umat Islam yang belum terlaksana.
Dengan tertubuhnya entiti baitulmal di peringkat kebangsaan ini, ia boleh menyumbang kepada penyediaan produk halal yang lebih sistematik dan menyeluruh, terlibat dalam pasaran modal Islam yang memberi pulangan lebih besar dan meningkatkan ekonomi ummah melalui aktiviti pembiayaan Islam seperti REIT'S, sukuk dan lain-lain.
Ia juga dilihat sebagai pelengkap kepada institusi kewangan Islam sedia ada seperti bank Islam, syarikat takaful dan lain-lain yang wujud pada hari ini.
Bagaimanapun, penubuhan institusi seperti ini memerlukan sokongan padu pelbagai pihak terutama kepimpinan tertinggi negara serta badan bertanggungjawab seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Begitu juga idea bernas dan pandangan ikhlas daripada pihak MAIN, ulama dan tokoh akademik sangat diharapkan agar penubuhannya benar-benar menjadi kenyataan satu hari nanti.
Untuk tujuan itu juga, masyarakat Islam hendaklah berhenti daripada terus bertelagah dan menuding jari sesama sendiri kerana yang rugi adalah Islam dan umatnya sendiri. Asas kesatuan Islam dalam membina sebuah negara bangsa hendaklah disemai dan dipupuk setiap masa bagi melahirkan generasi Islam yang celik ilmu dan bijaksana dalam menangani apa juga cabaran semasa.
Golongan cerdik pandai Islam juga hendaklah memainkan peranan yang lebih signifikan sebagai pencetus kepada era kebangkitan semula Islam dengan mengerah usaha dan pemikiran ke arah meningkatkan ekonomi ummah melalui sektor ekonomi ijtimaiy seperti sedekah, wakaf, infaq fisabilillah dan lain-lain yang merupakan sunnah warisan Nabi Muhammad SAW.

Mohd. Ali Muhamad Don

No comments:

Post a Comment