Friday, January 21, 2011

Big Mama: Pakar sambal

SAMBAL atau paste dalam bahasa Inggeris memang banyak fungsinya dalam sajian seharian masyarakat kita. Ada yang menjadikannya sebagai kuah seperti sambal tumis dengan pelbagai jenis lauk, ada yang menggunakan ia sebagai bahan rencah untuk memasak sayur atau lauk-pauk dan ada juga sebagai pencicah seperti sambal belacan serta sambal kicap. Namun yang pasti, ia antara hidangan popular yang digemari oleh semua kaum di negara ini.
Menurut Chef Master Jaman Saidun dari restoran Big Mama, Kampung Baru, ramai yang tidak tahu bahawa dengan satu sambal kita boleh menghasilkan berpuluh-puluh jenis masakan.
“Sebenarnya asas menghasilkan sambal adalah sama. Dengan mencampurkan sambal asas dengan beberapa rencah yang lain seperti halia, serai dan kunyit akan menghasilkan pelbagai jenis masakan antaranya gulai, masak lemak, rendang, sambal tumis dan banyak lagi,” ujarnya.
Katanya lagi, ramai yang menganggap sambal mudah disediakan. Namun kebanyakan mengakui agak sukar menghasilkan sambal yang ‘kick’ lagi berbau memikat.
Di Big Mama, pelbagai jenis menu dihidangkan terutama yang menggunakan sambal selain makanan Barat dan juga menu yang diminta oleh pelanggan.
Antara yang istimewa adalah siakap tiga rasa, ikan masak sambal belacan, daging sambal belacan dan lada hitam serta banyak lagi.
“Sebenarnya menu di sini adalah mengikut permintaan pelanggan. Maksudnya, pelanggan yang tentukan dan kami sediakan,” katanya yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang ini.
Tidak lokek berkongsi ilmu yang dimiliki, Chef Jaman turut menawarkan kursus penyediaan sambal merangkumi lebih 20 jenis yang bakal mengungkap rahsia sebenar dalam penghasilan sambal yang enak lagi memikat.
Menurut Jaman, kursus yang akan bermula minggu depan ini merangkumi teknik, kaedah, penyediaan dan kegunaan sambal. Kursus yang dijalankan secara praktikal ini akan mengambil masa selama dua hari. Peserta juga akan memperolehi tip penjagaan kesihatan dalam penyediaan makanan yang turut terkandung dalam modul kursus ini.
Bagi yang berminat mengikuti kursus boleh menghubungi Chef Jaman untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Big Mama dibuka setiap hari dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
Resipi sambal cili boh asas
Bahan-bahannya:
500 gram cili kering
750 gram bawang merah dihiris
8 auns minyak masak
Cara membuatnya:
Kisar cili kering hingga halus. Tumiskan bawang hingga kuning. Masukkan cili kisar dan masak hingga pecah minyak. Setelah sejuk masukkan ke dalam bekas dan boleh disimpan di dalam peti sejuk. Cili boh yang dimasak tahan lebih lama berbanding yang mentah.

Oleh: BINTU RASYADA A. RAHMAN 

No comments:

Post a Comment