Thursday, February 10, 2011

Nikmati ikan bakar di atas bot

BAYU lembut disulami deruan ombak memukul pantai sememangnya mengasyikkan. Deretan bot nelayan dan suasana malam yang mendamaikan menjadikan suasana di Medan Ikan Bakar Parameswara di jeti Umbai, Melaka selesa dikunjungi.
Apatah lagi restoran yang mampu menempatkan kira-kira 100 pengunjung pada satu-satu masa itu terletak betul-betul di muara sungai. Sambil menikmati ikan bakar dan pelbagai jenis makanan laut, pengunjung dapat menikmati angin laut selain melihat sendiri pokok-pokok bakau yang kini semakin jauh daripada pengetahuan generasi muda.
Ditanya rahsia di sebalik nama Parameswara, pemilik restoran itu Jalaluddin Said tersenyum sambil mengimbau perniagaan cruise Sungai Melaka yang diterokainya pada tahun 1986. Syarikatnya Parameswara Maritime & Tours Sdn. Bhd. adalah yang pertama meneroka bisnes tersebut sehingga mampu menarik pelancong untuk menyusuri Sungai Melaka. Bagaimanapun selepas kerja-kerja mengindahkan Sungai Melaka siap, kerajaan negeri mengambil-alih aktiviti menyusuri Sungai Melaka pada tahun 1996.
Mahu mencuba bidang baru, anak kelahiran Bukit Tembakau, Umbai Melaka itu tertarik dengan perniagaan ikan bakar. Menggunakan nama Parameswara, maka lahirlah restoran kecil yang beroperasi di dalam kontena menawarkan hidangan makanan laut bakar yang dinikmati bersama nasi lemak kampung. Ternyata pertaruhannya agak tidak menjadi untuk tempoh lima tahun pertama restoran itu beroperasi.
Saingan deretan restoran yang turut menawarkan menu ikan bakar menyebabkan Parameswara terpaksa bersaing dan adakalanya beralah - maklumlah yang berniaga kesemuanya terdiri daripada rakan-rakan sekampung. Siapa sangka usahawan yang berusia 50 tahun itu pernah menetap di Hokaido Jepun selama 10 tahun. Pengalaman bekerja di sana dan hidup dengan budaya masyarakat Jepun menjadikan beliau gigih dan tidak pernah mengenal erti tewas.
Daripada sebuah kontena, saiz Parameswara kini ditambah luas sehingga mampu menampung pengunjung yang sememangnya bertali arus ke restoran tersebut terutamanya pada hujung minggu. Malah Jalaluddin kini dalam proses menambak pinggir laut untuk memperluaskan lagi restorannya.
Biarpun selesa dengan menu ikan bakar tradisional, namun Jalaluddin terpaksa akur dengan selera pengunjung yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Justeru Parameswara turut menawarkan menu sweet sour, tiga rasa, kukus, blackpepper, goreng berlada, goreng tepung, goreng kunyit dan goreng berempah.
Bersesuaian dengan Melaka sebagai negeri yang terkenal dengan asam pedasnya, Parameswara tidak ketinggalan mengetengahkan menu tersebut yang turut mendapat permintaan ramai.
Mencipta kelainan, Jalaluddin akan melancarkan perkhidmatan penghantaran set ikan bakar untuk makan tengah hari dan makan malam. Buat permulaan dua set akan diperkenalkan iaitu set sederhana terdiri daripada ikan cencaru, sotong bakar, udang bakar, nasi (nasi lemak atau nasi biasa), sambal dan dua jenis pencicah. Manakala set mewah pula menawarkan ikan jenahak.
Dengan tenaga kerja melebihi 60 orang pada hujung minggu, apa yang penting bagi Jalaluddin adalah kepuasan pelanggan dan perkhidmatan yang pantas. Dia tidak betah membiarkan pelanggan menunggu lama.
Apa istimewanya Parameswara lantaran menu yang disediakan hampir menyamai restoran-restoran lain? Sebuah bot yang dibeli oleh Jalaluddin berlabuh di tepi muara menunggu pelanggan menikmati ikan bakar dan juadah di situ.
Sememangnya menarik bagi sesiapa yang ingin menjamu selera sambil dilambung ombak kecil serta menikmati desiran angin laut. Bot tersebut sentiasa dipenuhi pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang mencuba keunikan menikmati ikan bakar dan pelbagai hidangan dengan cara tersendiri.
IKAN jenahak bakar tradisional dengan kicap cili dan sos memang. menyelerakan.
Oleh NORAINI ABD. RAZAK

No comments:

Post a Comment