Sunday, December 19, 2010

Fahaman pluralisme perlu disekat

Fahaman pluralisme agama yang bercanggah dengan al-Quran, sunah dan ijmak perlu disekat kerana boleh menjejas dan membahayakan akidah umat Islam.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Aziz Jamaludin Mohd. Tahir berkata, pluralisme di Malaysia hanya dibenarkan dalam konteks hidup bermasyarakat untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum dan bukannya dalam soal agama.
"Sehubungan itu, Yadim akan sentiasa melaksanakan aktiviti yang boleh memberi dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya pluralisme agama.
"Aktiviti itu dizahirkan menerusi beberapa program kemasyarakatan yang meliputi pelbagai lapisan masyarakat dan disalurkan menerusi media rasmi iaitu majalah Dakwah," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Aziz menambah, pelajar Malaysia yang baru pulang dari luar negara juga perlu dipantau kerana dikhuatiri membawa fahaman Syiah dan fahaman lain yang boleh menggugat ketenteraman awam.
"Bagaimanapun, usaha mengekang penyebaran fahaman pluralisme dan Syiah memerlukan komitmen semua pihak kerana ia berupaya berkembang dalam pelbagai bentuk dan kaedah," katanya.
Menurut Aziz, Yadim sebagai sebuah yayasan dakwah akan bertindak aktif termasuk menterjemah dan menerbitkan buku-buku asing yang terpilih ke bahasa Melayu dalam usaha meningkatkan syiar dakwah Islam di negara ini.

No comments:

Post a Comment