Monday, November 15, 2010

Ahli perniagaan Malaysia tandatangani kontrak penajaan Virgin Racing

2010/11/15KUALA LUMPUR: Perlumbaan akhir musim Formula Satu (F1) di Abu Dhabi menyaksikan dua kereta lumba Virgin Racing membawa logo "QNet" di sisi masing-masing, setelah Sir Richard Branson meraih kontrak penajaan baharu bagi musim akan datang.

QNet adalah anak syarikat jualan langsung antarabangsa utama Kumpulan Syarikat Q1 yang berpangkalan di Hong Kong dan dikuasai oleh ahli perniagaan Malaysia,Datuk Vijay Eswaran.

Pemandu Virgin Racing, Timo Glock dan Lucas di Grassi juga memakai logo QNet pada baju masing-masing.
Branson dan Vijay menandatangani kontrak penajaan baru itu sebelum berakhirnya musim Grand Prix Abu Dhabi, yang menyaksikan Sebastian Vettel dari pasukan Red Bull melakar sejarah Formula One dengan memenangi perlumbaan itu dan menjadi juara dunia termuda.

Branson, yang menerajui Virgin Group, berkata pada satu sidang akhbar bahawa beliau amat berbangga dengan perkongsian jangka panjang Virgin Racing dengan QNet.

"Kami meramalkan sinergi yang sangat banyak antara kedua-dua syarikat kami iaitu Virgin Group dan QI. Kedua-dua syarikat giat mengembangkan perniagaan.
Saya amat ingin bekerjasama dengan QNet dalam projek ini dan, diharapkan, banyak projek lain.
"Vijay banyak kali berkata kepada saya, penerokaannya tiada sempadan. Mengenali beliau, saya tidak hairan kalau beliau menceburi bidang angkasa pula. Saya harap QI tidak menceburi perniagaan penerbangan pula, jika begitu saya terpaksa tubuhkan VNet," kata Bronson secara berseloroh semasa berlangsungnya sidang akhbar bersama minggu lalu.

Vijay, Pengerusi Eksekutif QI Group berkata kedua-dua syarikat itu berkongsi visi yang serupa.

"Kami berpegang kepada prinsip melakukan yang terbaik dalam apa jua yang kami lakukan. Sukar sekali mendapat rakan kongsi yang berkaliber seperti Richard, dan seperti juga beliau, kami amat berbangga dengan perkongsian ini," katanya.

Turut hadir pada upacara itu ialah Sheikh Ahmed Al Nahyan, penaung QNet di UAE; Ketua Pegawai Eksekutif Virgin Racing, Graeme Lowdon; Tareq Abdul Hafez, rakan kongsi QNet UAE; Pengarah QNet, Joachim Steffen; Pengarah Urusan QNet Group, Joseph Bismark; dan Pengarah Urusan QNet Managing Director, J.R. Mayer.

Difahamkan, pada mulanya QI Group memulakan perbincangan untuk menjadi satu daripada penaja pasukan Lotus Racing Malaysia tetapi rundingan itu terhenti selepas Lotus Racing terlibat dalam kes saman. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment