Saturday, November 20, 2010

Misteri Parsi diresapi budaya Arab terungkai

Pengaruh Islam tukar imej, peradaban

SAAD bin Abi Waqqas menghitung jumlah penduduk daerah Ctesiphon ketika beliau membuka kota itu kira-kira 137,000 orang namun bangsa berkenaan lenyap selepas berlalu beberapa waktu. Persoalannya ke mana hilang seluruh bangsa Parsi itu? Ibn Khaldun berkata, sesuatu bangsa yang sudah dikalahkan dan berada di bawah kekuasaan bangsa lain, akan cepat lenyap.
Kemudian beliau berkata lagi, peraturan Islam adalah dikenal kerana keadilannya, maka Islam tidak membenarkan umatnya membunuh kafir zimmi tanpa hak yang benar. Begitu juga darah seorang Muslim itu haram atas Muslim yang lain.

Maka misteri lenyapnya bangsa Parsi beberapa waktu selepas mereka dikalahkan bangsa Arab adalah kerana diresap budaya dan teori muatan rohani, bukannya kerana ketidakadilan Islam atau kekejaman umatnya.

Dalam percampuran budaya atau kemasukan kebudayaan, akan muncul paling kurang tiga bentuk tindak balas iaitu akulturasi, asimilasi atau akomodasi.

Akulturasi adalah penggabungan dua budaya sehingga terbentuk budaya baru tanpa menghilangkan unsur budaya asli sementara asimilasi adalah pertembungan dua budaya sehingga terbentuk budaya baru.
Akomodasi pula adalah penyesuaian dua budaya yang akhirnya akan memenangkan budaya yang dominan sehingga budaya minoriti terhapus. Kaum minoriti akan melazimi budaya kaum majoriti bagi menghindari konflik.

Maka dalam kes bangsa Parsi lenyap selepas ditakluk bangsa Arab adalah kerana bangsa itu sudah diserap dalam bangsa Arab sehingga mereka berbicara dengan lidah Arab, berpakaian Arab dan mengamalkan budaya hidup orang Arab.

Akhirnya mereka menjadi bangsa Arab sehingga hilang unsur bangsa sendiri. Lebih utama, bangsa Parsi meninggalkan agama Majusi dan beralih kepada Islam, maka mereka berkongsi kepercayaan dengan bangsa Arab.

Bapa Sosiologi Ibn Khaldun, membawakan teori ‘minda kaptif’ atau minda terjajah. Menariknya, minda terjajah ini tidak berlaku kepada penganut Islam yang baru lantaran Islam menyebar bukan mahu mengorek kekayaan atau menghambakan manusia, tetapi mahu memerdekakan manusia dari perhambaan dan memerdekakan jiwa dari kesyirikan.

Ibn Khaldun berkata mengenai minda terjajah: “Yang ditakluki selalunya mahu meniru yang menang dalam hal perilaku, caranya berpakaian, pekerjaannya dan pelbagai keadaan dan adat resam. Sebabnya ialah kerana jiwa selalunya melihat kesempurnaan pada diri orang yang berupaya menakluki jiwa itu dan kepada orang yang menjadi tempatnya bernaung. Dia melihat tokoh berkenaan sebagai sempurna, sama ada disebabkan jiwa itu dipengaruhi oleh rasa hormat terhadapnya, atau kerana jiwa itu silap dalam mengandaikan bahawa perasaan patuh kepada orang itu bukanlah disebabkan kekalahan tetapi kerana kesempurnaan orang yang menakluki itu. Sekiranya andaian yang salah itu sudah sebati dalam jiwa, maka ia akan membentuk sebuah keyakinan yang kukuh. Jiwa itu kemudiannya akan menerima seluruh perilaku dan tindak-tanduk orang yang menang dan mengasimilasikan diri dengannya. Inilah yang dimaksudkan dengan sebuah peniruan.”

Kini tanpa sedar, ‘Kemelayuan’ yang kita warisi semakin pudar ditelan globalisasi. Selama 400 tahun umat Melayu dijajah, sedikit sebanyak budaya kita berubah akibat pertembungan budaya.

Tanpa sedar juga rupanya kita masih menyanjung Barat sehingga ‘beriman’ akan kesempurnaan mereka pada semua sisi. Lantas kita meniru mereka dalam berpakaian, tingkah-laku hatta sehingga cara mereka berfikir dan berbahasa.
Begitulah kita menerima mereka dengan hati terbuka dan toleransi tinggi sehingga mengorbankan akal budi. Begitu juga kita merelakan seluruh cara fikir mereka menerobos minda dan jalan fikir kita untuk merasa maju. Tanpa sedar, pemikiran dan jalan fikir itu sangat berbahaya kepada kita.

Kita semakin lupa untuk tetap teguh kepada akidah yang sahih dan amal ibadat sempurna. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.” (Direkodkan oleh Abu Dawud)

Penulis ialah Timbalan Setiausaha Sekretariat Ulama Muda UMNO

No comments:

Post a Comment